11 Julai 2011

TIADA anak menteri menjadi guru

BAGUS dan baik setinggi mana pujian menteri atau orang kaya terhadap kerjaya guru, tidak ada anak mereka menjadi guru di sekolah rendah atau menengah! Namun bayangkan jumlah guru di negara kita yang jumlahnya kira-kira 400 ribu orang. Sebuah sekolah menengah di pekan kecil pun jumlah gurunya sehingga 100 orang. Guru ada di mana-mana sehingga di tepi hutan, asalkan di situ ada sekolah dan murid yang bersekolah. Maka ada guru yang glamour di bandar-bandar dan ada lagi guru yang bergelumang dengan semak-samun di pedalaman. Anak menteri mana yang sanggup menjadi guru sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak? Tidak ada, yang sanggup di situ ialah guru-guru yang dilahir dan dibesarkan di pedalaman juga.

Kata sahabat saya, jika mahu mengumpul kekayaan harta-benda janganlah memilih kerjaya sebagai guru. Kepenatan menjadi guru yang sama dengan penatnya menguruskan sebuah kedai, akhirnya menyaksikan pekedai mengumpul jutaan ringgit. Guru, setakat cukup makan anak isteri saja. Rumah dan kereta dibeli dengan pinjaman yang sampai pencen pun belum habis dibayar. Seorang broker tanah dengan bermodal air liur dan kepandaian memanipulasi persekitaran senang-senang mengumpul pendapatan lebih RM100 ribu setahun sedangkan, guru bertungkus lumus bekerja pendpatan tahunannya sekitar RM40 ribu hingga RM50 ribu sahaja. Untuk menjadi guru siswazah pula memerlukan modal pendidikan formal yang panjang. Semua itu kos masa, usia dan wang ringgit.

Habis, mengapa hampir setengah juta mahu menjadi guru? Ini soalan yang subjektif. Ada yang memang sejak awal mahu menjadi guru. Ada yang menukar kerjaya kepada guru setelah tidak upaya dalam kerjaya pertama yang diceburi. Ada yang menjadi guru kerana sudah tidak ada tempat lain untuk kerjaya berkolar putih. Namun ada juga yang berhenti sebagai guru kerana ada tarikan kerjaya lain. Selalunya, guru yang berhenti itu kerana menceburi bidang perniagaan yang menjanjikan pulangan wang lebih banyak.

Apa juga sebab menjadi guru, penilaian hebat atau sebaliknya sebagai guru wajib dilihat pada komitmen harian mereka bekerja dan hasilnya. Kata orang, tidak kenal, maka tidak cinta. Jika sudah hari-hari melakukan tugas guru, maka kuatlah kasih sayangnya terhadap kerjaya guru.

Maka, jangan menjadi guru jika tidak ada prinsip ‘mendidik orang ke arah kemajuan dalam keadaan apa sekalipun’. Tugas hakiki guru ialah mengubah pemikiran murid-murid kepada satu pemikiran yang terarah. Di situlah tugas-tugasnya yang sukar untuk mengubah pemikiran yang berbeda. Bukan mudah mempengaruhi seseorang untuk mengubah pemikirannya, sekalipun mereka berada dalam sekolah yang memang untuk mengubah pemikiran!

Untuk menggambarkan sukarnya kerjaya guru, saya berikan contoh mudah. Tugas guru ialah mengajar seseorang daripada tidak tahu kepada tahu. Standard tahu diukur dengan pengujian dengan markah tertentu sebagai tahap pencapaiannya. Katakan 50 daripada 100 markah, murid itu dianggap tahu dan sudah berubah pemikirannya. Dalam sebuah kelas ada 30 murid dan guru mesti mempunyai tujuan untuk memberi tahu atau mengubah semua pemikiran murid itu. Guru tidak boleh hanya mensasarkan 20 orang akan berubah dan bakinya dibiarkan gagal. Masa pula ditetapkan, misalnya selama 10 bulan.

Setelah ujian terakhir pada penghujung 10 bulan itu didapati hanya 10 orang mencapai markah 50 ke atas. Hal ini bererti guru gagal mencapai objektif kerjanya mengubah pemikiran murid. Kejayaan guru diukur dengan kejayaan mengubah sebanyak mana pemikiran orang yang diajarnya. Begitulah berat dan sukarnya hendak mengubah pemikiran. Mengubah sebatang jalan raya atau jambatan usang jauh lebih mudah daripada mengubah pemikiran manusia.

Prinsip pengajaran guru yang sebegini sangat jarang difahami oleh masyarakat. Hari ini masyarakat hanya mahu tahu kejayaan guru mengubah pemikiran anak-anak mereka dengan alasan itulah kerjaya guru.

Atas sebab sukarnya menjalankan tugas mengubah pemikiran manusia inilah, guru bukanlah satu kerjaya yang dipilh oleh anak-anak yang diasuh dengan kemewahan atau hidup yang mudah perjalanannya. Untuk yang sejak kecil dimanja-manja dan mendapat apa sahaja yang diinginkan, pasti dia tidak akan menjadi guru.

Guru ialah orang yang sanggup bekerja siang malam, berpendapatan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan mempunyai prinsip perjuangan untuk mengubah pemikiran manusia. Tahniah kepada guru-guru yang berada dalam posisi terbaik ini.

sumber http://my-tajdid.blogspot.com/2011/06/tiada-anak-menteri-menjadi-guru.html

Tiada ulasan: