11 Julai 2011

APABILA orang bersalah bergembira dengan hukumannya.

BARU saja saya mengadiri satu forum mengenai akidah dan kehidupan. Antara yang menarik ialah cerita seorang panel mengenai pelaksanaan hukuman hudud di Masjid Qisas Jeddah, Arab Saudi. Katanya sebelum dilaksanakan hukuman mati dengan memancung pesalah, sudah tersedia lapan buah ambulan. Dia pun pelik, kerana yang dihukum seorang dan mengapa terdapat lapan buah ambulan?


Rupa-rupanya, sebaik sahaja hukuman pancung dijalankan, orang ramai menjadi gerun sehingga ada yang pengsan apabila melihat hukuman itu dilaksanakan. Barulah orang yang pertama kali (dari Malaysia) faham lapan ambulan itu sebenarnya untuk mereka yang tidak terdaya melihat dahsyatnya hukuman Allah di muka bumi ini. Orang yang berfikir mudah memahami mengapa Allah memberi hukuman bunuh seperti itu dan disaksikan oleh orang ramai.

Jelasnya hukuman terhadap pesalah mestilah suatu yang memberi ‘kerugian besar’ kepada pesalah khasnya dari sudut fizikalnya. Hukuman juga mestilah mendatangkan rasa sesal kepada yang menerima hukuman. Hukuman juga mestilah mendatangkan kegerunan kepada yang mengetahui adanya hukuman itu supaya mereka insaf dan berjaga-jaga agar tidak menerima hukuman berkenaan.

Di Malaysia keadaan pelik berlaku. Semua terbalik daripada falsafah hukuman sebagaimana yang dikehendaki oleh orang-orang yang beriman. Tiga orang kaya didenda dengan jumlah wang yang bagi mereka hanya duit untuk minum kopi sekeluarga! Apalah ertinya denda RM1000.00 kepada orang yang mempunyai wang simpanan RM10 juta (misalnya). Ada akhbar pula berjaya merakam foto mereka yang gembira dan menunjukkan tanda ‘bagus’ setelah hukuman denda wang itu mereka bayar.

Saya teringat satu ceramah seorang ustaz lama dahulu mengenai tindakan kadi menghukum seorang Khalifah pada zaman kerajaan Abasiyyah. Si Khalifah telah bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan dan bertanya kepada kadi mengenai hukuman yang mesti baginda terima. Lalu kadi terus mengatakan yang baginda mesti berpuasa dua bulan berturut-turut. Setelah itu, orang pun bertanya kepada kadi berkenaan kerana berdasarkan hokum Islam kes seperti yang dilakukan oleh Khalifah mestilah didahului dengan tawaran memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu barulah berpuasa dua bulan, dan akhirnya memberi makan 60 orang miskin jika tidak upaya berpuasa.

Kadi memberitahu bahawa Khalifah dengan mudah boleh membebaskan seorang hamba dengan kedudukan dan hartanya. Oleh itu hukuman yang sesuai kepada Khalifah supaya menjadi pengajaran atas keterlanjurannya ialah puasa dua bulan berturut-turut.

dipetik drp: http://suparjo.blogspot.com/2011/06/apabila-orang-bersalah-bergembira.html

Tiada ulasan: