Jumlah kes influenza A (H1N1) di negara ini semakin berkurangan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan
hari ini.
Namun begitu, kerajaan akan terus berwaspada dan orang ramai juga harus berhati-hati, katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.
"Saya laporkan kepada jemaah menteri bahawa bilangan jangkitan H1N1 adalah menurun, kes-kes ILI (penyakit serupa influenza) yang terdapat di hospital juga tunjukkan penurunan, contohnya di Kuantan, kalau biasanya, dalam 700 hingga 800 kes dilaporkan sehari, sekarang turun ke 240 hingga 250.
"Bilangan di semua hospital juga sama, menurun. Tetapi ini tidak menggambarkan bahawa kita boleh ambil ringan dengan masalah sekarang, kena terus ambil langkah jaga-jaga.
"Kita kena teruskan kempen kesedaran kita. Terutama sekali, Hari Raya nak sampai, kita semua balik kampung. Ambil langkah jaga-jaga, kebersihan rumah dan kebersihan diri," katanya.
Liow berkata bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpuas hati dengan sistem pemantauan penyakit itu di Malaysia.
"Laporan (WHO) menyatakan bahawa kadar kematian kita adalah biasa, bersamaan juga dengan negara-negara lain berhubung dengan H1N1, dan mereka telahpun menyatakan bahawa sistem pemantauan Kementerian Kesihatan adalah sensitif, peka dan mampu mencari dan mendapat pesakit-pesakit H1N1 dengan cepat," katanya.
Liow juga melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama hospital swasta dalam membendung penyakit itu.
"Pada masa ini, tidak ada masalah ubat antivirus, semua klinik boleh dapat ubat antivirus, semua ada.
"Kami juga berusaha memastikan bahawa klinik dan hospital swasta sentiasa mendapat maklumat terkini dan bantu kerajaan bendung H1N1," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan