06 Jun 2009

Akidah

Tathayyur

Tathayyur (thiyarah) atau menganggap sial kerana sesuatu perkara masih mantap di kalangan masyarakat Melayu. Mari pertimbangkan kes-kes berikut:

1. Isteri yang hamil membunuh seekor lipan menimbulkan tathayyur, lalu mereka semua mempercayai si bayi yang lahir kelak akan berwatak lipan atau jari macam lipan.

2. Seorang tua sakit teruk selepas menghantar mayat ke kubur dikatakan sakit kena badi mayat.

3. Burung hantu berbunyi waktu malam penanda ada orang di kampung akan mati.

4. Bila suami membunuh kera yang merosak tanaman, kelak anak yang lahir akan terkena kenan kera.

Baik lipan, mayat, burung hantu, iblis, hantu mahu pun kera tidak ada sebarang kuasa untuk menyebabkan sesuatu perkara berlaku dan setiap perkara yang berlaku semata-mata diatas kehendak Allah SWT. Bila tugas Allah dikatakan tugas lipan, mayat, burung hantu atau kera, maka pelaku telah melakukan syirik lalu menjerumuskan kepada kafir musyrik.

Tafa’ul

Tafa’ul (fa’lu) pula ialah harapan akan datang kebaikan (ong dalam bahasa Cina) yang disebabkan oleh perkara tertentu. Contoh utama tafa’ul di Malaysia ialah pesta menuai yang dilakukan setiap tahun kerana mengharapkan rezeki dari tanaman tahun depan terus baik dan tidak mendapat kesusahan.

Contoh lain pula ialah kalau naik haji tak buat majlis tahlil dan berzanji kelak mendatangkan kesusahan sewaktu perjalanan.

Satu contoh yang kerap dilakukan oleh ramai keluarga Melayu kini ialah meletakkan surah Yaasin dibawah bantal atau tilam bayi dengan mengharapkan kebaikkan dan perlindungan darinya.

Kaum Cina di Malaysia sangat gemar melakukan tafa’ul seperti:
• Mempercayai kebaikan dengan menggunakan nombor tertentu seperti pada nombor kereta dan rumah. Contohnya nombor 8888 pada kereta adalah nombor bertuah.
• Meletakkan objek dengan warna merah seperti kertas merah, kain merah, bunga merah pada hari sambutan Tahun Baru Cina akan mendatangkan ONG.

Ramalan bintang (astrologi)


Ramalan bintang juga adalah menyalahi sifat rububiah Allah SWT. Ramalan bintang yang menyalahi akidah ini juga adalah termasuk ramalan mengikut bintang gemini, pisces, cancer dan virgo yang kerap di tuliskan di majalah dan akhbar tertentu. Ramalan astrologi boleh diibaratkan sebagai seorang buta melempar batu ke arah orang ramai yang berada di sekelilingnya. Kalau ada mengena lemparan tersebut bukanlah kerana si buta pandai melempar tetapi adalah kerana terlalu ramainya manusia di sasaran. Ia sungguh tidak ilmiah dan hanya memperdaya fikiran manusia yang jumud (bodoh).
Allah telah berfirman melalui Al An’am:59

Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata.

Mempercayai dukun atau bomoh atau astrologi hanya menjadikan kita kafir menurut hadis Nabi SAW mafhumnya :
Siapa yang mendatangi arraf, kahin (tukang ramal / bomoh) lalu membenarkannya (menyetujuinya), maka sungguh dia telah kafir terhadap apa yang diturunkan kepada Muhammad SAW.
(Riwayat Bukhari, Muslim, Tirmidzi & Abu Daud)

Menganggap sial atau pembawa sial terhadap sesuatu adalah sikap mental yang syirik dan dosa besar. Berikut adalah petikan dari ilmu falak berbahasa arab:
“Ada pun tanggal 2 bulan itu , jika berniaga akan mendapat keuntungan dan jika belayar akan selamat pergi dan balik. Jika bertani juga baik....................................”
Adakah hari atau waktu mempunyai kuasa untuk menentukan sesuatu yang dilakukan itu akan menyebabkan kejadian baik atau buruk? Masya Allah.

Bomoh

Juga dikenali dengan panggilan dukun, pengubat alternatif, pengubat tradisional, tabib dan pawang. Ia dapat didefinisikan sebagai orang yang mengubati orang sakit dengan cara kampung dan jampi-jampi yang menyalahi dari sisi Islam. Kebiasaannya mereka ini menggunakan khidmat khadam atau pembantu dari kalangan iblis dan jin.
Berbeza dengan bomoh, terdapat juga orang yang mengubat dengan perubatan tradisional yang menggunakan tumbuhan dan herba untuk mengubati pesakit dan ini adalah tidak salah dari sisi islam. Pengubat tradisional ini tidak menggunakan jampi yang salah di sisi Islam dan hanya menggunakan jampi yang dibenarkan oleh Islam. Namun kebanyakan bomoh di Malaysia adalah dari kategori yang sesat dan ada juga yang mencampuradukkan yang benar dengan yang batil menjadikannya salah di sisi Islam.

Untuk mengenal pasti bomoh yang menyalahi agama Islam dan perlu dijauhi, berikut diperturunkan serba sedikit panduan untuk mengenal pasti mereka dari golongan ini:

1 Tiada kaunseling atau dakwah Islam.
2 Gemar mengatakan perbuatan orang bagi setiap punca penyakit yang dialami.
3 Memberikan objek sama ada tangkal, azimat atau air jampi untuk dibawa pulang.
4 Ada menyuruh bawa objek seperti limau nipis, sirih atau kapor setiap kali datang berurusan.
5 Ada upacara memotong limau di permulaan sesi mengubat.
6 Suka pakai baju kuning (oren), hitam atau merah.
7 Minta pengeras.
8 Ada pemutus ubat setelah selesai perubatan.
9 Minta duit dan kadang-kadang amaun yang diminta tidak masuk akal sama sekali sehingga mencecah beribu ringgit.
10 Ada yang mengamalkan puasa pati geni (memutih) di peringkat awal untuk menjadi bomoh.
11 Guna air dalam mangkuk untuk menelek.
12 Melakukan perkara luar biasa seperti boleh membelah dada dan perut untuk mengeluarkan dan mencuci organ dalaman malahan boleh dirakam sewaktu pembedahan tersebut.
13 Mengaku mempunyai keajaiban seperti kasyaf
14 Pengamal Feng Shui adalah bomoh.
15 Sami Budda, hindu dan sebahagian paderi adalah bomoh.
16 Kebanyakan pengamal ilmu sesat ini sembahyang, puasa, pergi masjid, ada title haji / hajah, menggunakan bismillah dan insya Allah dalam pertuturan mereka dan perlakuan mereka lebih mirip kepada seolah-olah orang yang mendalami agama Islam. Ini semua adalah sebenarnya aset yang maha penting bagi iblis dan orang ini untuk terus sesat dan menyesatkan orang ramai.
17 Setengah mereka ada title ustaz, ustazah malahan ada yang bergelar Dato’.
18 Ada proses menurun sewaktu mengubat.
19 Ada menyeru pelbagai nama seperti wali yang dah meninggal seperti wali songo dan syeikh Abdul Kadir Jailani, malaikat dan nama-nama lain yang pelik.
20 Menggunakan objek pelik seperti keris, pedang, lilin dan sebagainya dalam proses mengubat.
21 Kalau orang perempuan, selalunya tak pakai tudung atau tudung ringkas, bermake up dan banyak barang kemas.
22 Ada hubung kait dengan sixth sense atau kuasa minda, aura, cahaya dan tenaga dalaman.
23 Ada meditasi.
24 Ada bertapa untuk mendapatkan ilmu tersebut.
25 Mengaku mengetahui perkara ghaib seperti tahu siapa mencuri dan siapa yang mendengki.
26 Mengaku boleh nampak jin.
27 Banyak mengamal bidaah dan sangat kurang mengamalkan sunnah.
28 Tergantung banyak ayat-ayat Al Quran di dinding rumah mereka.
29 Gemar menjanjikan kesembuhan yang segera.
30 Gemar riak dengan menceritakan kes-kes lalu yang telah berjaya diselesaikan termasuk menceritakan ramai orang besar kenamaan (VIP) telah berubat dengannya.
31 Mengamalkan mandi laut waktu malam bagi membuang syaitan.
32 Menggunakan khadam seperti jin dan “malaikat”.
33 Melakukan semah seperti semah rumah dan gelanggang.
34 Mengamalkan mandi bunga. Mandi bunga adalah amalan dari ajaran agama hindu.
35 Memberikan pendinding bagi rumah, diri dan sebagainya.

Berbanding pengamal perbomohan yang melanggar ajaran agama Islam, pengamal perubatan Islam dan tradisional yang dibenarkan dalam Islam mempunyai ciri-ciri seperti berikut:
1. Menjalankan kaunseling dan dakwah islamiah kepada pesakit.
2. Gemar mengatakan bahawa setiap bala musibah bukanlah disebabkan oleh orang yang menyihir dan dengki tetapi adalah di atas kehendak dan kekuasaan Allah jua.
3. Tidak memberikan sebarang tangkal azimat untuk dibawa balik namun untuk kes-kes tertentu (bukan semua kes) ada diberikan air yang dijampi secara Islam.
4. Tidak ada pengeras dan pemutus ubat.
5. Tidak menentukan sebarang bayaran tetapi sedia menerima sebarang amaun sebagai hadiah. (dibenarkan dalam Islam mengikut hadis sahih – cerita nak sembelih kambing pemberian orang sakit yang dah sembuh)
6. Ada memberikan ubat yang disediakan dari tumbuhan, herba atau dari campuran bahan-bahan tertentu dan diiktikadkan sebagai jual beli ubat.
7. Mengaku tidak ada kuasa ghaib
8. Tidak melakukan sebarang perkara yang pelik dan luar biasa.
9. Tidak mengenakan uniform khas dan warna-warna tertentu sewaktu mengubat pesakit.
10. Mengamalkan Islam dengan lebih cantik
11. Lebih cenderung mengamalkan sunah dan meninggalkan bidaah.
12. Tiada ayat Al Quran tergantung di dinding rumah.
13. Tidak materialistik dan dapat dilihat pada kenderaan dan rumah.
14. Tidak menggunakan bantuan sebarang khadam termasuk jin dalam perubatannya. Semata-mata bertawakal kepada Allah.
15. Tidak menjanjikan kesembuhan yang segera.

Taghut


Bererti sesuatu yang dipuja, dimulia, dipertahankan dan ditaati setaraf dengan darjat ketuhanan Allah swt. Sama ada ia berhala, tangkal, azimat, syaitan, keramat-keramat, sistem, ideologi, kebudayaan, manusia, pemimpin atau apa sahaja yang dipuja, ditaati dan dipatuhi setaraf dengan pengabdian diri terhadap Allah swt adalah termasuk dalam istilah taghut.

Allah berfirman dalam Az-Zumar: 17
“Dan orang-orang yang menjauhi dirinya dari menyembah atau memuja Taghut serta mereka rujuk kembali taat bulat-bulat kepada Allah, mereka akan beroleh berita yang menggembirakan ; oleh itu gembirakanlah hamba-hamba Ku”.

Dalam Az-Zumar ayat 17 di atas Allah s.w.t. memerintah kita supaya menjauhi daripada penyembahan kepada atau memuja taghut. Perkataan taghut banyak disebut di dalam Al-Quran antaranya ayat 256 surah Al Baqarah, An-nisaa (51, 60 dan 76), Al Maidah (60), An Nahl (36). Kita akan berjumpa lagi istilah yang semakna dalam ayat 43 surah Thaahaa dan ayat 17 surah An Naaziaat.

Penyembahan atau pemujaan kepada taghut merupakan amalan syirik kepada Allah swt. Saksikanlah, ramai manusia hari ini menyembah taghut. Contohnya: Manusia memuja dan mempertahankan ideologi komunisme, nasionalisme, sosialisme atau lain-lain idelologi sebagai sistem yang terbaik yang mereka patuhi. Manusia sanggup berperang dan berjuang mempertahankan ideologi-ideologi ini walaupun ia bertentangan dengan Islam. Secara sedar atau tidak, ideologi-ideologi tersebut telah dijadikan taghut!!!. Begitulah juga dengan manusia, dalam surah Thaahaa, ayat 43, Allah swt memerintah Nabi Musa as supaya pergi berdakwah kepada Firaun yang dicap sebagai taghut kerana melampaui batas. Maka memuja pemimpin, mempertahankannya walaupun jelas ia menegakkan sistem pemerintahan yang zalim dan batil di sisi Islam juga dikelaskan sebagai taghut. Mempertahan dan meyakini sistem perundangan moden lebih sesuai di zaman moden dan lebih baik daripada sistem perundangan islam, juga termasuk dalam contoh pemujaan kepada taghut (sistem perundangan itulah yang dimaksudkan taghut). Budaya khurafat juga dikelaskan sebagai taghut, misalannya budaya puja pantai (suatu ketika dahulu diamalkan di Terengganu) dan lain-lain.

Sambungan dari ayat 17 di atas Allah swt mengingatkan kepada manusia agar menjauhi taghut dan mentaati perintah dan ajaran tauhid dengan ikhlas kerana kelak mereka dijanjikan dengan kegembiraan di akhirat. Gembiralah mereka di syurga. Itulah janji Allah swt kepada hamba-hambanya yang taat kepada perintahnya tanpa berbelah bagi.

Berhala


Dalam pemikiran Islam, amat jelas bahawa agama ini menolak berhala. Sesiapa yang menyembah berhala dianggap telah syirik atau menyekutukan Allah s.w.t.
Islam memandang tegas tentang perkara ini. Dari zaman berzaman umat Islam memahami bahawa berhala itu sebagai patung dan ia menjadi suatu benda yang dicemuh dan tidak disukai.

Tetapi apakah yang menyebabkan Rasulullah s.a.w. amat tegas menolak berhala? Selepas penawanan Mekah, baginda memusnahkan semua patung di keliling Kaabah.
Adakah yang ditentang itu benda patung berhala itu sendiri atau pemikiran penyembahan kepada sesuatu yang selain daripada Allah s.w.t?

Bagi mereka yang menyembah berhala, patung berkenaan adalah suatu simbol kepada Tuhan, dewa atau kuasa-kuasa lain daripada Allah s.w.t.
Patung menjadi simbol. Simbol inilah berhala. Sikap dan perbuatan penyembahan simbol ini adalah syirik.

Jadi apa yang ditentang bukan soal patung dan berhala itu semata-mata tetapi mentaliti kaum musyrikin.

Dengan ini dapatlah didefinisikan berhala sebagai ”simbol yang dihubungkaitkan dengan kekuasaan mirip kekuasaan rububiah Allah”
Islam menegaskan bahawa tidak ada kuasa selain daripada Allah s.w.t. Berhala, patung, syaitan, sihir atau apa saja tidak mempunyai kuasa. Yang berkuasa mutlak adalah Allah s.w.t.

Islam melarang penyembahan berhala kerana perbuatan itu menyebabkan manusia mempercayai perkara-perkara karut yang tidak berasas. Islam mahu manusia percaya penuh pada kekuasaan Allah s.w.t. dan penyembahan serta tunduk hanya kepada-Nya. Begitu juga semua hukum alam tunduk pada kehendak Allah s.w.t.

Ia bukan soal memusnahkan patung semata-mata. Patung itu hanya simbol. Allah telah membuat perumpamaan yang cukup cantik untuk menerangkan kebodohan orang suka mensyirikkan Allah melalui firmannya dalam surah Al Hajj:73
Wahai umat manusia, inilah diberikan satu misal perbandingan, maka dengarlah mengenainya dengan bersungguh-sungguh. Sebenarnya mereka yang kamu seru dan sembah, yang lain dari Allah itu, tidak sekali-kali akan dapat mencipta seekor lalat walaupun mereka berhimpun beramai-ramai untuk membuatnya dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat mengambilnya balik daripadanya. (Kedua-duanya lemah belaka), lemah yang meminta (dari mendapat hajatnya) dan lemah yang diminta (daripada menunaikannya).

* * * * *

Setelah kita mendalami rububiah Allah, wajarkah sesetengah pihak mendakwa bahawa manusia ada kuasa dalaman atau minda bawah sedar dan sebagainya?. Apabila kuasa milik Allah dikatakan milik kuasa dalaman atau minda bawah sedar maka pada ketika itu mereka ini telah menentang rububiah Allah dan gugurlah akidah dan dengan itu gembiralah Iblis dan syaitan lalu menjadi khadam, menjadikan mereka ini tiba-tiba mempunyai kuasa luar biasa sehingga membolehkan mereka berjalan di atas bara api atau membengkok besi dengan leher.

Mengambil ubat lalu sembuh bukan kerana kemujaraban ubat tetapi kerana rububiah Allah. Apabila Allah redha dengan usaha mengambil ubat tersebut maka diberikanlah kesembuhan. Begitu juga dengan Kitab Al Quran, ia tidak mempunyai sebarang kekuasaan misalnya untuk menghalau jin atau iblis. Kekuasaan hanya milik Allah. Namun disunnahkan bagi kes-kes tertentu untuk berikhtiar dengan jampi secara Islam, tetapi paling penting sekali ialah apabila sembuh jangan mengatakan jampi ini atau orang yang menjampinya hebat.

Sesuatu yang sangat menyedihkan dewasa ini ialah orang sudah tidak pandai lagi menjampi secara Islam seperti bagi kes histeria dan bayi yang menangis waktu maghrib.
Ramai orang berkumpul beramai-ramai membaca ayatul Kursi atau Yaasin kepada mangsa histeria namun apa yang lebih menggelikan ialah lagi banyak diulang ayat-ayat ini secara bacaan beramai-ramai, semakin aktif pula mangsa histeria berbuat yang bukan-bukan. Apabila ditambah pula dengan bunyi-bunyi lain yang mengerikan seperti atap diketuk-ketuk dan sebagainya yang amat mengerikan akibat dari permainan iblis, akhirnya usaha mereka ini akan sia-sia belaka dan kesudahannya bomoh sesat juga terpaksa dipanggil untuk menyelesaikan kes ini. Lazimnya bomoh sesat ini akan berjaya menyembuhkan gangguan histeria tersebut kerana itu semua adalah permainan iblis untuk menyesatkan manusia dan agar manusia lebih gemar menggunakan khidmat bomoh sesat.

Ini semua berlaku kerana Allah tidak reda dengan amalan yang mereka lakukan. Cukuplah menjadi kafir apabila seseorang itu meyakini bahawa bahagian ayat kursi ini (wala ya udhu hifzuhuma .........aziem) dibacakan akan menyebabkan iblis terbakar dengannya. Itu sebabnya Allah tidak reda dan iblis bergembira dengannya. Masya Allah.

Ramai orang kafir masa kini termasuk orang kafir di Malaysia beriman dengan tauhid rububiah dengan meyakini bahawa segala sesuatu ini berlaku dengan kekuasaan, kehendak, pentadbiran dan keizinan Tuhan jua. Walau bagaimana pun orang kafir ini tidak boleh dipanggil orang Islam kerana mereka menyalahi tauhid uluhiyah.
Pada zaman Nabi, orang kafir pada waktu itu mengaku bertauhid rububiah tetapi rasul memerangi mereka kerana tidak mahu bertauhid uluhiah.

http://emjayjb.multiply.com/journal/item/4

Tiada ulasan: