Abang, minggu depan saya nak bawa anak-anak pi melancong kat Sydney,”
pujuk Datin Sharifah kepada suaminya.
"Hm, ok jugak tu"
balas Datuk Karim sambil merendahkan surat khabar yang sedang dibacanya.
"Ada can aku jalan-jalan dengan Suziani"
detik hati kecil Datuk Karim. Senyumnya sedikit terukir teringatkan kenangan bersama Suziani, setiausaha peribadinya yang masih lagi bujang.
"Aahh! Ibu! Tolong!,"
tiba-tiba jeritan anak gadisnya memecah keheningan malam.
Datuk Karim segera bergegas ke tingkat atas bersama Datin Sharifah. Selepas membuka pintu bilik anaknya, kelihatan anak gadis mereka meniarap di atas katil sambil menutup muka dengan bantal.
Datin Sharifah lantas memeluk anaknya selepas anaknya itu bangun dari katil apabila menyedari kehadiran mereka berdua. Sambil suara anaknya tersekat-sekat, berselang-seli dengan sedu tangisan,
"Ibu, Myra nampak hantu ibu. Myra takut,"
anaknya mula bersuara. Pelukannya semakin erat, membuktikan ketakutan yang dirasainya.
Datuk Karim perlahan-lahan melipat surat khabar yang ada di tangannya. Pendengarannya ingin ditumpu kepada bualan Datin Sharifah dan Amyra. Hatinya sedikit gentar.
"Dia warna hijau. Dia ambik duit Myra ibu. Lepaih tu dia hilang,"
esakan Myra semakin kurang akibat keselesaan pelukan daripada seorang ibu.
"Shh, takpa. Nanti ibu suruh papa buat apa-apa yang patut, ok?"
Datin Sharifah mengusap kepala anaknya itu sambil mengayun-ayunkan badannya sedikit.
Datuk Karim secara tiba-tiba menelan air liur setelah isterinya itu menoleh sedikit kepadanya lalu merenungnya seolah-olah meminta respon positif daripadanya.
"Er, nanti papa uruskan"
suara Datuk Karim sedikit gagap. Perasaan takutnya bercampur-baur. Takutkan isterinya yang terlalu menyayangi anak gadis mereka dan takutkan hantu yang diceritakan oleh anaknya itu. Selama ini anak gadis mereka tidak pernah berbohong.
Keesokan harinya Datuk Karim gundah-gulana sehingga bunyi kerusinya yang dipusing ke kiri dan ke kanan mendapat sedikit perhatian daripada pembantu peribadinya, Raslan. Raslan yang sedang menyunting sesuatu melalui komputer riba di atas sofa bilik Datuk Karim, berhenti menaip seraya bertanya,
"Datuk sihat ka? Awat saya tengok semacam ja?"
sapa Raslan berniat ingin mengetahui keadaan Datuk Karim.
Selepas Datuk Karim menceritakan peristiwa anaknya yang berlaku semalam, Raslan membetulkan duduknya lalu berkata,
"Ha, tu toyol Datuk. Kawasan taman Datuk tu semua orang kaya-kaya. Tuan toyol memang suka suruh toyol belaan ni pi curi kat rumah orang kaya-kaya Datuk,"
sambung Raslan yakin. Kepalanya ditoleh kembali ke skrin komputer riba.
Dengan pantas Datuk Karim bangun lalu menghampiri Raslan. Setelah duduk bertentangan dengan Raslan, Datuk Karim bertanya,
"Betoi ka ni? Hang jangan tipu aku,"
tegas Datuk Karim. Kenal benar Datuk Karim dengan perangai Raslan. Sudah hampir 10 tahun Raslan menjadi pembantu peribadinya. Dalam tempoh itu, Raslanlah orang yang bertanggungjawab mencari setiausaha sulit yang cantik dan masih bujang buat Datuk Karim.
"Bukan dapat duit pun kalau saya tipu,"
Raslan meyakinkan Datik Karim.
Datuk Karim bersemangat bertanya kepada Raslan perihal toyol. Selepas beberapa ketika mereka bersepakat untuk berbuat sesuatu bagi menghalang toyol mencuri barang-barang Datuk Karim.
"Senang ja Datuk. Datuk beli la surah Yasin, ayat 1000 dinar, ayat Kursi. Lepaih tu gantung dalam rumah. Confirm toyol tak masuk dah lepaih tu Datuk"
ayat Raslan memberi harapan baru kepada Datuk Karim. Mukanya sebentar tadi bermuram durja tiba-tiba bertukar menjadi ceria.
"Macam ni la Datuk. Datuk bagi duit, mai saya pi beli. Kawan saya ada juai benda-benda macam tu"
Raslan menambah. Niatnya ingin memakan sedikit komisen daripada hasil belian barangan yang dicadangnya tadi.
Segera Datuk Karim membuka peti besinya dan mencapai beberapa keping duit. Dia tidak kisah berbelanja beberapa ringgit bagi menyelamatkan hartanya di rumah yang bernilai jutaan ringgit. Selepas menerima duit tersebut, Raslan segera beredar ke pintu untuk keluar mencari barangan yang diinginkan oleh Datuk Karim. Sewaktu tombol pintu dipulas,
"Eh, sat, sat. Hang jangan lupa resit. Bagi balik duit baki"
tambah Datuk Karim pantas. Raslan mengangguk sedikit, tetapi nafsunya menggeleng laju.
Selepas Raslan mendapatkan barangan tadi, Datuk Karim pulang ke rumah dengan gembira. Selepas tiba di rumah, dia terkejut melihat isterinya dan anak-anaknya sudah bersiap untuk melancong.
"Aik? Kata minggu depan?"
tanya Datuk Karim hairan.
"Tak mau la bang. Anak kita ni asyik mengadu takut ja. Baik kami pi awai-awai"
balas isterinya sambil mengangkat beg dan diletakkan di atas troli.
"Si Zafran pun pi jugak?"
Datuk Karim bertanya lagi.
"La, semalam kan saya dah cakap nak bawak anak-anak. Abang yang bagi"
isterinya mempersoalkan kata-kata Datuk Karim malam tadi.
Datuk Karim menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Khayalannya tentang Suziani menyebabkan kata-katanya membenarkan permintaan isterinya semalam. Kesunyian mengusap-usap Datuk Karim. Ayah mana yang tidak sunyi tanpa anak-anaknya. Hatinya semakin gelisah. Namun, Datuk Karim meyakini nasihat Raslan tadi.
Selepas isteri dan anak-anaknya beredar, Datuk Karim segera mengeluarkan barangan tadi untuk digantung di dalam rumahnya.
Waktu sudah menghampiri malam, ketiadaan tukang kebun yang banyak membantu pertukangan di dalam rumah memaksa Datuk Karim meletakkan ayat-ayat tadi di atas meja dan di tepi katil. Harapannya menggunung supaya toyol akan terus terbakar jika memasuki biliknya.
Tiba-tiba bunyi tapak kaki seseorang yang sedang berlari-lari di dalam rumahnya yang besar itu. Peluh dingin membasahi dahinya. Bulu roma di tengkuknya menegang serta-merta.
Hati Datuk Karim semakin berdebar apabila tombol pintu biliknya dipulas.
"Ahh, sudah..."
menyumpah-nyumpah Datuk Karim dalam hati. Tidak putus-putus dia berdoa supaya toyol tadi tidak dapat masuk ke dalam biliknya.
Lututnya terasa lemah, badannya terasa sangat sejuk. Sambil mencangkung di atas katil berlapik tilam Vono, Datuk Karim memeluk bantal sekuat hatinya. Matanya sedikit terbuka untuk melihat gerangan si toyol durjana yang bakal mencuri rezekinya selama ini.
"Ahh! Adoi! Sakit!"
tiba-tiba suara toyol yang keanak-anakan itu kedengaran seperti mengalami kesakitan yang tak terperi. Berguling-guling toyol tersebut di atas lantai bilik Datuk Karim. Datuk Karim memberanikan dirinya untuk melihat gelagat toyol yang sakit tersebut sambil merendahkan sedikit bantal yang dipeluknya tadi.
Datuk Karim tersenyum sedikit sambil mengangguk-anggukkan kepalanya.
"Sedapnya karpet ni"
si toyol tadi memberhentikan perbuatannya sambil mengusap-usap tangannya di atas lantai bilik Datuk Karim.
Terkejut Datuk Karim lalu menguatkan kembali pelukan bantal didakapannya.
Toyol tadi segera bangun lalu mundar-mandir di dalam bilik tersebut sambil melihat-lihat kemewahan yang dimiliki oleh Datuk Karim. Sesekali toyol tersebut menoleh ke arah Datuk Karim lalu senyum menampakkan gigi yang rongak dan buruk.
Datuk Karim membuka luas matanya untuk memastikan toyol tersebut benar-benar hantu atau lakonan budak-budak nakal yang ingin mencuri di dalam rumahnya. Diamatinya lama, dan keyakinan mula menusuk kalbu Datuk Karim bahawa sah yang berada di hadapannya itu toyol apabila toyol tersebut memanjat dinding untuk membelek gambar yang dibeli oleh Datuk Karim di Itali.
Datuk Karim melirikkan matanya sedikit melihat laci di sebelah katilnya untuk memastikan sama ada ianya berkunci atau tidak.
"Ha! Ada duit eh dalam tu?"
sapa toyol yang tiba-tiba ada di tepinya.
Terkejut besar Datuk Karim lalu menutup mukanya dengan bantal. Setelah beberapa ketika, bantal direndahkan lagi untuk melihat gelagat toyol tersebut.
Dengan penuh senyuman, toyol tadi menyelongkar laci Datuk Karim yang berisi wang dan pelbagai lagi barangan berharga. Di tangan toyol tersebut sudah tersarung jam tangan Tag Heuer milik Datuk Karim. Setelah mendapati dompet Datuk Karim, toyol tersebut melompat girang melihat wang yang banyak di dalamnya.
"Kad kredit ni tamat tempoh dak lagi?"
tanya toyol tadi kepada Datuk Karim yang berada di atas katil.
Mulut Datuk Karim seperti terkunci. Tidak ada sepatah perkataan pun yang mampu diucapkannya setelah melihat gelagat toyol sebenar dengan mata kepalanya sendiri.
"Tak mau la. Pakai kad kredit senang muflis"
seloroh toyol tersebut sambil melemparkan kad kredit Datuk Karim ke lantai.
"Wah! Blackberry tu! Yang ni Blackberry Storm kan?"
sambung pertanyaan toyol tersebut kepada Datuk Karim seraya mengangkat telefon tersebut dari laci dan menunjukkannya kepada Datuk Karim.
Hampir terkencing Datuk Karim melihat telatah toyol tersebut. Namun, dia tidak menjawab pertanyaan toyol tadi.
Sedang toyol tersebut asyik menyelongkar laci, Datuk Karim memberanikan diri untuk bersuara.
"Hang tak takut ka kat surah Yasin depan hang tu?"
tanya Datuk Karim sambil memuncungkan bibirnya ke arah surah Yasin yang berada betul-betul di atas almari laci berhadapan dengan toyol tersebut.
Toyol tersebut segera menoleh ke arah Datuk Karim dan perlahan-lahan menoleh ke arah surah Yasin di hadapannya.
"Bingkai surah Yasin ni emas ka?"
pertanyaan Datuk Karim dijawab dengan pertanyaan pelik daripada toyol tadi.
Bulu roma Datuk Karim semakin menegang.
Datuk Karim merenung surah Yasin tadi, hatinya bersungguh-sungguh mengharapkan keluarnya pancaran laser daripada ayat Yasin tersebut lalu membakar toyol yang sedang mencuri hasil titik peluhnya selama ini.
Beberapa ketika, toyol tersebut bersuara kembali,
"Saya nak takut apa dengan surah Yasin ni? Ni hiasan ja ni, bukan ada apa-apa pun"
sapa si toyol menjawab pertanyaan Datuk Karim yang pertama tadi sambil membelek-belek Blackberry Storm kepunyaan Datuk Karim.
Datuk Karim hairan.
"Syirik betoi si toyol ni"
detik hati Datuk Karim.
"Bukan hang sepatutnya terbakaq ka?"
tanya Datuk Karim kepada toyol tersebut inginkan kepastian cerita yang disampaikan oleh Raslan pagi tadi.
"Hahaha! Yasin ni kena baca. Kalau ikhlas, dengan izin Allah, saya tak dapat la masuk sini"
seloroh si toyol, menambahkan lagi keseraman malam itu.
"Bingkai ni saya bawak balik boleh?"
tanya si toyol sambil menuding ke arah surah Yasin di hadapannya.
Datuk Karim tergamam. Segera toyol tersebut mencabut bingkai surah Yasin lalu membawanya bersama.
"Kalau setakat nak gantung surah Yasin ni, kat rumah tuan saya pun banyak. Yasin kena masuk dalam hati Datuk, bukan dok gantung tapi tak reti baca. Hahaha!"
kutukan paling pedih pernah dirasai oleh Datuk Karim daripada seekor toyol.
Selepas beberapa ketika toyol tersebut melenyapkan diri, Datuk Karim merenung surah Yasin yang tertinggal di atas almari lacinya itu. Lama-kelamaan, Datuk Karim bersuara,
"Macam mana nak baca ayat-ayat ni ha?"
sambil Datuk Karim menongkat dagu, direnungnya surah Yasin sehingga keesokan harinya.
Hahaha... TechnoToyol
BalasPadam