07 September 2009

Dua calon UPSR dijangkiti H1N1

Dua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masing-masing dari Johor dan Pulau Pinang, yang mempunyai gejala jangkitan influenza A (H1N1), bakal menduduki peperiksaan itu di hospital di negeri berkenaan, serentak dengan 517,906 calon lain di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata beberapa petugas peperiksaan akan ditempatkan di hospital yang menempatkan murid berkenaan ketika mereka menduduki peperiksaan itu.

Beliau berkata persediaan untuk dua calon itu adalah antara langkah diambil Kementerian Pelajaran bagi mengawal penularan influenza A (H1N1) di kalangan calon yang menduduki UPSR tahun ini di 8,289 pusat peperiksaan seluruh negara.

Selain itu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan kira-kira RM5 juta untuk menyediakan kelengkapan seperti topeng mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman tangan dan alat jangka suhu untuk calon UPSR sebelum mereka menduduki peperiksaan itu, katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata bilik pengasingan juga disediakan di setiap pusat peperiksaan dan calon yang dikenal pasti mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius ketika saringan, perlu menduduki peperiksaan di bilik berkenaan.

"Bilik pengasingan itu jauh dari dewan utama peperiksaan dan mereka akan diawasi oleh beberapa petugas," katanya.

Alimuddin berkata seramai 32,944 petugas peperiksaan ditempatkan di pusat peperiksaan tahun ini.

Seramai 517,908 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSR mulai esok hingga Khamis ini di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 510,125 atau 98.5 peratus adalah calon sekolah di bawah kementerian dan sekolah bantuan kerajaan manakala bakinya 7,783 atau 1.5 peratus ialah calon sekolah swasta. BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan