26 Mei 2009

Kesan Dasar Pengajaran Matematik dan Sains Dalam Bahasa Inggeris di Sekolah

Oleh:
Profesor Emeritus Dato’ Isahak Haron (Ketua)
Prof. Madya Dr. Abdul Latif Hj, Gapor
Dr. Md Nasir bin Masran
Encik Abdul Halim bin Ibrahim
Dr. Mariam binti Mohamed Nor

Kod Penyelidikan UPSI: 03-12-95-05
Fakulti Sains Kognitif Dan Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris


Beberapa dapatan dan kesimpulan penting daripada hasil kajian

1. Lebih 85% pelajar melaporkan bahawa guru mereka mengajar Matematik dan Sains dengan mengguna dwi-bahasa: campuran Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Ini ialah kerana guru ingin membantu muridnya yang ramai lemah Bahasa Inggeris untuk memahami apa yang diajar.
2. Dapatan Ujian Sains sampel murid Tahun 5, Januari 2008, menunjukkan min skor Sains keseluruhan sampel hanya 4.28 daripada maksimum 14.00. Ini menunjukkan prestasi am Sains murid-murid semua keturunan Tahun 5 amat rendah.
3. Min skor Sains murid Melayu adalah lebih rendah (4.11) dari min skor murid Cina (7.22) dan India (4.64).
4. Seramai 83% murid Tahun 5 dari semua keturunan (sampel tinjauan Januari 2008) mendapati ’sukar/kadang-kadang sukar’ mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris. Hanya 17% yang menyatakan ’senang’ mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris.
5. Min skor Ujian Matematik keseluruhan sampel Januari 2008 ialah 7.89 daripada skor maksimum 20.0, menunjukkan prestasi am Matematik murid-murid Tahun 5 ini adalah rendah.
6. Min skor murid Melayu (7.66) adalah lebih rendah dari min skor murid Cina (13.03) dan India (8.21).
7. Tinggi peratus (lebih 75%) murid Tahun 5 dari semua keturunan (dalam kedua-dua sampel Februari 2007, dan sampel Januari 2008) yang mendapati ‘sukar/kadang-kadang sukar’ mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris. Mereka kurang faham pengajaran guru Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris. Lebih tinggi peratus yang sukar mempelajari Sains dalam Bahasa Inggeris berbanding dengan Matematik.
8. Lebih tinggi (purata lebih 80%) murid Melayu yang ‘sukar’ mempelajari Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris, berbanding dengan murid Cina dan India.
9. Lebih 75% murid Melayu Tahun 5 menyatakan yang ‘kerap dan kadang-kadang’ merujuk buku Sains dan Matematik dalam Bahasa Melayu, jika mereka tidak faham penerangan dalam Bahasa Inggeris. Dan kira-kira 35% menyatakan yang mereka memiliki sendiri buku rujukan Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu, sebagai buku bacaan dan rujukan tambahan.
10. Purata lebih 70% murid berlainan keturunan (dalam sampel 2007 dan 2008) rata-rata tidak dapat menjawab ujian Matematik dan Sains Tahun 4 (yang diuji semula dalam Tahun 5). Prestasi pelajar Melayu adalah lebih rendah dari pelajar Cina dan India.
11. Lebih teruk lagi ialah murid Orang Asli. Hampir kesemua mereka dalam sampel tidak dapat menjawab item-item soalan Ujian Sains; dan kurang 10% dapat menjawab ujian Matematik. Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris tidak bermakna kepada mereka.
12. Min skor Bahasa Inggeris keseluruhan sampel Januari 2008 hanya 11.97, (daripada skor maksimum 31.0) menunjukkan prestasi am Bahasa Inggeris murid Tahun 5 dari semua keturunan amat rendah.
13. Kelemahan ini lebih nyata di kalangan murid Melayu. Min skor murid Melayu 11.87 adalah lebih rendah dari min skor murid Cina 21.77 dan India 16.14.
14. Rata-rata masih tinggi peratus (70%) murid Tahun 5 dalam sampel 2007 dan 2008, dan lebih tinggi (hampir 75%) murid Melayu, yang tidak dapat menjawab item-item ujian Bahasa Inggeris. Penguasaan Bahasa Inggeris mereka masih rendah walau pun mereka terdedah dengan dasar PPSMI ini sejak 2003.

Kesimpulan besar pertama:

Dapatan di atas menunjukkan dasar penggunaan Bahasa Inggeris untuk meningkatkan kefahaman konsep, ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains pelajar sekolah rendah dan menengah (seperti yang diharapkan dalam siaran akhbar YB Menteri Pelajaran Julai 2002) tidak tercapai; bahkan kesannya adalah negatif.

Ini ialah kerana kebanyakan guru sendiri lemah penguasaan mereka dalam Bahasa Inggeris untuk menerangkan dengan jelas dan selesa konsep, ilmu dan kemahiran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kebanyakan pelajar, terutama pelajar Melayu/Bumiputera, lemah Bahasa Inggeris. Kedua-dua faktor ini berganda akibatnya, menyebabkan murid sukar memahami pengajaran guru Sains dan Matematik; mereka juga tidak cekap membaca buku teks mereka dalam Bahasa Inggeris. Dengan itu pelajar lemah dalam Matematik dan Sains seperti yang ditunjuk dalam hasil ujian Matematik dan Sains pada Tahun 5 sekolah rendah, atau di Tingkatan 1 dan 2 di sekolah menengah.

Kepayahan pembelajaran Sains adalah lebih tinggi berbanding dengan Matematik. Ini ialah kerana Sains memerlukan lebih banyak ‘penggunaan bahasa’ dalam huraian dan perbincangan tentang konsep, prosedur, dapatan Sains berbanding dengan Matematik.

Kesan negatif PPSMI ini terutama terasa di kalangan pelajar Melayu/Bumiputera di sekolah rendah dan menengah kebangsaan. Ini membawa jurang ketinggalan pelajar Melayu/Bumiputera dalam Matematik dan Sains bertambah luas di banding dengan pelajar Cina.

Kesimpulan besar kedua:


Impak positif pengajaran Sains dan Matematik (PPSMI) untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Bahasa Inggeris pelajar (seperti yang diharapkan oleh YB Menteri Pelajaran dalam siaran akhbarnya Julai 2002) juga adalah sedikit saja. Walaupun lebih banyak masa untuk murid terdedah dengan penggunaan Bahasa Inggeris melalui pelajaran Matematik dan Sains, kesan positif untuk meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris murid adalah kecil.

Masih tinggi peratus murid Tahun 5 (purata lebih 70%) menyatakan mereka ‘sukar/kurang senang’ mempelajari Bahasa Inggeris, dan mereka ‘kurang faham’ pengajaran guru. Ujian Bahasa Inggeris menunjukkan purata lebih 70% pelajar tidak lulus dan tidak mencapai penguasaan yang mencukupi. Mereka tidak dapat menjawab item-item Ujian Bahasa Inggeris Tahun 4 (yang diuji semula dalam Tahun 5, sampel Februari 2007 dan Januari 2008).

Ertinya penggunaan mata pelajaran Sains dan Matematik sebagai alat untuk meningkatkan penguasaan murid dalam Bahasa Inggeris tidak berkesan. Bahkan ia membawa kepayahan besar untuk pelajar belajar Sains dan Matematik; dengan itu menjadikan asas Matematik dan Sains pelajar lemah dan rendah prestasi mereka.

Kajian-kajian di luar negara seperti di Sweden menunjukkan bahawa asas yang kukuh dalam matematik dan sains lebih berkesan diajar dalam bahasa ibunda pelajar semasa mereka di sekolah rendah dan menengah. Fenomena yang sama berlaku di kebanyakan negara lain: Perancis, Germany, Jepun, Korea, Cina, Russia dan sebagainya. Setelah pelajar menguasai asas yang kukuh dalam Matekatik dan Sains di sekolah rendah dan menengah, dengan mudah mereka melanjutkan pengajian di peringkat tinggi dalam berbagai-bagai bidang sains dan teknologi.

Kelemahan murid, terutama murid Melayu/Bumiputera dalam Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris di peringkat rendah ini membawa secara kumulatif ke peringkat sekolah menengah dan seterusnya ke peringkat lebih tinggi. Jika dibuat unjuran, besar kemungkinan yang penawaran bilangan pelajar (supply) Matematik dan Sains yang cekap untuk meneruskan ke peringkat pengajian tinggi dalam bidang-bidang Sains dan Teknologi, Perubatan, Pertanian, dan Perniagaan akan menurun dalam masa terdekat ini, terutama di kalangan pelajar Melayu/Bumiputera. Atau IPT akan terpaksa menyediakan kursus-kursus ‘persediaan’ dan ‘pemulihan’ kepada pelajar lulusan sekolah menengah yang lemah ini bagi menentukan asas pelajaran mereka mencukupi untuk mengikuti program-program pengajian di IPT ini. Kosnya tinggi sekali.

Ertinya, dasar penggunaan Bahasa Inggeris untuk mengajar Matematik dan Sains (PPSMI) telah gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Matematik dan Sains pelajar, terutama pelajar Melayu/Bumiputera; dan gagal untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Bahasa Inggeris pelajar. Kualiti pendidikan yang diterima pelajar kita bertambah rendah. Kesan kumulatif ialah sebahagian besar (lebih 75%) pelajar Melayu tidak menguasai secukupnya konsep, ilmu dan kemahiran Matematik dan Sains dan Bahasa Inggeris.

Syor

Syor Pertama

Berdasarkan dapatan-dapatan negatif di atas, Kerajaan perlu

• mengkaji semula dasar penggunaan bahasa pengantar Inggeris sebagai bahasa pengantar Sains dan Matematik di sekolah rendah dan menengah; dan hendaklah kembali semula mengguna Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains di peringkat rendah dan menengah.

Bahasa Inggeris bukan alat atau bahasa pengantar yang mudah dan berkesan untuk meningkatkan pembelajaran dan prestasi Matematik dan Sains. Guru dan pelajar di Malaysia telah pun menguasai Bahasa Malaysia secukupnya untuk dengan lebih mudah mengajar dan mempelajari konsep dan kemahiran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia.

Dengan itu asas Matematik dan Sains pelajar akan lebih kukuh, untuk mereka terus belajar kedua-dua mata pelajaran penting ini. Mereka akan dengan lebih mudah mempelajari Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris di peringkat tinggi jika asas Matematik dan Sains mereka kukuh.

Syor kedua

Kerajaan hendaklah

• memperuntukan masa/waktu yang lebih bagi pengajaran subejk Bahasa Inggeris di peringkat rendah dan menengah.

• Bahan pengajaran dan pembelajaran dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris alternatif yang lebih berkesan harus diguna.

Galakkan semua universiti, institut pendidikan guru (IPG), guru-guru pakar Bahasa Inggeris di sekolah untuk menggubal pilihan bahan dan kaedah alternatif pengajaran-pembelajaran Bahasa Inggeris. Setengah daripada pendekatan alternatif ini sudah ada. Kaedah alternatif ini tentu berbeza untuk mengajar murid berlainan latar belakang dan kebolehan: misalnya bahan dan kaedah pengajaran Bahasa Inggeris bagi pelajar Melayu di sekolah luar bandar berbeza dengan bahan dan kaedah untuk mengajar murid di bandar dari keluarga profesional yang sudah terdedah dengan Bahasa Inggeris. Guru dan murid tidak seharusnya dikongkong oleh arahan dan panduan dari Kementerian Pelajaran dari segi sama ada dari segi buku teks, modul atau pendekatan pengajaran. Satu pendekatan yang ‘standardised’ atau sama untuk mengajar Bahasa Inggeris kepada pelajar yang berlainan kebolehan tidak akan berkesan.

Dalam pengajaran Bahasa Inggeris unsur-unsur sains, matematik, sejarah, geografi dan sastera boleh dimasukkan sebagai bahan (content) pengajaran-pembelajaran. Dengan itu pelajar belajar serentak ‘kemahiran berbahasa Inggeris’ dan ‘kandungan ilmu’ untuk memperkembangkan penggunaan bahasa Inggeris dalam konteks pelbagai disiplin.

Penguasaan Bahasa Inggeris secukupnya di peringkat rendah adalah asas untuk pembelajaran dan perluasan ilmu dalam semua bidang, termasuk dalam Sains dan Matematik seterusnya.

Penutup

Dasar kerajaaan hendaklah bertujuan untuk mengukuh penguasaan Matematik dan Sains pelajar kita di peringkat rendah dan menengah, sehingga SPM. Ini sudah pun berjaya dilaksanakan melalui bahasa Malaysia, kerana guru dan pelajar telah menguasai Bahasa Malaysia, dan lebih mudah dan berkesan mereka mempelajari Sains dan Matematik dalam Bahasa Malaysia. Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar Matematik dan Sains telah gagal untuk memudah dan meningkatkan pembelajaran Matematik dan Sains pelajar.

Kerajaan hendaklah kembalikan kepada dasar pengajaran dan pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Malaysia, supaya dengan itu bilangan pelajar yang menguasai Sains dan Matematik meningkat. Dengan itu bilangan pelajar yang dapat meneruskan pelajaran mereka dalam berbagai bidang sains dan teknologi di peringkat pengajian tinggi di dalam negara atau di luar negara, sama ada di UK, USA, Jepun, Germany, France, Russia atau Korea, akan meningkat. Mereka ini hanya perlu belajar bahasa kedua/asing ini .

Penguasaan Bahasa Inggeris pelajar lebih berkesan dipertingkatkan melalui pengajaran intensif Bahasa Inggeris, dengan banyak latihan membaca dan menulis berbagai jenis bahan, termasuk cerita dan puisi dalam Bahasa Inggeris. Matematik dan Sains bukan alat yang berkesan untuk meningkatkan penguasaan berbahasa Inggeris pelajar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan