21 Mei 2009

Islam Inklusif - satu lagi projek barat untuk menghancurkan islam

Islam Inklusif secara logiknya akan mengakui kebenaran agama lain selain daripada Islam. Terma yang digunakan oleh golongan Islam Liberal ini menggunakan pendekatan untuk menyamakan agama lain dengan agama Islam, kerana agama lain turut dikatakan menganjurkan amalan yang baik dan benar.

Terma Inklusif sebenarnya menyamai konsep pragmatisme akhlak yang telah dipopularkan oleh John Dewey di Amerika Syarikat. Dalam konsep pragmatisme, kebenaran mutlak tidak ada menyebabkan setiap sesuatu tidak bersifat eksklusif. Dalam konteks mudah ia seakan mengarahkan umat Islam mengakui kebenaran agama lain sehingga boleh menyebabkan umat Islam berada pada tahap murtad.

Di Malaysia, usaha golongan kelompok ini dapat dilihat dari segi idea, penulisan karya, percakapan dan kelakuan seseorang atau organisasi. Mereka seboleh mungkin cuba menampakkan diri mereka terpisah tetapi mereka mempunyai jaringan dalam kelompok sendiri yang hanya diketahui oleh kelompok mereka sahaja. Dengan menjadikan pendekatan sederhana kelompok ini seringkali mengelirukan masyarakat islam di Malaysia.

Fahaman ini juga dikatakan melihat pandangan hidup Islam yang berpandukan beberapa dasar seperti konsep tuhan, kenabian, ilmu dan agama yang diletakkan sebagai objek yang membingungkan dan perlu diperdebatkan.

Sebenarnya ini semua adalah permainan barat yang sengaja mencipta pelbagai terma untuk meletakkan Dunia Islam dalam aneka perangkap mereka dengan penciptaan pelbagai istilah seperti Islam tradisional vs moden, Islam sederhana vs fundamentalis, Islam legalistik/formalistik vs substantif normatif, Islam budaya vs struktural serta Islam inklusif vs eksklusif.

Untuk mengelirukan kelompok islam juga, Barat dengan sengaja melontarkan pelbagai istilah dan pemikiran dengan aliran politik dan ideologi serta melakukan permainan istilah yang berbahaya dan asing seperti Islam Liberal, Islam Moderate dan Pluralisme Islam dengan maksud mendatangkan keraguan umat Islam terhadap ajaran asal agama yang dianuti. Ini dilakukan semata-mata kerana barat bimbang sekiranya umat islam bangkit menerusi ideologi Islam sebenar seperti yang telah dilakukan oleh tamadun islam sebelum ini seperti kewujudan kerajaan Abbasiyah, kerajaan Cordova dan juga kerajaan Bani Uthmaniyah, akan menyebabkan barat kembali berada di dalam kegelapan atau kemunduran.

Profesor Sosiologi agama di Universiti North Carolina, Amerika Syarikat, Charles Kurzman telah memperkenalkan istilah atau gerakan baru di Dunia Islam ini menerusi bukunya ‘Islamic Liberalism’ dan sebelum itu Leonard Binder cuba menyebarkan fahaman berkenaan dalam bukunya Islamic Liberalism: A Critique of Development Ideologies.

Secara ringkas, aliran islam seupama ‘mazhab’ ini berakar umbi kepada fahaman kebebasan tanpa batasan bagi membolehkan akal manusia digunakan secara sebebas-bebasnya untuk memberi jawapan dan persoalan kepada semua perkara tanpa merujuk kepada Al Quran dan Hadis. Pada kelompok ini tafsiran terhadap Al-Quran perlu dilakukan semula kerana mereka mengangap tafsiran lama sudah tidak relevan dalam keadaan persekitaran umat islam hari ini.

Pengarah Eksekutif Institut Kajian Pemikiran dan Tamadun Islam Indonesia (INSISTS), Adnin Armas, ketika membentangkan kertas kerja ‘Sumber Liberalisasi Pemikiran Islam: di Ipoh pada tahun 2006, Kes al-Quran’ dalam muzakarah itu, berkata pengikut fahaman berkenaan kini semakin berani mencabar akidah umat Islam dengan menyarankan agar al-Quran disunting semula dan disusun menjadi sebuah kitab baru dikenali al-Quran edisi kritis (a critical edition of the Quran) kerana mendakwa terdapat banyak kelemahan dalam isi kandungannya.

Katanya, golongan berkenaan yang sebahagiannya memiliki latar belakang pendidikan agama mula mengemukakan gagasan supaya al-Quran diolah semula pada 2002 di Indonesia sehingga sanggup mengeluarkan ungkapan antara lain: “Hakikat dan sejarah penulisan al-Quran sendiri sesungguhnya penuh dengan berbagai-bagai nuansa yang delicate (rumit), dan tidak sunyi daripada perdebatan, pertentangan, intrik dan rekayasa (direka-reka).”

Adnin berkata, fenomena itu adalah kes baru kerana ketika penjajahan Belanda, Inggeris dan Jepun di Indonesia sekalipun perkara seperti itu tidak pernah berlaku. Malah, beliau berpendapat pemikiran yang mengkritik al-Quran itu datangnya dari pengaruh pandangan hidup Yahudi-Kristian.

Katanya, dengan menggunakan tafsiran baru kepada sumber dalaman tradisi Islam, golongan orientalis membangunkan teori baru yang bukan saja berbeza tetapi bertentangan dengan pendapat golongan ulama besar silam hingga sekarang.

Malangnya, kata beliau, ramai pemikir Islam terpengaruh dengan pemikiran itu sehingga pelbagai kritikan telah dilontarkan terhadap kitab suci itu terutama dalam mempertikaikan mushaf Uthmani yang digunakan sekarang dianggap sebagai tidak asli.

“Untuk menangani persoalan berkenaan, sudah tiba masanya bagi golongan ulama meneliti karya orientalis ini secara serius. Menerusi tindakan membongkar akar pemikiran sekular-liberal, diharapkan ranting pemikir Islam yang sudah terpengaruh dengan kerangka pemikiran Barat akan dengan sendirinya roboh,” katanya.

Majlis Ulama Indonesia (MUI) yang bersidang dalam Musyawarah Nasional (Munas) Kali Ketujuh pula telah mengeluarkan fatwa bahawa ajaran Ahmadiyyah, liberalisme dan pluralisme sebagai ajaran sesat. Sejak itu, pengikut fahaman liberalisme dan pluralisme telah melakukan pelbagai cacian dan tentangan terhadap MUI dan golongan ulama.

Dalam sejarah tamadun Islam, ramai tokoh di kalangan umat Islam telah mengeluarkan hujah atas nama ‘mengeluarkan umat Islam dari kemunduran’ dengan bercakap atau melakukan perbuatan yang melanggar syariat seperti Ziya Gokalp (1875-1924) di Turki yang menyarankan agar orang Turki bersolat menggunakan bahasa Turki agar mereka berasakan jiwa lebih dekat dengan Tuhan serta menganggap hukum Islam hanya bersumberkan nas al-Quran dan adat kebiasaan (urf) masyarakat di sesuatu tempat.

Begitu juga dengan pemerintah Islam Moghul di India, Akbar Khan atau ‘Akbar Agung’ yang telah mencipta agama Din Ilahi dengan menyatukan semua agama atas alasan untuk mengelakkan perpecahan masyarakat yang pelbagai kaum dan agama. Pendekatan yang seumpama membawa maksud agama lain juga benar ini telah menyebabkan Islam setaraf dengan agama lain. Malah Akbar juga telah bertindak mengahwini puteri raja Hindu dan membenarkan cucunya dibaptis oleh paderi kristian untuk menunjukkan dasar keterbukaan dirinya terhadap agama lain. Beliau juga telah mendirikan rumah pelacuran berhampiran istananya dengan tujuan untuk melayan kehendak nafsunya, selain pelacur perempuan rumah pelacuran itu juga turut mempunyai pelacur lelaki. Walaupun beliau mengakui dirinya adalah seorang Islam.

Begitu juga dengan Abdul Rahman Al-Kawakibi tokoh pembaharuan agama di Mesir, merupakan pelopor kepada gerakan nasionalis dan patriotisme Arab sewaktu Sultan Abdul Hamid sedang memerintah kerajaan Uthmaniyah Turki. Beliau terpengaruh dengan sistem pemerintahan demokrasi di eropah dan berpendapat bahawa masalah membentuk kerajaan merupakan masalah asasi kepada manusia dan beliau menyeru agar Negara-negara di Timur agar menuruti jalan Demokrasi yang telah dilakukan oleh barat. Abdul Rahman juga tidak mengiktiraf kewujudan dua kekuasaan kepada ketua kerajaan ialam iaitu kuasa agama dan kuasa politik (sivil) kerana pada beliau agama dan politik seharusnya berasingan. Bagi tokoh kontroversi ini juga agama adalah apa yang dianuti oleh seseorang peribadi dan bukannya apa yang dianuti oleh semua orang.

Secara kebetulan, kebanyakkan besar tokoh atau mereka yang cuba memajukan ummah dari kemunduran akibat fahaman sempit mereka terhadap Islam selalunya akan mendapat sokongan atau menerima bantuan daripada pertubuhan atau negara Barat. Keadaan ini berlaku sejak dari zaman penjajahan Barat di negara Islam sehingga sekarang.

Seharusnya umat Islam berhati-hati dengan serangan pemikiran ini kerana golongan yang menyokong gerakan pemikiran ini tidak pernah henti untuk menyebarkan idea mereka semenjak daripada zaman silam sehingga sekarang dan sentiasa kekal dalam pemikiran tersebut.

Walaupun gerakan pemikiran ini menggunakan terma-terma yang pelbagai untuk mengelirukan pergerakan dan pemikiran mereka, namun secara kasarnya kita akan dapat melihat corak yang biasa mereka gunakan untuk mempopularkan idea mereka. Contohnya memperjuangkan hak kebebasan, kesamarataan dan memperjuangkan hak perempuan. Selain itu mereka juga akan mempromosi slogan demokrasi dengan harapan mereka diberi ruang untuk menyebarkan pemikiran mereka. Sebab itu sewaktu pemerintahan Sultan Abdul Hamid, golongan ini menganggap Sultan tersebut adalah kuku besi kerana cuba menghalang gerakan pembaratan pada zaman Uthmaniyah.

Kini slogan itu sudah meresap ke Malaysia dengan menjadikan demokrasi, kebebasan akhbar dan kebebasan beragama sebagai agenda, adakah Malaysia akan menjadi senasib empayar Uthamaniyah Turki selepas ini atau menjadi seperti Indonesia yang sudah seperti tidak dapat dikawal perkembangan aliran pemikiran ini disana selepas era orde baru.

sumber: http://pochongmenulis.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan