09 April 2009

Harimau, buaya dan tikus

Adalah seorang hamba Allah ni , dia pergilah bersiar-siar di tepi hutan. Sedang dia menghirup udara rimba yg segar tu, tetiba dia terdengar satu bunyi....aauuummmmm !!!!!.... bunyi harimau yg kelaparan dan hanya menunggu mangsanya saja. Jadi, si hamba Allah ni pun lari untuk menyelamatkan diri. Harimau tu kejar hamba Allah ni. Sebab dia dah lapar sangat ni. Harimau tu pun kejar, kejar, kejar dan kejar. Hamba Allah ni punyalah takut, berlari lintang pukang. Sempat juga dia berdoa agar dia diselamatkan daripada dibaham dek harimau tadi. Dengan kuasa Allah diperlihatkan sebuah perigi di depan mata nya. Jadi untuk menyelamatkan diri si hamba Allah ni pun terjunlah ke dalam perigi. Perigi tu ada tali dan sebuah timba. Si hamba Allah ni bergayut pada tali tu. Tali tu pendek jer. Jadi dia bergantungan di tengah-tengah perigi. Di mulut perigi harimau yg lapar tu menunggunya.

Si hamba ni pun berfikirlah macam mana nak menyelamatkan diri. sambil berdoa kepada Allah agar dia diselamatkan. Tengah dok berfikir cam ner nak selamat tetiba dengar bunyi kocakkan air di bawah perigi. Aaaaa!!!!... Ya Allah..... lagilah seram dibuatnya. Nak tahu ada apa kat bawah tu? Ada 2 ekor buaya yg kelaparan. Apalah nasib. Dah jatuh ditimpa tangga. Lagilah takut si hamba Allah ni. Atas ada harimau bawah ada buaya. Semakin risau dan takut. Tengah berfikir untuk mencari jalan keluar tetiba keluar seekor tikus putih dari lubang celah-celah perigi. naik ke atas ikut tali yg hamba Allah tu bergayut. sampai kat atas tikus tu gigit tali tu pulak.

Pastu, keluar lagi seekor tikus yg berwarna hitam. Dia naik mengikut tali tadi, cit!cit!cit! cit! Sampai kat atas.Tikus hitam ni pun gigit juga tali tu.

"Cis,lagi satu . Macam aku nak buat ni.... habislah jadi mangsa buaya."

Berfikir lagi. Kalau naik kat atas makan dek harimau. Kalau tunggu tali putus dan jatuh ke bawah makan dek buaya.

"Macam mana nih..."

Sedang hamba Allah tu berfikir cam ner nak selamatkan dirinya, tetiba ... terdengar satu bunyi....uuuuuuuuuu uuu...Bunyi lebah bawa madu. Si hamba Allah ni pun mendongak ke langit, melihat lebah yg sedang bawa madu. Tetiba setitik madu terjatuh dan terus masuk ke dalam mulut si Hamba Allah ni tadi.

Punyalah nikmat sehingga tidak terkata. Hamba Allah tu kata,

"Fuh manisnya madu ni , tak pernah ku rasa manisnya ni. Sedapnya. Subhanallah sungguh sedap madu ni."

Kerana setitik madu si hamba Allah tu lupa pada harimau yg sedang menantinya di mulut perigi dan buaya yang menantinya di bawah.


--------------------------------------------------------------------------------

Kalau semua nak tahu , si Hamba Allah itu adalah kita semua.

Harimau yang mengejar tu adalah maut kita, ajal memang sentiasa mengejar kita, so beringat-ingatlah.

2 ekor buaya itu adalah Malaikat Munkar dan Nankir yg menanti kita di alam kubur nanti.

Tali yg tempat si hamba bergayut tadi adalah jangka hayat kita yang menentukan panjang ataupun pendek umur kita

Tikus putih dan hitam tu adalah dunia kita siang dan juga malam yg sentiasa menghakis umur kita. Kan tikus tu gigit tali.

Madu yang jatuh setitik ke dalam mulut hamba itu tadi adalah nikmat dunia. Bayangkan setitik saja madu tu jatuh ke dalam mulutnya, dia lupa pada harimau dan buaya tu. Macam kitalah bila dapat nikmat sikit lupa pada Allah. Waktu susah memang sentiasa ingat.......

04 April 2009

Dasar PPSMI Perlu Dimansuhkan

Perlu Dicari Akar Umbi Masalah

Semenjak demonstrasi yang dilakukan di Kuala Lumpur pada 7 Mac yang lepas, isu PPSMI semakin hangat diperkatakan. Ada yang terus menyatakan bantahan dan ada juga yang mempertahankan keperluan dasar PPSMI. Namun, daripada pemerhatian peribadi, rata-rata pandangan yang mempertahankan dasar PPSMI dibuat berdasarkan kepentingan politik ataupun dengan berdasarkan pemikiran yang simplistik.

Harus difahami bahawa isu PPSMI bukan isu politik. Pihak yang berterusan membantah isu PPSMI juga bukanlah pihak yang mempunyai kepentingan politik. Seandainya ditelusuri sejarah isu ini, maka kita akan dapati bahawa pihak yang benar-benar berterusan memperjuangkan agar dasar PPSMI dimansuhkan, semenjak daripada mula-mula timbulnya cadangan untuk melaksanakan dasar ini, bukanlah parti-parti politik tetapi badan-badan bukan kerajaan (NGO), para sasterawan dan para intelektual negara. Hal ini bermakna bahawa bantahan yang dibuat bukanlah berdasarkan kepada apa-apa kepentingan sebaliknya hanyalah bertunjangkan rasa cinta kepada bangsa dan keprihatinan akan masa depan umat.

Adalah penting untuk difahami dengan jelas bahawa bantahan yang disuarakan terhadap dasar PPSMI tidak sama sekali bererti penolakan terhadap kepentingan menguasai Bahasa Inggeris sebagai salah satu bahasa yang penting di dunia pada hari ini. Secara umumnya boleh diperhatikan bahawa persepsi ini wujud; bahawa seolah-olah pihak yang membantah dasar PPSMI ini adalah pihak yang menentang Bahasa Inggeris. Hal itu tidak benar sama sekali. Kepentingan menguasai Bahasa Inggeris tidak dinafikan, malah memang perlu digalakkan. Malangnya, pelaksanaan dasar PPSMI bukanlah langkah yang betul; bukan hanya pelaksanaan dasar ini tidak membantu meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar tetapi akan membawa kesan-kesan lain yang cukup kritikal, khususnya dalam konteks budaya dan pandangan alam.

Dasar PPSMI bukanlah penyelesaian untuk masalah penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan para pelajar kerana dasar ini lahir daripada corak pemikiran yang normal dan simplistik. Dasar ini tidak menyentuh permasalahan dasar. Dalam proses penyelesaian masalah, antara langkah awal yang penting adalah proses mengenalpasti punca masalah yang sebenar. Kegagalan mengenalpasti punca permasalahan yang sebenar akan menyebabkan tindakan yang salah diambil, lantas gagal menyelesaikan masalah. Cara berfikir secara simplistik, dengan gaya pemikiran yang normal yang biasanya akan mudah membuat sesuatu kesimpulan atau keputusan dengan berdasarkan maklumat yang tidak lengkap, akan menyebabkan punca masalah yang sebenar gagal untuk dikenalpasti.

Dalam isu yang sedang diperkatakan ini, masalah yang ingin ditangani adalah kelemahan para pelajar dalam menguasai Bahasa Inggeris, sekaligus menyukarkan mereka untuk mendapatkan ilmu-ilmu berkaitan Sains dan Teknologi kerana kebanyakan rujukan adalah dalam Bahasa Inggeris. Setelah masalah dikenalpasti, langkah seterusnya adalah untuk mengenalpasti pula punca permasalahan yang sebenar. Dalam mengenalpasti punca masalah, adalah penting untuk kita tanyakan:

" Mengapakah para pelajar kita gagal menguasai Bahasa Inggeris walaupun setelah mereka mempelajari bahasa itu di sekolah semenjak Darjah 1 hingga Tingkatan 5 - sejumlah 11 tahun kesemuanya! "

Tempoh 11 tahun itu adalah satu tempoh yang sangat panjang untuk mempelajari bahasa. Bukankah perkara ini memberitahu kita bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah? Seterusnya, kalaupun kita meletakkan kegagalan menguasai disiplin ilmu Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris sebagai masalahnya, kita pasti akan bertemu dengan punca permasalahan yang sama apabila difikirkan secara rasional dan berdasarkan pandangan para intelektual.

" Apakah kegagalan menguasai Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris itu adalah disebabkan Bahasa Inggeris tidak dijadikan bahasa pengantar bagi pengajian kedua-dua subjek tersebut, ataupun disebabkan memang para pelajar tidak mahir berbahasa Inggeris? "


Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Ilmu

Pelaksanaan dasar PPSMI dibuat dengan mengakui bahawa para pelajar kita pada hari ini tidak mahir berbahasa Inggeris. Nah, apakah mungkin para pelajar kita memahami konsep-konsep Sains dan Matematik yang diajar dalam satu bahasa yang mereka tidak mahir? Maka, akar permasalahannya adalah pembelajaran Bahasa Inggeris itu sendiri. Memang tidak dinafikan bahawa kebanyakan rujukan bagi disiplin Sains dan Matematik adalah dalam Bahasa Inggeris. Namun, sekurang-kurangnya di peringkat asas (sehingga ke peringkat pengajian SPM), kita sudah sedia mempunyai rujukan-rujukan dalam Bahasa Melayu. Perkara ini dinyatakan dengan tidak menafikan bahawa terdapat juga rujukan-rujukan bagi bidang Sains dan Matematik di peringkat yang lebih tinggi dalam Bahasa Melayu, walaupun bilangannya sedikit. Apa yang penting sekarang ini adalah, seandainya negara ini ingin melahirkan lebih ramai graduan yang mahir dalam disiplin Sains dan Matematik, konsep-konsep asas yang akan membawa kepada kefahaman dalam ilmu-ilmu Sains dan Matematik itu perlulah dikuasai oleh para pelajar. Untuk menguasai konsep itu pula, bahasa pengantar yang paling sesuai digunakan adalah Bahasa Melayu kerana itulah bahasa percakapan harian yang rasmi bagi masyarakat di negara ini. Justeru, apabila diajarkan sains dan matematik itu dalam Bahasa Melayu, para pelajar akan lebih mudah menangkap konsep-konsep yang perlu mereka fahami.

Kita tidak harus memandang rendah akan kemampuan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Lihatlah kepada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain universiti, bagaimana mereka telah melahirkan ramai graduan dalam bidang Sains dan Matematik serta mempunyai pensyarah-pensyarah yang berkelayakan dan universiti-universiti tersebut melaksanakan pengajiannya dalam Bahasa Melayu – sejak sekian lama! Mungkin akan timbul persoalan:

" Mengapakah kita masih jauh terkebelakang dalam sains dan teknologi? "

Sudah tentu adalah tidak adil, malah tidak wajar, untuk kita menyalahkan bahasa pengantar dalam hal ini. Ada banyak faktor yang lain yang perlu diberikan perhatian serius. Seperti:

" Adakah benar universiti kita mengamalkan sistem akademik yang benar-benar berdisiplin sehingga mampu melahirkan graduan yang mahir dan mampu bersaing di pentas antarabangsa? "

Kemudian, jika ada:

" Adakah kemahiran dan pengetahuan yang meluas di kalangan para graduan itu dimanfaatkan secara optimum dalam bidang penyelidikan dan pembangunan sains dan teknologi di negara ini? "

" Adakah kita masih tidak meyakini kemampuan anak tempatan, lantas masih menggunapakai pakar daripada luar negara? "

" Apakah para pelajar kita diberikan ruang dan kebebasan berfikir yang betul-betul luas sehingga mampu mengembangkan pemikiran kreatif dan inovatifnya? "

" Adakah para pelajar kita sudah terdidik dengan sikap yang betul sebagai seorang penuntut ilmu? "

" Apakah kemudahan fasiliti dan peralatan yang diperlukan bagi melaksanakan penyelidikan dan pembangunan dalam disiplin ilmu sains dan matematik mencukupi di negara ini? "

Isu Dasar Menjadi Persoalan

Penentangan terhadap dasar PPSMI ini juga bukanlah semata-mata penentangan terhadap pelaksanaan dasar tersebut tetapi lebih kepada penentangan terhadap dasar itu sendiri. Soal pelaksanaan, dalam apa jua dasar dan pada apa jua peringkat, pasti akan punya kelemahan dan kekurangan kerana itulah sifat manusia. Justeru, soal pelaksanaan tidak memerlukan kepada penentangan yang terlalu agresif. Malah, seandainya isu ini adalah isu pelaksanaan, maka yang lebih sesuai adalah semua pihak duduk bersama-sama untuk cuba menyelesaikan masalah tersebut. Namun, isu ini adalah isu dasar. Selain daripada ketidakmampuan pembelajaran dalam Bahasa Inggeris untuk membina kefahaman terhadap konsep-konsep dalam ilmu sains dan matematik, dasar PPSMI juga akan menyebabkan Bahasa Melayu menjadi semakin terpinggir. Hal ini merupakan satu hal yang cukup kritikal. Walaupun pihak yang mempertahankan dasar PPSMI berulang kali menegaskan bahawa pelaksanaan dasar PPSMI tidak bermaksud untuk mengenepikan kepentingan Bahasa Melayu, namun itu sekadar alasan yang bersifat retorik semata-mata. Hakikatnya, apabila Bahasa Melayu dikeluarkan daripada pengajian sains dan matematik, maka di manakah kedudukan Bahasa Melayu? Di mana lagi Bahasa Melayu akan digunakan?

Ilmu Sains dan Matematik adalah ilmu asas yang akan mencapah kepada terlalu banyak bidang yang lain seperti kejuruteraan, komputer, perubatan, pelayaran, pemetaan, geologi dan lain-lain. Apabila Bahasa Melayu dibuang daripada pembelajaran ilmu-ilmu itu, maka bukankah Bahasa Melayu hanya akan digunakan di pasar-pasar dan di jalanan? Bukankah itu merendah-rendahkan martabat Bahasa Melayu? Maka, bagaimana mungkin kita mahu memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa teknologi? Malah, untuk jangka masa yang panjang, dikhuatiri akhirnya Bahasa Melayu akan terus dipinggirkan. Apabila keadaan ekonomi dan teknologi masyarakat sudah berkembang, siapakah agaknya yang masih mahu menggunakan Bahasa Melayu – sebuah bahasa jalanan dan bahasa pasar – sebagai bahasa pertuturan harian mereka?

Bahasa Dan Budaya

Penting untuk difahami bahawa bahasa itu jiwa bangsa. Apabila Bahasa Melayu dipinggirkan dan Bahasa Inggeris diangkat tarafnya terlalu tinggi, maka akhirnya budaya masyarakat Barat yang menggunakan Bahasa Inggeris itu akan menyerap masuk secara langsung ke dalam masyarakat di negara ini. Sememangnya tidak semua yang daripada Barat itu adalah negatif, banyak juga yang positif. Namun, lakukanlah penilaian secara objektif; unsur-unsur daripada Barat yang begitu banyak mendominasi kaca-kaca televisyen, corong-corong radio, halaman-halaman dalam majalah dan dada-dada akhbar, apa dia? Bukankah filem-filem daripada Hollywood, yang hampir kesemuanya pasti memaparkan pergaulan bebas lelaki dan wanita (paling tidak, pasti ada adegan bercumbu antara lelaki dan wanita), yang begitu banyak ditayangkan di panggung-panggung wayang? Ditambah lagi dengan VCD dan DVD yang boleh diperolehi dengan begitu mudah? Bukankah artis-artis daripada Barat yang tidak mampu menunjukkan contoh ikutan yang baik kepada masyarakat di negara ini, begitu banyak menghiasi dada akhbar dan majalah, malah lagu-lagu mereka diputar berulang kali dalam radio? Ditambah lagi dengan teknologi Internet yang membolehkan masyarakat di negara ini mendapat capaian kepada pelbagai bahan yang tidak sihat, yang majoritinya daripada Barat. Kita tidak boleh memisahkan hal budaya ini daripada bahasa. Budaya bangsa Melayu, budaya bangsa lain, budaya bangsa Asia, adalah budaya yang sifatnya cukup lemah-lembut dan kaya dengan adab. Tetapi tunjangnya bukan Bahasa Inggeris! Lihatlah apa yang terjadi kepada jatidiri orang Melayu di Singapura apabila Bahasa Inggeris dijadikan sebagai bahasa utama mereka.

Perkaitan antara bahasa dan budaya ini dijelaskan secara terperinci dan jelas oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, antaranya dalam karangannya yang berjudul ‘Risalah Untuk Kaum Muslim’. Bahasa itu bukanlah sekadar perkataan-perkataan kosong, tetapi bahasa adalah medium penyampaian mesej. Perkataan dan istilah dalam bahasa itu membawa makna yang tersendiri, dalam konteks yang tersendiri, yang akhirnya membawa kepada pembentukan pandangan alam seseorang itu.

Islamisasi dan Bahasa Melayu

Dalam konteks agama Islam pula, ada sebab yang cukup utuh mengapa Bahasa Melayu itu perlu dipertahankan. Selain daripada berbahasa Melayu itu digandingkan dengan beragama Islam sebagai ciri bangsa Melayu dalam Perlembagaan Persekutuan, apa yang penting juga adalah Bahasa Melayu ini adalah sebuah bahasa yang telah melalui proses Islamisasi di rantau ini. Sebagai sebuah bahasa yang telah melalui proses Islamisasi, maka peranan Bahasa Melayu di rantau ini adalah sangat penting dalam pembentukan pandangan alam Islam seseorang itu. Begitu banyak perkataan dalam Bahasa Melayu adalah berakar daripada bahasa Arab yang Islamik. Istilah bahasa Arab yang Islamik digunakan di sini kerana bukan semua yang berbahasa Arab itu adalah orang Islam dan juga kerana bahasa Arab itu sendiri telah melalui proses Islamisasi tatkala Rasulullah Muhammad sallallahu ‘alayhi wasallam diutuskan dengan membawa kitab Al-Qur’an.

Penggunaan istilah-istilah yang telah berakar teguh dalam Bahasa Melayu, tidak mungkin boleh digantikan dengan begitu sahaja oleh Bahasa Inggeris yang merupakan satu bahasa asing di rantau ini. Sebagai contoh, istilah “taqwa” tidak boleh disamakan dengan istilah “pious”, kerana sepertimana yang dirakamkan dalam Al-Qur’an istilah “taqwa” terkait dengan kemuliaan di sisi Allah Subhanahu wa ta’ala, sedangkan istilah “pious” adalah satu istilah yang terlalu umum yang malah digunakan dalam agama selain daripada Islam, selain daripada tidak membawa perkaitan dengan Tuhan. Begitu juga istilah “akhlak” tidak boleh disamakan dengan “ethic”, “ikhlas” tidak boleh disamakan dengan “sincere”, “adil” tidak boleh disamakan dengan “justice”; dan sebagainya lagi. Termasuklah, “Allah” tidak boleh diterjemahkan sebagai “God”. Apabila Bahasa Melayu sudah tidak lagi dianggap penting, maka istilah-istilah di atas akan terganti lantas merosakkan pandangan alam umat Islam di negara ini.

Ikutilah Yang Lebih Mengetahui

Seperkara lagi yang perlu diambil perhatian adalah, bahawa semenjak daripada mula-mula dasar PPSMI ini diperkenalkan, ramai di kalangan para intelektual yang telah membantah dasar ini. Nah, seandainya pandangan para intelektual yang didukungi oleh hujah-hujah mereka yang cukup kuat dan ilmiah tidak didengari, maka pandangan siapakah yang digunapakai? Bukankah Rasulullah sallallahu ‘alayhi wasallam telah menyatakan bahawa apabila sesuatu urusan itu diserahkan kepada orang yang bukan pakarnya, maka kita akan menghadapi saat kehancuran. Daripada disiplin Sains dan Matematik, kita ada pakar fizik bertaraf antarabangsa, Prof. Dr. Mohd. Yusof Othman (UKM) yang menyatakan bantahan terhadap dasar PPSMI. Daripada bidang bahasa pula, kita ada Profesor Bahasa Melayu dan ahli linguistik tersohor, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan yang berterusan membantah pelaksanaan dasar PPSMI. Maka, seandainya pandangan pakar-pakar seperti mereka tidak kita dengari, pandangan siapa lagi yang kita mahu ikuti?

Jawatan, pangkat dan kedudukan tidak menjamin tahap keintelektualan seseorang. Malah dalam Islam pun kita diajar bahawa seorang pemimpin itu (umara’) harus mendengar nasihat dan pandangan daripada seorang ilmuan (ulama’) dalam membuat keputusan dan tindakan. Bukanlah satu keaiban untuk mengaku bahawa kita tersilap dan memperbaiki kesilapan itu.

Ayuh, batalkan dasar PPSMI demi masa depan umat!
Allah jua Yang Maha Mengetahui!

oleh: akhie_naim
www.iluvislam.com

23 Mac 2009

Kalaulah saya juga Minah Indonesia

Oleh: Hishamuddin Rais

Sama ada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) wujud atau mati, orang awam di negara kita akan terus bercakap dalam Bahasa Melayu.

Manusia di mana-mana pun dalam dunia ini perlu berhubung antara satu dengan yang lain. Bunyi yang keluar dari mulut dan tekak mereka menjadi cara terbaik untuk berhubung. Bunyi ini akan menyampaikan apa yang ada dalam fikrah mereka.

Jutaan tahun dahulu, bunyi-bunyi ini tunggang-langgang sifatnya. Masa dan keperluan untuk berhubung sesama manusia telah mengembangkan bunyi ini dari satu susuk ke satu kumpulan hingga ke satu daerah dan mukim. Kemudian ia menjadi tersusun, bercambah dan berkembang – akhirnya bunyi ini dipanggil bahasa.

Semua ini berlaku tanpa dana daripada Kementerian Pelajaran atau DBP.

Heboh-heboh Bahasa Melayu mula kedengaran kembali di awal tahun ini. Heboh-heboh bahasa dalam negara kita ini macam perangai kelab dangdut: kejap-kejap ada, kadang-kadang hilang. Tetapi selalunya hilang entah ke mana. Macam berniaga buluh kasap, hujung hilang pangkal lesap.

Pernahkah para pembaca terdengar nama Gapena (Gabungan Penulis Nasional), Pena (Persatuan Penulis Nasional) dan beratus-ratus jenis kumpulan yang mengakui bahawa ahli-ahlinya bakal penulis, penulis dan sasterawan? Sesiapa yang tidak pernah mendengar, tidak mengapa. Kita tidak akan dimarahi oleh menteri dalam negeri Syed Hamid Albar atau disaman oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

Nama-nama yang saya tulis di atas itu badan-badan sasterawan Melayu yang "berani" mengakui diri mereka sebagai pewaris, pengembang dan penjaga Bahasa Melayu. Saya cukup sangsi dengan pengakuan badan-badan ini. Telah lama saya perhatikan. Badan-badan ini lebih banyak dilihat sebagai pembodek kuasa daripada berjuang untuk menegakkan Bahasa Melayu.

Untuk saya, susuk ulung yang trampil dalam mengembangkan Bahasa Melayu pada ketika ialah Minah-minah Indonesia dan bukan badan-badan sasterawan ini.

Cuba perhatikan: Pada ketika ini Minah-minah Indonesia ini berada di setiap pelusuk kota-kota besar di negara kita ini. Mereka datang ke sini untuk bekerja mencari nafkah. Mereka tidak mengira kerja apa pun - semua sanggup mereka lakukan. Mereka tidak memilih siapa majikan mereka. Mereka tidak menilai apa agama majikan mereka. Mereka tidak menghiraukan di lubang mana mereka akan bekerja. Inilah sikap dan nilai kaum buruh, kaum proletariat, yang dibawa oleh Minah-minah Indonesia ke sini.

Wajib disedari bukan semua mereka ini Melayu. Ertinya bukan semua bahasa ibunda mereka Bahasa Melayu. Ada Minah Jawa, ada Minah Sulawesi, ada Minah Ambon, ada Minah Madura.

Semua suku kaum ini memiliki bahasa khusus masing-masing – bahasa ibunda mereka tersendiri. Tetapi apabila memburuh dan membanting tulang di negara kita, mereka menggunakan Bahasa Melayu. Perhatikan apa yang akan terjadi apabila mereka menjadi pembantu rumah di sebuah rumah Tioghua kelas menengah. Minah-minah Indonesia ini tidak mengetahui Bahasa Inggeris. Mereka wajib berhubung, justeru pastilah Bahasa Melayu yang akan digunakan di antara si Minah dengan majikannya. Tidak dapat tidak majikannya, yang mungkin selesa dengan Bahasa Inggeris, kini wajib bertutur dalam Bahasa Melayu.

Kehadiran si Minah ini telah memaksa keluarga Tionghua kelas menengah menggunakan Bahasa Melayu. Keadaan ini lebih hebat daripada kempen-kempen penggunaan Bahasa Kebangsaan anjuran kerajaan yang hanya sibuk di poster-poster dan kain-kain rentang.

Biasanya majikan dari kelas menengah memiliki sikap tak ambil endah terhadap Bahasa Melayu. Jadi, apabila si pembantu ini datang, maka untuk pertama kalinya si majikan "terpaksa" mempelajari kembali cara yang betul dan tepat untuk bertutur dalam Bahasa Melayu. Tidak ada peranan DBP, Kementerian Pelajaran, Teras (Teras Pengupayaan Melayu) atau sasterawan Melayu di sini. Semua pengajaran Bahasa Melayu ini berjalan tanpa paksaan. Semuanya berjalan tanpa akta Parlimen atau riuh-rendah daripada Gapena.

Jika si Minah ini menjadi babu menjaga anak, maka peranan babu ini cukup penting. Si Babu yang mendodoikan anak kecil ini akan lebih banyak berguli dan berjenaka dengan si anak kecil.

Malah jika diambil nisbah masa, waktu si babu bersama anak lebih banyak berbanding dengan waktu si ibu bersama anak. Si babu Minah Indonesia ini pastilah bertutur dalam Bahasa Melayu yang tersusun. Bunyi yang keluar dari tekak dan mulut si babu inilah yang akan sentiasa didengar oleh telinga si anak kecil.

Inilah bukti si babu ini sedang menjadi pengembang Bahasa Melayu tanpa ada laporan huhah huhah dalam Dewan Sastera atau Dewan Masyarakat. Atau laporan daripada Kementerian Pelajaran.

Lihat apa yang sedang terjadi di Hong Kong. Di kota pulau ini, tanpa dirancang, Tagalog menjadi bahasa kedua rakyat di sana. Ia berlaku kerana hampir semua babu dan pembantu rumah di Hong Kong didatangkan dari Filipina. Tidak dapat tidak anak-anak kecil yang dijagai oleh Minah Filipina ini akan fasih berbahasa Tagalog.

Saya juga sering ke kedai makan dan ke restoran Cina. Saya perhatikan banyak, malah hampir semua, restoran Cina di kota Kuala Lumpur ini mengambil pekerja Minah Indonesia. Ada yang bertugas di dapur, ada yang membuat minuman dan ramai yang menjadi pelayan tamu. Minah-minah ini tanpa segan-silu bekerja dalam restoran Cina.

Sekali lagi saya perhatikan betapa pentingnya peranan mereka. Kalau Minah ini menjadi pelayan di restoran Cina, sudah pasti para pelanggan Cina yang akan dilayani. Si Minah akan mengambil pesanan. Si Minah akan membersihkan meja. Si Minah akan menyusun tempat duduk. Si Minah ke dapur menghantar pesanan. Beginilah pekerjaan pelayan.

Tetapi ada satu lagi pekerjaan yang saya anggap lebih suci tetapi tidak dapat dinilai dengan ringgit dan dolar – si Minah pelayan di restoran Cina ini penyebar Bahasa Melayu yang ulung.

Saya perhatikan Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah Indonesia ini cukup teratur. Lenggok dan lagunya bahasa baku.

Si Minah ini tidak pernah akan mengubah telo bunyi yang akan keluar dari mulut dan tekak mereka. Bunyi-bunyi yang dikeluarkan adalah sama – tidak mengira apakah si pelanggan seorang apek berseluar pendek atau seorang taukeh berjaket dan bertali leher.

Malah daripada pemerhatian saya, Bahasa Melayu yang dituturkan oleh Minah-minah ini lebih baik susunan ayatnya daripada pertuturan kelam bin kabut dan lintang bin pukang yang terhambur dari tekak para pengacara televisyen dan radio kita.

Saya pendukung penggunaan Bahasa Melayu. Saya bukan pembodek bahasa – apabila ada kempen-kempen Bahasa Kebangsaan dijalankan, maka saya tidak akan "menonjol-nonjol" untuk masuk ke "bingkai" untuk berdiri di sebelah menteri.

Saya tidak akan memakai baju batik berlengan panjang untuk membaca-baca sajak yang saya sendiri pun tidak memahami hujung pangkal. Untuk saya, semua ini kerja bodoh.

Bahasa Melayu, untuk saya, bukan Bahasa Kebangsaan. Saya tidak memiliki nilai "kebangsaan". Bahasa Melayu milik anak semua bangsa. Bahasa Melayu adalah bunyi-bunyi dari tekak dan mulut untuk tujuan kita berhubung antara satu sama lain.

Bunyi-bunyi ini wujud untuk kita berhubung, mengenal, menyambung nilai dan menyambung sejarah kita.

Bahasa Melayu, untuk saya, "bahasa strategik untuk perubahan". Saya mengamal, menyebar dan mencanangkan Bahasa Melayu bukan kerana saya Melayu tetapi kerana saya yakin hanya penggunaan Bahasa Melayu ini sahaja yang akan dapat menolak terbuka apa sahaja bentuk perubahan yang diinginkan di negara kita ini.

Kalau sesiapa yakin tentang peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa strategik untuk perubahan, maka mereka wajib memiliki nilai-nilai seperti Minah-minah Indonesia yang sedang memburuh dalam negara kita sekarang.

Saya cukup menghormati Minah-minah Indonesia ini – untuk saya - merekalah pejuang Bahasa Melayu yang tulen.

Meremang bulu tengkuk, dan besar kemungkinan saya juga akan muntah, jika saya disabitkan dengan gerakan Bahasa Kebangsaan. Saya lebih berbesar hati dan berbangga jika saya juga dapat dianggap sebagai Minah Indonesia.

LELAKI & WANITA

WANITA : Siapa yang paling kamu cintai di dunia ini?
LELAKI : Kamu!!!
WANITA : Menurut kamu, saya ini siapa?
LELAKI : (Berfikir sejenak, lalu menatap WANITA dengan pasti). Kamu, tulang rusukku!

Kerana Allah melihat bahawa Adam kesepian. Saat Adam sedang lena tidur, Allah mengambil rusuk Adam dan menciptakan Hawa. Semua LELAKI mencari tulang rusuknya yang hilang dan saat menemukan wanita untuknya, tidak lagi merasakan sakit di hatinya...

Setelah berkahwin, pasangan itu mengalami masa yang indah dan manis untuk sementara.
Setelah itu, pasangan muda ini mulai tenggelam dalam kesibukan masing-masing dan kelelahan hidup yang ada. Hidup mereka menjadi membosankan. Kenyataan hidup yang kejam membuat mereka mulai menyisihkan impian dan cinta satu sama lain. Mereka mulai bertengkar dan pertengkaran itu mulai menjadi semakin panas.

Pada suatu hari pada akhir sebuah pertengkaran WANITA lari keluar rumah. Saat tiba di seberang jalan, dia berteriak "Kamu tidak cintakan saya lagi!!!". LELAKI sangat membenci ketidakdewasaan WANITA dan secara spontan juga berteriak "Saya menyesali perkahwinan ini! Kamu ternyata bukan tulang rusukku!!!"

Tiba-tiba WANITA terdiam, dan berdiri kaku untuk beberapa saat. LELAKImenyesali akan apa yang sudah dia lafazkan, tetapi seperti air yang telah tertumpah tidak mungkin untuk diceduk kembali. Dengan berlinang air mata, WANITA kembali ke rumah dan mengambil barang-barangnya, bertekad untuk berpisah. "Kalau saya bukan tulang rusukmu, biarkan saya pergi. Biarkan kita berpisah dan mencari pasangan sejati masing-masing".

Lima tahunberlalu. LELAKI masih belum lagi berkahwin, tetapi berusahamencari khabar akan kehidupan WANITA. WANITA pernah ke luar negeri tetapi sudah kembali. Dia pernah berkahwin dengan seorang asing dan bercerai. LELAKI agak kecewa bila mengetahui WANITA tidak menunggu, sepertinya. Dan di tengah malam yang sunyi, dia meminum kopinya dan merasakan sakit dihatinya. Tetapi LELAKI tidak sanggup mengakui bahawa dia merindukan WANITA.

Suatu hari, mereka akhirnya bertemu kembali. Di airport, tempat di mana banyak terjadi pertemuan dan perpisahan, mereka dipisahkan hanya oleh sebuah dinding pembatas.

LELAKI : Apa khabar?
WANITA : Baik... kamu sudah menemui tulang rusukmu yang hilang?
LELAKI : Belum.
WANITA : Saya akan terbang ke New York dengan penerbangan berikut. Saya akan kembali 2 minggu lagi. Telefon saya kalau kamu berkesempatan. Kamu tahu nombor telefon saya kan? Tidak ada yang berubah.

WANITA tersenyum manis, berlalu di hujung lafaz "Selamat tinggal..."

Satu minggu kemudian, LELAKI menerima khabar WANITA adalah salah seorang korban nahas kapal terbang. Malam itu, sekali lagi, LELAKI meneguk kopinya dan kembali merasakan sakit di hatinya. Akhirnya dia sedar bahawa sakit itu adalah kerana WANITA, tulang rusuknya sendiri yang telah dengan bodohnya dia patahkan...

22 Mac 2009

Ramai guru di Malaysia sakit jiwa

Oleh SITI NOR AFZAN KASIMAN
nor.afzan@kosmo.com.my

Profesion perguruan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan mental.

PESAKIT mental terpaksa berjumpa pakar psikiatri secara berkala.

BEBANAN kerja sebagai guru semakin kompleks kerana selain mengajar, mereka juga terpaksa menyediakan soalan-soalan peperiksaan dari semasa ke semasa, mengisi buku kedatangan, buku disiplin dan ringkasan mengajar, borang kesihatan dan rekod kemajuan murid, kelab dan persatuan, serta mengendalikan persiapan hari sukan.

Justeru, guru-guru dikatakan terdedah kepada risiko tinggi untuk mengalami tekanan sehingga boleh membawa kepada penyakit mental yang serius seperti bipolar, kebimbangan melampau dan kemurungan.

Kajian oleh Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mendapati 70 peratus daripada 9,000 guru di seluruh negara tertekan bukan sahaja kerana beban tugas tetapi juga terpaksa berdepan dengan kerenah pengetua, kerani, ibu bapa dan juga pelajar.

Bagi Noreha (bukan nama sebenar), selain terpaksa berdepan dengan masalah rumah tangga, dia turut tertekan dengan kerenah pengetua sekolah tempatnya bertugas.

Guru berusia 46 tahun itu yang ditemui di Wad Psikiatri, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berkata, dek kerana tekanan, dia sering diketepikan dalam pelbagai aktiviti sekolah.

"Sebelum ini saya memang sudah mengalami tekanan. Pengetua pula selalu mempertikaikan cuti yang saya pohon sedangkan surat daripada doktor disertakan.

"Bila kerja semakin bertambah, dicampur pula dengan tekanan daripada orang atas dan kerenah anak-anak, saya semakin runsing," katanya.

Noreha yang merupakan penanda kertas peperiksaan Matematik untuk peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) memberitahu, dia sebenarnya seronok menjadi guru.

"Saya memang suka mengajar, lebih-lebih lagi apabila murid banyak bertanya dan cemerlang dalam peperiksaan. Tetapi keadaan sekeliling seperti pengurusan sekolah dan rakan sejawatan banyak memberi tekanan.

"Ada juga yang faham keadaan saya, tetapi lebih ramai yang mengatakan saya gila. Mereka tidak faham mengapa saya perlu cuti untuk pergi berjumpa pakar psikiatri. Mereka juga anggap saya terlalu ikutkan perasaan," jelasnya.


HARAPAN yang tinggi terhadap keputusan peperiksaan pelajar turut memberi tekanan kepada golongan guru.

Noreha yang berasal dari Pulau Pinang tidak menafikan pihak sekolah ada memberi pelepasan kepadanya tetapi apa yang menyesakkan fikirannya ialah cutinya sering menjadi buah mulut orang.

Ada yang mendakwa Noreha sengaja menjadikan tekanan yang dialaminya sebagai alasan untuk bercuti.

"Secara fizikalnya saya memang sihat, tetapi dalaman saya berkecamuk. Saya bukan buat-buat sakit. Ikutkan hati, saya tak mahu masuk hospital dan tinggalkan keluarga dan kerjaya saya," katanya.

Ibu kepada dua orang anak ini juga memberitahu, dia cuba untuk mengawal perasaannya daripada terus tertekan, tetapi adakalanya semakin dia cuba untuk tenang, semakin agresif pula jadinya.

"Kadang-kadang saya tak rasa tertekan. Saya rasa sihat, tetapi orang sekeliling tak anggap begitu, mereka mula sorokkan pisau. Kebelakangan ini saya kerap dimasukkan ke wad berbanding dulu," katanya.

Kerja tujuh hari seminggu

Berbeza dengan Norehan, akibat terbeban dengan kerja sebagai guru JQAF, Zaimah Mishan, 42, pernah mengalami sakit jiwa.

Dia yang mengajar sekolah aliran agama tidak mampu untuk menanggung beban tersebut lebih-lebih lagi banyak masa dihabiskan di sekolah berbanding bersama keluarga.

"Saya pernah mengalami masalah jiwa iaitu kecelaruan bipolar sehingga saya tidak mampu mengajar. Enam bulan saya dirawat dan direhatkan.

"Ramai melihat guru JQAF tidak banyak kerja memandangkan mereka hanya mengajar agama tidak seperti sekolah aliran kebangsaan. Namun, mereka juga dibebani dengan komitmen luar," katanya.


NOR ZURAIDA

Zaimah yang pernah mengajar di beberapa buah sekolah berkata, ada pengurusan sekolah yang memahami tanggungjawab guru JQAF namun ada juga sekolah yang menyamakan guru JQAF seperti guru-guru lain.

"Semasa saya mengajar di sekolah A, saya pernah bekerja tujuh hari seminggu, dari pagi hinggalah petang sampaikan tiada masa untuk suami dan anak-anak.

"Hari Isnin hingga Jumaat, saya mengajar seperti biasa. Kadang-kadang saya diminta menggantikan guru lain mengajar subjek bukan aliran JQAF.

"Hari Sabtu pula, ada kegiatan kokurikulum yang mana semua guru terlibat dan hari Ahad pula saya selaku guru JQAF diwajibkan terlibat dalam Kem Bestari Solat," katanya.

Menurut Zaimah, beban terlalu berat yang tidak dipantau oleh pegawai yang sepatutnya itu ternyata memberi kesan kepada guru-guru JQAF.

"Kami terbeban, tersepit, letih, dan hampir kena mental block. Masa yang ada untuk berehat ialah waktu malam, itu pun kami terpaksa bawa pulang buku latihan murid-murid untuk ditanda.

"Itu tidak termasuk kursus atau kertas kerja yang perlu dibereskan untuk aktiviti gerak kerja," katanya.

Zaimah yang baru lima bulan mengajar semula selepas bercuti panjang menjelaskan, keadaan dirinya ketika 'sakit' dahulu bertambah teruk lebih-lebih lagi apabila suaminya berkahwin lain dan anak-anak enggan berjumpa dengannya.

"Bila saya tertekan dengan kerja, suami kata dia nak kahwin lain dengan alasan saya terlalu sibuk dengan kerja. Keadaan saya bertambah teruk waktu itu.

"Bila sakit saya datang, anak-anak tidak mahu dekat dengan saya. Hanya keluarga saya yang datang memberi sokongan untuk saya jalani terapi dan rawatan di hospital.

"Selepas bercuti lama, saya mengajar di sekolah lain. Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan dan sesi kaunseling, saya sudah boleh mengawal tekanan di tempat kerja. Suami dan anak-anak pula sudah kembali pada saya," katanya

18 Mac 2009

Earth Hour - 28 Mac 2009 @ 8.30PM



Malaysia secara rasmi telah menyertai kempen "Earth Hour 2009" yang akan diadakan serentak di seluruh dunia pada 28 Mac 2009 ini. Tujuan kempen ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran terhadap alam sekitar dan isu pemanasan global yang semakin parah.

"Earth Hour" adalah sebahagian daripada aktiviti sempena Hari Bumi (Earth Day) yang disambut pada 22 April setiap tahun, semenjak 1970. Sempena "Earth Hour", kesemua peserta dari negara yang menyertai akan menghentikan penggunaan elektrik selama sejam bertujuan untuk memberi kesedaran tentang isu pemanasan global.

"Earth Hour" bermula di bandaraya Sydney pada 2007 apabila sejumlah 2.2 juta buah rumah dan premis perniagaan telah memadamkan lampu selama sejam. Kemudian, pada 2008 kempen ini mula diterima ramai apabila 50 juta orang diseluruh dunia menyertainya.

Jadi, sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan cintakan alam sekitar, sertailah kempen ini dan padamkan lampu di kediaman anda selama sejam pada 28 Mac ini tepat jam 8.30 malam. Bandaraya Kuala Lumpur terlibat secara rasmi dalam kempen ini dan kesemua lampu di KL akan dimatikan serentak tepat jam 8.30 Malam selama sejam. hampir kesemua premis perniagaan termasuk rangkaian hotel akan mematikan lampu di premis mereka dalam temph sejam. Ini termasuklah menara Kuala Lumpur yang akan turut bergelap.

Rakyat Malaysia di lokasi-lokasi lain juga digalakkan untuk menyertai kempen kesedaran untuk bumi ini. Marilah kita sama-sama menyertai penduduk dunia dari 1429 buah bandaraya di 80 buah negara demi untuk kesinambungan generasi akan datang.

Log on to www.earthhour.org/malaysia or search for Earth Hour Malaysia on Facebook to learn more about the event, ways of reducing your carbon footprint and more!

"Kiamat" di 4 Galaksi

Pada awal Ogos 2008, komuniti astronomi dan mereka yang mengikuti rapat bidang ini telah dikejutkan dengan satu kejadian yang amat luar biasa dan dahsyat di cakerawala, jauh dari Bima Sakti.
Empay galaksi besar yang berada di Sluster galaksi CL0958+4702, yang berada kira-kita 5 bilion tahun cahaya dari Bumi, telah bertembung antara satu sama lain. Pertembungan yang sangat kuat dan dahsyat ini telah memusnahkan sama sekali semua isi-isi empat galaksi berkenaan dan sisa-sisanya bertebaran ke segenap cakerawala dalam semua arah.

Kejadian ini telah menyebabkan arah medan graviti segala yang ada di dalam galaksi berkaitan, dan lintasan-lintasan orbit segala benda di dalamnya menjadi kacau bilau. Peristiwa ini telah dirakamkan oleh Teleskop Angkasa Spitzer milik NASA. Dan, apa yang lagi mengejutkan, hasil dari perlanggaran empat galaksi itu, terbentuk satu galaksi baru yang bergabung berukuran sepuluh kali ganda saiz Bima Sakti. Para saintis astronomi kini sedang memerhatikan kelahiran galaksi baru melalui pengawasan teleskop angkasa Spitzer.

Secara teori, para saintis juga meramalkan akan wujudnya lubang hitam di dalam galaksi yang sedang terbentuk itu. Ini terjadi hasil daripada pertembungan yang sangat kuat yang telah menimbulkan "gelombang kejutan" yang telah merubah kedudukan sebahagian besar bintang-bintang dan jisim lainya daripada orbit-orbit asal mereka. Dalam evolusi untuk membentuk galaksi baru seterusnya, sebahagian daripada bintang-bintang yang terlibat dalam pertembungan akan berevolusi menjadi bintang-bintang neutron atau lubang hitam.

Lubang Hitam, merupakan misteri cakerawala yang masih begitu sedikit diketahui manusia. Ia terbentuk oleh sebutir bintang yang besar dan padat jisimnya yang mengecut dan mati dengan membakar seluruh tenaga nuklear yang ada padanya. Pada masa itu, tiada lagi tenaga dihasilkan menyebabkan partikel-partikel gas di permukaan tersedut ke pusat graviti bintang berkenaan dengan tekanan yang sangat besar hingga membentuk lubang hitam. Gravitinya adalah sangat kuat, hingga mampu menarik cahaya masuk ke dalamnya.

Kehadiran lubang hitam amat susah untuk dikesan. Astronomer hanya dapat mengagak adanya lubang hitam di kawasan-kawasan tertentu sekiranya terdapat banyak bintang-bintang mengorbit sesuatu yang tidak kelihatan. Lubang hitam terdekat dengan Bumi adalah Cygnus X-1 yang ditemui pada tahun 1971. Cygnus X-1 dikatakan mempunyau daya tarikan graviti yang sangat kuat, hingga mampu menarik sebarang objek yang terletak 600 ribu kilometer dari pusatnya.


Gambar di atas menunjukkan dimana letaknya Cygnus X-1. Perhatikan bintang-bintang yang sedang ditarik oleh gravitinya ke pusat (bulatan kuning). Sementara di dalam bulatan-bulatan merah pula menunjukkan bintang-bintang yang sedang mati dan akan berevolusi menjadi bintang neutron atau lubang hitam.

Jadi, adalah tidak mustahil matahari juga akan mati apabila tenaga nuklearnya sudah habis dan menjadi lubang hitam lalu menyedut semua bintang-bintang dan planet-planet sekelilingnya ke dalamnya. Saintis meramalkan riwayat matahari akan berakhir sekitar beberapa juta tahun saja lagi.

Juga, tidak mustahil untuk galaksi Bima Sakti bertembung dengan galaksi Andromeda yang kini sedang bergerak dengan kecepatan 500 ribu km/j menuju galaksi ini. Mungkin masa inilah kiamat berlaku, apabila kedua-dua galaksi bertembung, bintang-bintang bertaburan jatuh seoalh-olah langit telah pecah.