30 Ogos 2009

H1N1 ragut korban ke-72

Influenza A(H1N1) di negara ini meragut satu lagi korban, menjadi keseluruhan kematian akibat wabak tersebut meningkat kepada 72 orang.

Korban terbaru itu adalah seorang lelaki berumur 49 tahun dan bermasalah kesihatan hepar (hati).

Dia dimasukkan ke Hospital Melaka pada 13 Ogos kerana demam dan batuk selesema selama dua hari serta muntah.

Lelaki itu meninggal dunia pada 19 Ogos disebabkan oleh H1N1 dengan Sindrom Pernafasan Teruk Sistem Respiratori Strok
(ARDS).

Dalam kenyataannya, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata, sehingga jam 9 pagi ini, seramai 202 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Manakala 285 kes telah dibenarkan pulang. Ini menjadikan baki 1,515 pesakit ILI sedang dirawat di 97 hospital termasuk lima di hospital swasta.

Daripada jumlah ini, katanya, hanya 280 pesakit (19%) yang disahkan positif H1N1.

Daripada kes yang disahkan H1N1, 44 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lima kes merupakan kemasukan baru, sementara tujuh lagi kes keluar dari ICU.

Daripada 44 kes yang sedang dirawat di ICU, 36 (82%) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (3), obesiti (12), kanak-kanak/bayi (7), post-natal/hamil (2), penyakit jantung (3), kegagalan ginjal (4) asma (3) dan immuniti rendah (2).

Memandangkan sesi persekolahan akan bermula, beliau meminta ibu bapa supaya memastikan hanya menghantar anak mereka yang sihat sahaja ke sekolah.

"Manakala bagi anak-anak yang mengalami gejala demam atau batuk, dinasihatkan terus berehat di rumah sehingga benar-benar sembuh dan tiada lagi menunjukkan sebarang simptom.

"Ini kerana anak-anak yang ada simptom masih berisiko untuk menularkan virus tersebut kepada rakan-rakan mereka yang lain," tegasnya.

malaysiakini.com

29 Ogos 2009

H1N1: Penumpang bas diwajib dedah status kesihatan

Bagi mengelakkan penumpang bas ekspres terdedah kepada risiko jangkitan Influenza A (H1N1), pengusaha bas diwajibkan
membuat pengumuman meminta semua penumpang isytiharkan tahap kesihatan mereka sebelum memulakan perjalanan.

Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Mohamad Ashfar Mohamad Ali berkata, arahan tersebut bagi membolehkan pengusaha bas mengenal pasti penumpang yang mempunyai simptom H1N1 supaya dapat diasingkan kedudukan mereka daripada penumpang-penumpang lain serta diberikan penutup hidung dan mulut.

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi hari ini, beliau berkata, bagi penumpang yang disahkan menghidapi H1N1, mereka tidak akan dibenarkan turut serta dalam perjalanan tersebut.

Arahan itu selari dengan hasrat kerajaan yang mahu penglibatan semua pihak dalam menangani merebak virus H1N1 yang kini telah mengorbankan 71 orang.

Mohamad Ashfar berkata, sempena sambutan Hari Raya yang bakal tiba, PMBOA berpendapat arahan itu juga mampu mengurangkan ketakutan orang ramai terhadap risiko kesihatan mereka ketika menggunakan perkhidmatan bas ekspress untuk pulang berhari raya.

Beliau berkata, bagi mengelakkan pandemik tersebut menghantui penumpang, persatuan juga mengarahkan semua tandas di stesen-stesen bas dijaga tahap kebersihannya selain perlu menyediakan tisu dengan secukupnya.

Katanya, pemilik bas juga diwajibkan membersihkan bahagian-bahagian utama di dalam bas yang sering dipegang penumpang seperti besi pemegang pintu, handle untuk mengubah kedudukan kerusi, pintu dan cermin dicuci dengan bahan nyahkuman bagi menghalang virus daripada melekat dan merebak kepada penumpang lain.

Mohamad Ashfar berkata, bagi memastikan udara yang sihat dan menghalang virus daripada membiak, pihaknya juga mengarahkan pemilik bas supaya sentiasa memastikan sistem pendingin hawa di dalam bas diselenggara mengikut jadual.

"Mereka (pengusaha bas ekspres) perlu pastikan aircond sentiasa diselenggara supaya pengaliran udara yang sihat dan bebas daripada kekotoran," katanya. BERNAMA

27 Ogos 2009

Hukuman sebat syariah sejauh mana difahami?

Oleh SITI AINIZA KAMSARI

SEBAGAIMANA anda, penulis juga masih agak trauma dengan kes yang disifatkan sebagai satu tragedi yang dilaporkan berlaku di Lembah Swat, Pakistan pada awal bulan ini. Iaitu apabila seorang remaja perempuan disebat, sama ada dengan rotan atau kayu oleh anggota Taliban sebanyak 34 kali hanya kerana menemui seorang lelaki bukan muhrim. Hanya kerana itu beliau didapati bersalah!

Mengapa dikatakan satu tragedi? Ini kerana hukuman itu lebih menampakkan kezaliman berbanding satu bentuk pengajaran terhadap pesalah. Malah bercakap soal imej, hukuman tersebut sebenarnya telah merosakkan imej Islam!

Atas justifikasi apakah remaja berkenaan dihukum dengan sedemikian rupa, termasuk yang diyakini pastinya lelaki bukan muhrim yang dikaitkan dalam kes ini terlepas daripada menerima hukuman.

Bukan soal telah berlaku satu diskriminasi atau ketidaksamaan gender dalam kes remaja perempuan ini tetapi secara keseluruhan, anggota Taliban berkenaan telah melampaui segala batas peraturan dan undang-undang.

Ini undang-undang rimba yang cuba diciptakan oleh Taliban. Jika kita berkata kepada soal had atau jumlah rotan itu sendiri, Islam telah menetapkan sebatan atau merotan melebihi daripada sepuluh kali dikenakan, jika melibatkan jenayah hudud. Jadi dapatkah anda sifatkan jenayah yang dilakukan oleh remaja ini sebagai hudud?

Dalam kertas kerja yang bertajuk "Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Realiti Perlaksanaan" yang dibentangkan oleh Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad pada seminar sehari Seminar Hukuman Sebat Jenayah Syariah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), berkata Islam memperuntukkan hukuman rotan kepada dua jenis kesalahan syariah iaitu hudud dan takzir. Hudud melibatkan hukuman kesalahan-kesalahan seperti persetubuhan haram atau zina, tuduhan qazaf dan minum arak.

"Sementara takzir yang bermakna dera yang menjadi pengajaran dengan menjadikan rotan merupakan hukuman utama dalam kesalahan-kesalahan takzir yang serius.

"Satu bentuk hukuman yang berkesan terutama kepada penjenayah-penjenayah yang merbahaya dan didapati sudah sebati dengan kesalahan-kesalahan itu," katanya.

Beliau menegaskan, mengikut peruntukan hukum syarak dalam kesalahan jenayah syariah seseorang yang melakukan jenayah yang bukan dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat lebih daripada 10 kali sebatan.

Berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud; Janganlah disebat lebih dari sepuluh kali sebatan (jildad) kecuali dalam kes-kes had daripada had-had Allah. (riwayat Bukhari dan Muslim)

"Oleh itu, sesuatu kes yang tidak dikira sebagai kes hudud tidak boleh dikenakan hukuman sebat sampai ke batas hukuman dalam kes hudud sebagai hukuman takzir supaya tidak melampaui batas yang ditentukan oleh syarak," katanya.

Sebagaimana Rasulullah dalam satu hadis, bermaksud, "Sesiapa yang menyampaikan (sesuatu hukuman) kepada hukuman had dalam kes bukan had, maka orang itu adalah termasuk dalam golongan orang yang melampaui batas." (riwayat Al Baihaqi)

Merujuk kepada konteks Malaysia, mahkamah syariah di seluruh negara ini mempunyai bidang kuasa yang lebih sedikit berbanding sebelumnya, iaitu diberi kuasa melaksanakan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan.

"Apabila Enakmen Tatacara Jenayah Syariah dipersetujui supaya diseragamkan di semua negeri dan boleh dikatakan hampir semua negeri menerima pakai. Iaitu bererti tidak ada pesalah yang boleh terlepas daripada menerima hukuman sebatan di negara ini," kata Daud.

Jika Ketua Hakim Syarie ini menjelaskan pada dasarnya soal perlaksanaan hukuman rotan dari perspektif syarie dan sedikit mengenai sejarah hukuman itu sebagaimana yang termaktub dalam perundangan syarie negara dengan negerinya sendiri, Kelantan antara negeri yang terkehadapan dalam melaksanakan hukuman tersebut.

Peguam Bela dan Peguam Cara serta Peguam Syarie terkenal negara, Zainul Rijal Abu Bakar pula menjelaskan lagi mengenai soal cabaran dan halangan dalam perlaksanaan Hukuman Sebat dalam Kes Jenayah Syariah dalam suasana masyarakat di negara ini.

"Hukuman sebat syariah seringkali menimbulkan polemik di kalangan masyarakat termasuk rasa tidak puas hati di kalangan umat Islam itu sendiri, akibat mereka tidak memahami peruntukan perundangan itu. Malah lebih teruk lagi, ia disamakan dengan hukuman sebat dalam undang-undang sivil (jenayah), sama ada dari segi konsep dan perlaksanaannya.

"Sedangkan terdapat peruntukan itu untuk dilaksanakan di seluruh negeri namun hukuman sebat itu hampir tidak dilaksanakan melainkan di negeri Kelantan sahaja," katanya.

Begitupun Zainul menjelaskan, kesalahan-kesalahan jenayah syariah yang membawa hukuman sebat adalah berbeza antara satu negeri dengan negeri yang lain.

"Namun apa juga bentuk kesalahan yang boleh membawa hukuman sebat, hukuman itu hanya boleh dijatuhkan pada had maksimumnya enam kali sebatan," katanya.

Menurutnya lagi, berbeza dengan undang-undang sivil yang memperuntukkan sebat bagi kesalahan yang serius. Hukuman sebat syarie juga bukan sahaja dijatuhkan kepada kesalahan yang serius, ini termasuk juga kesalahan berkaitan dengan akhlak, tatasusila dan juga beberapa kesalahan yang lain.

Negeri Selangor misalnya mempunyai lapan bentuk kesalahan syariah yang memperuntukkan hukuman rotan kepada pesalah-pesalah syarie. Iaitu doktrin palsu, mencemarkan tempat ibadat, sumbang mahram, melacurkan isteri, muncikari (bapa ayam), persetubuhan luar nikah, persediaan persetubuhan luar nikah dan persetubuhan bertentangan dengan tabii.

"Manakala Kelantan memperuntukkan kesalahan minum arak selain kesalahan zina, mukadimah zina dan liwat. Wilayah Persekutuan pula menggunakan istilah Musahaqah, iaitu kesalahan gay dan lesbian, selain kesalahan-kesalahan lain yang hampir sama dengan Selangor.

"Sementara Melaka hanya merotan bagi kesalahan hubungan luar tabii. Pulau Pinang, Johor, Terengganu dan Sarawak hampir sama seperti Wilayah Persekutuan dan Selangor. Perlis pula hanya kesalahan minuman yang memabukkan dan Sabah pula rotan atas kesalahan persetubuhan luar tabii dan persetubuhan haram," kata Zainul.

Kesemua kesalahan tersebut adalah mengikut budi bicara hakim, sama ada setiap pesalah dijatuhkan hukuman denda, atau rotan atau penjara atau kesemua sekali atau juga mana-mana kombinasi yang dirasakan wajar.

Bercakap mengenai peralatan sebat atau rotan itu sendiri, mengikut undang-undang syariah alat sebatan yang digunakan kata peguam ini alat sebatan tidak termasuk pemegangnya hendaklah daripada jenis yang sama buatannya daripada rotan atau ranting kecil pokok yang tiada ruas atau buku dan panjangnya tidak melebihi 1.22 meter dan tebalnya tidak melebihi 1.25 sentimeter.

"Tentu sekali yang membezakan hukuman rotan mengikut sivil, pesalah wanita dikecualikan daripada menjalani hukuman ini tetapi melalui undang-undang Syarie, pesalah wanita yang didapati bersalah meminum arak sehingga memabukkan dengan sengaja misalnya, akan menerima hukuman rotan.

"Namun hukuman akan tertangguh pada keadaan tertentu termasuk jika didapati wanita itu mengandung, maka hukuman mesti ditangguhkan sehingga tamat dua bulan selepas melahirkan anak atau keguguran," katanya.

Melalui Akta Tatacara Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 yang diperuntukkan di negara ini, kesemua aspek perlaksanaan hukuman ini dijelaskan dalam bentuk yang terperinci bagi memastikan perlaksanaannya adalah adil.

Manakala, melalui seksyen-seksyen tertentu, peruntukan ini menyentuh siapakah yang seharusnya dilantik sebagai pelaksana hukum, bagaimana sebat dijalankan, bagaimana pesalah diletakkan untuk disebat dan sebagainya.

l Seksyen 125 (3) (e) misalnya berbunyi; "Orang itu hendaklah menggunakan alat sebat dengan kekuatan yang sederhana tanpa mengangkat tangannya melebihi paras kepalanya supaya tidak melukakan kulit pesalah."

l Seksyen 125 (3) (i) berbunyi; "Jika pesalah lelaki hendaklah dikenakan dalam keadaan dia berdiri dan jika pesalah perempuan dalam keadaan dia duduk."

l Seksyen 125 (3) (h) berbunyi: "Pesalah hendaklah memakai pakaian mengikut hukum Syarak.

Sebagaimana yang pernah diamal dan dilaksanakan di Kelantan, kaedah yang digunakan adalah sama sebagaimana yang diperuntukkan dalam Akta, tinggal lagi dalam kaedah yang diguna pakai seperti Kaedah 9, ia berbunyi; "Ketika disebat pesalah (tanpa mengira pesalah lelaki atau perempuan) hendaklah berdiri dan memakai pakaian tipis yang menutup aurat mengikut Hukum Syarak."

Zainul juga membincangkan secara lebih luas mengenai aspek perundangan ini terutama jika dibandingkan perlaksanaan hukum rotan yang diperuntukkan dalam undang-undang sivil.

Jadi, untuk menjawab persamaan sebat syariah adalah sama dengan sebat sivil, jawapannya tentu sekali tidak.

"Kengerian melihat pelaksanaan hukuman sebat sivil menghantui pelaksanaan sebat Syariah. Ramai yang menyamakan kedua-duanya. Sebat sivil dilihat terlalu kejam kerana mendatangkan pendarahan dan kecederaan malah parut sebat itu sendiri hanya akan hilang setelah dua tahun disebat.

"Namun melihatkan aspek-aspek yang diperuntukkan dalam Syariah, ternyata hukuman rotan dalam Islam adalah berbeza malah tidak pun dilaksanakan lagi, sedangkan ia merupakan satu kaedah yang sangat berkesan bagi menangani dan menyelamatkan masyarakat daripada pelbagai gejala.

"Ini jelas menunjukkan halangan untuk melaksanakan sebat dalam syariah hanyalah bersifat metafora dan bukan halangan yang sebenar," katanya.

Dua lagi pembentang kertas dalam seminar yang dihadiri oleh pelbagai pihak yang berkenaan termasuk hakim, peguam, Jabatan Penjara dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), iaitu Timbalan Ketua Bahagian Penyelidikan (Seksyen Syariah) Jabatan Peguam Negara, Mahamad Naser Disa yang menyampaikan kertas kerja bertajuk: "Pelaksanaan Hukuman Sebat Dalam Kes Jenayah Syariah: Masalah dan Penyelesaian".

Sementara Timbalan Penguasa Penjara, Jabatan Penjara Malaysia, Masran Muhammad menyampaikan kertas kerja bertajuk, "Peranan Institusi Penjara Dalam Pelaksanaan Hukuman Sebat Bagi Kes Jenayah Syariah: Satu Pandangan"

Sebagaimana yang disebut oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Jenderal (B) Datuk Jamil Khir Baharom ketika ditemui oleh wartawan di seminar itu, pelaksanaan hukuman rotan bagi pesalah jenayah Syariah di negara ini tidak mustahil untuk dilaksanakan setelah pelbagai pihak memberikan kerjasama dan kata sepakat.

"Namun yang penting seluruh rakyat tanpa mengira agama dan kaum akan diberikan pemahaman yang jelas mengenai hukuman ini bagi mengelakkan sebarang kontroversi dan pelbagai dakwaan di kemudian hari," katanya.

Menurutnya, hukuman rotan ini tidak lebih bagi memperkasakan lagi perlaksanaan hukuman syariah di negara ini yang selama ini dipandang lekeh kerana denda sahaja, tidak memadai kerana ia begitu mampu untuk dilunaskan oleh para pesalah.

"Begitupun, kita masih mencari model perlaksanaan yang terbaik dan sama sekali tidak akan ada sebarang trauma. Ini kerana perlaksanaan hukum rotan seperti yang dilakukan oleh anggota Taliban, sama ada di Pakistan atau Afghanistan akan kita jadikan pengajaran dan sempadan," katanya.

Antara yang turut hadir di seminar itu, Timbalan Menteri, JPM, Senator Datuk Dr. Mashitah Ibrahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz.

Sumber : Utusan Malaysia

22 Ogos 2009

H1N1: Jangan bawa budak melawat hospital

Sebuah hospital awam baru-baru ini mengedarkan beratus-ratus risalah mengingatkan orang ramai supaya jangan membawa anak kecil mereka semasa melawat saudara-mara atau rakan yang sakit di hospital.

Ini berikutan perkembangan terkini terhadap penularan wabak H1N1 di negara ini.

Walaupun tanpa kehadiran wabak H1N1, memang telah sedia ada peraturan yang tidak membenarkan pelawat membawa bersama mereka kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah bila berkunjung ke wad-wad di hospital, kata seorang pegawai
kejururawatan kanan di hospital itu.

"Ibu bapa macam tak kisah bila kita mengingatkan mereka supaya jangan membawa anak kecil bila nak masuk melawat di wad. Saya selalu mengingatkan ibu-ibu yang bayi dan anak mereka adalah terlalu kecil untuk melawat hospital," kata beliau.

Pegawai itu berkata ada ibu bapa yang menuruti nasihat tetapi ada
juga yang menganggap remeh peringatan yang diberi jururawat dan juga pengawal keselamatan.

Ada juga yang menjawab secara sinis " kami tahulah...' dan terus menuju ke wad bersama anak-anak kecil mereka.

"Memang tidak selamat bagi anak kecil melawat hospital. Tidak selamat bagi mereka dan juga tidak selamat bagi pesakit," tambah beliau.

Anak kecil dan mereka yang mempunyai penyakit kronik senang dijangkiti penyakit.

"Bila kia bercakap tentang penyakit kronik, ini meliputi pesakit yang ada kencing manis, kegagalan buah pinggang, asthma dan pelbagai masalah pernafasan serta juga beberapa masalah yang lain," kata seorang pakar penyakit respiratori Dr K Regesh.

Kata beliau, bagi pesakit seperti ini dan juga anak-anak kecil, sistem
ketahanan badan mereka rendah dan tidak sekuat orang dewasa yang sihat dan mereka ini lebih senang dijangkiti penyakit, bukan saja H1N1, tetapi juga penyakit berjangkit yang lain.

"Di hospital terdapat kuman-kuman yang lebih bahaya jika dibandingkan dengan tempat lain. Oleh itu harap jangan membawa anak kecil anda masuk wad walaupun hanya untuk bertanya kabar kepada pesakit.

"Kalau anda terpaksa juga melawat hospital bersama anak anda, bawalah bersama orang lain atau pembantu rumah yang boleh menunggu bersama anak kecil anda di bilik menunggu," katanya.

Bagi ibu bapa yang baru pulang dari hospital atau tempat kerja, Dr Regesh memberikan nasihat ini:

"Bila pulang daripada melawat keluarga atau kawan yang sakit di hospital, mandilah dulu dan tukar kepada pakaian yang bersih sebelum mendekati anak anda.

"Begitu juga bagi mereka yang baru balik dari kerja, bersihkan badan dulu dan tukar kepada pakaian lain sebelum menyentuh anak anda".

Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri menyeru orang ramai supaya mengambil langkah pencegahan sendiri untuk mencegah wabak H1N1 daripada menular.

Antara langkah-langkah ini ialah memakai topeng surgikal apabila demam atau batuk dan juga bersin serta membasuh tangan dengan lebih kerap menggunakan sabun dan air.

Kalau anda demam dan sakit tekak, pergilah ke hospital berdekatan dan jangan keluar rumah atau menghampiri anggota keluarga anda.

Anda juga dinasihati tidak mengunjungi tempat awam atau lokasi yang ramai orang. BERNAMA

H1N1 kini cecah 5,876 kes

Tiada kematian baru akibat jangkitan influenza A (H1N1) dilaporkan setakat ini hari ini, yang menyaksikan 380 kes baru dicatatkan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini sebanyak 5,876.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 1,556 pesakit masih berada di wad di 98 hospital di seluruh negara, dengan sejumlah 220 disahkan positif virus A (H1N1).

Beliau menasihatkan orang ramai menggunakan bahan pencuci tangan bagi membersihkan tangan dan menutup mulut dan hidung dengan penutup semasa berada di kawasan sesak bagi mengelakkan penularan virus berkenaan.

"Meskipun terdapat hanya 0.1 hingga 0.4 peratus kematian, kita mesti menjaga kebersihan diri bagi mengelakkan sebarang jangkitan," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen pencegahan A (H1N1) di klinik Bukit Indera Muda di Permatang Pasir di Bukit Mertajam.

Liow, yang juga naib presiden MCA, bagaimanapun menasihatkan pengundi di Permatang Pasir tidak bimbang apabila keluar mengundi pada pilihan raya kecil kerusi itu pada 25 Ogos.

"Kami telah mengambil langkah drastik bagi mencegah penularan virus itu dan orang ramai tidak perlu begitu khuatir," kata beliau.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan bekerjasama dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendidik semua petugas pilihan raya mengambil tindakan berjaga-jaga semasa pengundian Selasa ini.

"Kami juga akan mengedarkan penutup mulut dan hidung serta bahan pencuci tangan di semua pusat pengundian," kata Liow.

malaysiakini.com

20 Ogos 2009

Ubat H1N1 maksimum RM80

Orang ramai boleh mendapatkan ubat antivirus bagi merawat influenza A (H1N1) dengan harga tidak melebihi RM80 sekotak di semua rangkaian klinik atau hospital yang menyertai kempen klinik
cegah dan rawat wabak tersebut.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata setakat ini, sebanyak 85 klinik dan hospital swasta di seluruh negara telah mengesahkan penyertaan mereka dalam kempen berkenaan.

Beliau berkata di bawah kempen itu, klinik atau hospital swasta yang
menyertainya akan diberikan harga istimewa bagi membeli ubat antivirus FluHalt (Oseltamivir Phospate) keluaran Syarikat Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd.

"Apabila kita beri kata putus, iaitu klinik jangan jual harga antivirus ini
lebih tinggi daripada RM80.

"Saya rasa dengan jelas orang ramai boleh mendapat antivirus ini dengan lebih murah. Satu ketika dulu harganya meningkat sehingga RM180.

"Kita rasa ini adalah musim pandemik dan dengan sokongan pembekal ubatan farmasi, kita dapat mengurangkan harga ini.

"Saya harap klinik-klinik mendapatkan bekalan dan memberi rawatan dengan cepat kepada pesakit H1N1," katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen klinik cegah dan rawat influenza A (H1N1) di Kuala Lumpur hari ini.

Selain itu tawaran harga rendah, klinik atau hospital swasta di bawah kempen ini juga digalakkan untuk mengenakan caj yang minimum bagi konsultasi kes-kes penyakit seakan-akan influenza (ILI) bagi membantu mengurangkan bebanan kewangan kepada pesakit.

Liow turut menegaskan bahawa tindakan akan dikenakan terhadap mana-mana klinik atau hospital swasta yang enggan memberikan rawatan kepada pesakit H1N1 sebaliknya meminta pesakit dirujuk di klinik atau hospital kerajaan.

"Sebelum ini, ramai pesakit yang pergi ke klinik dan hospital swasta diminta merujuk kepada hospital kerajaan.

"Saya harap ini tidak berlaku lagi. Sudah tiba masanya semua klinik dan hospital swasta memainkan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan dalam menangani wabak H1N1," katanya.

Alriz, sebuah syarikat bumiputera, dan Ranbaxy (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan kempen bagi membantu rakyat Malaysia mendapatkan rawatan bagi influenza A(H1N1) dengan lebih mudah dan pada bayaran lebih rendah, di klinik-klinik peserta swasta di seluruh negara.

Sebuah laman web pelbagai bahasa www.h1n1.net.my telah disediakan bagi memberi maklumat kepada orang ramai mengenai H1N1 serta membolehkan mereka mengesan klinik peserta yang terdekat dengan kawasan mereka.

Liow berkata Malaysia telah pun membuat tempahan awal bagi vaksin H1N1 dan bekalan pertama 400,000 dos akan tiba pada Oktober sementara yang kedua pada Januari.

Terdahulu, di Hospital Ampang, Liow menggesa syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa influenza A (H1N1) yang membeli insurans dengan mereka terutamanya jika pelanggan meninggal dunia akibat wabak itu.

"Ia adalah tanggungjawab sosial yang perlu mereka jalankan memandangkan ketika ini tidak semua syarikat insurans menawarkan perlindungan untuk mangsa H1N1," katanya. BERNAMA

malaysiakini.com

Wanita hamil korban ke-68 H1N1

Seorang wanita hamil berumur 33 tahun di Johor menjadi mangsa korban terbaru influenza A (H1N1) menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 68 orang, selepas tiada kes kematian dicatatkan semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berkata wanita hamil 34 minggu itu dilaporkan meninggal dunia pada 13 Ogos akibat "pneumonia yang teruk dan sesak nafas" dan disahkan positif H1N1 keesokan harinya.

Wanita berkenaan dimasukkan ke wad hospital swasta di Johor Bahru pada 8 Ogos setelah mengalami demam dan batuk selama sehari, dan lima hari kemudian dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Aminah Johor Baharu setelah mengalami sesak nafas dan diberikan rawatan Tamiflu, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Mohd Ismail berkata selain itu, sebanyak 195 lagi kes disahkan positif H1N1 dengan 35 kes daripadanya mendapat rawatan di ICU dengan 20 kes terdiri daripada mereka yang mempunyai faktor risiko iaitu diabetes (empat kes), penyakit kronik (lima kes), asma (dua kes), hamil dan bersalin (empat kes), obesiti (satu kes), kanak-kanak istimewa (dua kes) dan kanak-kanak di bawah setahun (dua kes).

Katanya, pada masa sama, seramai 188 orang telah dibenarkan keluar daripada hospital di seluruh negara.

Dr Mohd Ismail menasihatkan orang ramai supaya lebih prihatin membezakan gejala selesema biasa dengan jangkitan influenza.

"Di antara perbezaaan yang ketara ialah apabila dijangkiti influenza, individu akan mengalami demam yang tinggi melebihi 38 darjah Celcius sehingga tiga ke empat hari, sakit kepala, sakit tekak, kerap letih, sakit badan yang biasanya teruk, letih lesu dan batuk tanpa kahak di peringkat awal.

"Selesema biasa pula jarang mengalami demam atau demam ringan (kurang daripada 38°Celcius ), hidung berair dan kerap bersin," katanya.

Mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), penularan pandemik H1N1 di dunia masih aktif dengan melibatkan 182 negara.

Sehingga pagi ini, terdapat peningkatan kes jangkitan sebanyak 3,354 kes menjadikan jumlah kes terkumpul 231,269 dengan peningkatan kes kematian sebanyak 207 menjadikan jumlah kematian terkumpul 2,353 di seluruh dunia.

Orang ramai juga dinasihat sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah-langkah pencegahan dengan melayari laman web khas H1N1 di http://h1n1.moh.gov.my atau menghubungi talian hotline 03-8881 0200 atau 03-8881 0300 - BERNAMA

Dana bendung H1N1 di sekolah 'tidak cukup'

Kementerian Pelajaran mengakui peruntukan RM2.6 juta untuk membekalkan penutup muka, alat penyukat suhu dan pembersih tangan bagi mencegah wabak influenza A (H1N1) ke semua sekolah "masih tidak mencukupi".

"Memang tidak cukup. Penutup hidung dan mulut memang mahal. Bukan mahal macam mana, (ia) tidak boleh dipakai sampai seminggu atau dua minggu, tetapi sehari.

"Kita bagi pada sekolah. Mungkin kalau pelajar dia tidak ramai, dia boleh bagi. Tetapi kalau pelajar ramai, kita minta pelajar beli sendiri," kata Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Ditanya jumlah peruntukan tambahan yang diperlukan bagi menampung kekurangan itu, Alimuddin berkata, beliau tidak pasti kerana ia di bawah seliaan langsung Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong.


Mengulas lanjut penularan wabak itu di sekolah-sekolah, Alimuddin menjelaskan, setakat ini, lebih 100 sekolah telah ditutup selama seminggu akibat penularan penyakit tersebut.

Bagaimanapun, Alimuddin menegaskan tidak ada sekolah yang ditutup dua kali kerana penularan H1N1.

Berikutan itu, beliau berkata, arahan telah dikeluarkan meminta guru-guru yang mengajar subjek pertama supaya memeriksa tanda-tanda jangkitan H1N1 di kalangan murid mereka.

Para pelajar yang dikesan mempunyai tanda-tanda penyakit tersebut, akan terus dihantar ke hospital, katanya.

Sementara itu, Alimuddin juga menjelaskan, peperiksaan awam di semua peringkat sekolah tidak akan ditangguhkan bagi mengawal jangkitan penyakit berbahaya itu.

Sebaliknya, tambah beliau, kementerian mempunyai pilihan sama ada membenarkan murid yang dijangkiti menduduki peperiksaan di hospital atau mengasingkan pelajar ketika peperiksaan berlangsung.

Jika ramai pelajar dijangkiti wabak itu, sekolah boleh dibuka untuk pelajar yang akan menduduki peperiksaan awam sahaja, tambahnya.

malaysiakini.com

Harga topeng H1N1 kini dikawal

Topeng penutup hidung dan mulut diisytiharkan sebagai barangan kawalan sementara berkuatkuasa serta merta dengan harga berkisar antara tujuh sen hingga RM6 seunit berdasarkan kualiti.

"Dalam keadaan sekarang, ramai orang perlukan topeng ini dan pihak berkuasa akan memantau perkara ini. Paling penting sekali ialah kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada pihak kementerian sekiranya ada kedai yang menjual lebih daripada harga yang ditetapkan," kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata kementerian boleh mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga 1946 di mana mereka yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih daripada RM15,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat yang ingkar pula boleh didenda tidak lebih daripada RM25,000, katanya.

Orang ramai boleh menelefon nombor bebas tol di talian 1 800 886 800 atau datang ke pejabat kementerian terdekat untuk membuat aduan sekiranya ada kedai yang menjual pada harga yang tinggi, katanya.

"Harga maksimum borong bagi satu kotak (100 keping) selapis bergelung ialah RM5 sekotak dan harga maksimum runcit ialah RM7 sekotak. Bagi dua lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM8 sekotak (100 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM 10 sekotak iaitu 20 sen seunit.

"Untuk tiga lapis bergelung, harga maksimum borong ialah RM25 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcit ialah 80 sen seunit. Bagi tiga lapis bertali, harga maksimum borong ialah RM 30 sekotak (50 keping) dan harga maksimum runcitnya pula ialah 80 sen seunit.

"Akhir sekali bagi jenis N95, harga maksimum borong ialah RM100 sekotak (20 keping) dan harga maksimum runcit ialah RM6 seunit," katanya.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pengguna bahawa Kementerian Kesihatan menasihatkan supaya tidak menggunakan topeng selapis dan dua lapis kerana ia tidak berkesan untuk mencegah penularan influenza A H1N1.

Apabila ditanya sama ada harga topeng yang ditetapkan itu adil, Ismail Sabri berkata para peniaga masih mampu mengaut keuntungan kerana keperluan bagi ramai orang adalah lebih penting daripada bilangan yang sedikit.

"Saya percaya (ia) adil kepada orang yang ditimpa kesusahan. Pada peniaga pun kita sudah ambil kira dari segi keuntungan yang mereka perolehi. Bukan tiada harga untung langsung. Kita pentingkan rakyat, rakyat didahulukan," katanya.

Mengenai kebanyakan farmasi yang tidak mempunyai bekalan topeng yang mencukupi, Ismail berkata ketika ini kerajaan di dalam proses untuk mengimport lebih banyak bekalan bagi memenuhi kehendak pasaran.

"Memang kami tahu bekalan tak cukup tapi kami sedang import. Selain itu, ini juga di bawah bidang kuasa Kementerian Kesihatan untuk mengimport topeng ini kerana kementerian kami tiada pakar untuk mengetahui kriterianya. Topeng ini merupakan barangan kesihatan," katanya. BERNAMA

18 Ogos 2009

Korban H1N1 meningkat kepada 67

Kematian akibat jangkitan influenza A (H1N1) meningkatkan kepada 67 orang apabila tiga lagi korban penyakit tersebut dilaporkan hari ini.

Menurut Kementerian Kesihatan, sehingga jam 9 pagi ini, sejumlah 276 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad, dengan 36 pesakit yang disahkan H1N1, sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Sementara itu 156 orang dibenarkan pulang dari wad dengan 129 dibekalkan antiviral.

Daripada 36 kes yang sedang dirawat di ICU, 21 daripadanya mempunyai faktor risiko DM (1), penyakit kronik (7), kegagalan buah pinggang (3), asma (2), obesiti (1), kecacatan otak (2), hamil dan bersalin (2) dan kanak- kanak di bawah setahun (3).

Harga penutup hidung, mulut esok


Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata harga siling bagi penutup hidung dan mulut akan diumumkan esok.

Bernama memetik beliau berkata, pengumuman itu termasuk jenis penutup atau topeng yang akan dikawal harganya berikutan sikap kebanyakan peniaga yang tidak bertanggungjawab menjual barangan itu pada harga tinggi semasa negara dilanda penularan virus Influenza A (H1N1).

"Hari ini pegawai kementerian saya bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan untuk menentukan harga dan jenis topeng yang akan dikawal harganya," katanya.

Menurutnya lagi, selepas harga siling ditetapkan, mana-mana peniaga atau pembekal penutup hidung dan mulut yang menaikkan harga akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Akta Kawalan Negara 1946.

Akta itu memperuntukkan denda sehingga RM15,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan
kesalahan.
"Saya lihat peniaga kita terlalu tidak beretika. Biasanya 50 sen sahaja harga topeng itu. Dia boleh pergi sampai RM5.

"Bayangkanlah kalau orang miskin, anak ada enam orang, dah RM30. Bermakna beratus-ratus ringgit dia kena keluarkan untuk topeng sahaja semata-mata untuk menyelamatkan nyawa keluarga dia," katanya.

Beliau juga berharap syarikat-syarikat besar tampil menjalankan tanggungjawab sosial masing-masing untuk membantu golongan kurang berkemampuan.

malaysiakini.com

17 Ogos 2009

H1N1: 64 mati, jumlah kes 4,225

Wabak selesema A (H1N1) memakan dua lagi korban, seorang kanak-kanak lelaki 7 tahun dan seorang nenek berusia 74 tahun, menjadikan jumlah kematian 64 kes, setakat ini.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 384 kes baru, menjadikan jumlah keseluruhannya 4,225 kes, lapor laman web The Star.

Selasa lepas, jumlah keseluruhan dicatat sebanyak 2,253 kes dengan 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari, waktu itu.

Pendedahan perangkaan terbaru itu menunjukkan peningkatan mendadak dan luar biasa - kira-kira 2,000 kes dalam tempoh seminggu.

Sementara itu, Bernama pula melaporkan, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata sehingga 9 pagi ini, sejumlah 284 pesakit H1N1 sedang dirawat di wad.

malaysiakini.com

Manakala 33 pesakit yang disahkan menghidap H1N1 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di seluruh negara.

Daripada jumlah yang dirawat di ICU, 17 kes mempunyai risiko tinggi.

Dr Mohd Ismail dipetik berkata bayi tersebut yang menghidap asma dimasukkan ke ICU hospital pada 7 Ogos lepas kerana demam, batuk dan sesak nafas selama dua hari.

"Bagaimanapun bayi tersebut meninggal dunia pada 15 Ogos lepas disebabkan 'severe pneumonia with acute respiratory failure'," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata wanita warga emas itu pula yang menghidap diabetes dan kegagalan jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos setelah pengsan di rumahnya dan meninggal dunia pada 12 Ogos disebabkan 'severe pneumonia'.

Dr Mohd Ismail berkata Kementerian Kesihatan mendapati masih ramai pesakit yang mengalami jangkitan influenza A (H1N1) yang tidak memberi kerjasama yang baik dalam mengawal penularannya dan meminta agar perhatian wajar diberikan dalam hal ini.

"Mereka yang bersimptom influenza perlu memahami bahawa walaupun simptom yang dialami adalah ringan, virus H1N1 masih boleh disebarkan kepada orang lain apabila mereka ini batuk atau bersin," katanya.

Oleh itu, beliau berkata sesiapa yang mempunyai simptom influenza mesti berada di rumah atau tidak mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga pulih.

16 Ogos 2009

Kematian H1N1 meningkat kepada 62

Tiga lagi kematian dicatatkan akibat influenza A(H1N1) - termasuk dua kanak-kanak - menjadikan jumlah korban penyakit tersebut meningkatkan kepada 62 orang.

Dua kanak-kanak lelaki itu berusia enam dan tiga tahun. Manakala seorang lagi korban ialah seorang lelaki berusia 50 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 283 lagi kes baru dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sehingga ini sebanyak 3,857 kes.

Yang berusia enam tahun itu adalah seorang kanak-kanak istimewa yang mengidap Sindrom Down.

Liow berkata, kanak-kanak itu yang juga menghidap penyakit jantung berlubang mengalami penyakit meninggal dunia Khamis lalu.

Dia dimasukkan ke hospital pada 9 Ogos setelah dua hari mengalami simptom H1N1.

Menurutnya, seorang lagi kanak-kanak berusia tiga tahun turut menjadi
korban H1N1 setelah dimasukkan ke hospital pada 1 Ogos kerana demam dan batuk selama lima hari serta sukar bernafas.

"Kanak-kanak itu meninggal dunia pada Jumaat disebabkan "pneumonia yang teruk", katanya kepada pemberita selepas merasmikan karnival Sihat sepanjang Hayat Kawasan Serdang, Selangor di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina, Serdang Baru 1 di sini.

Manakala lelaki berusia 50 tahun itu pula yang meninggal dunia Jumaat lalu setelah dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos kerana demam, batuk, cirit birit, muntah dan sukar bernafas.

Liow berkata, lelaki itu meninggal dunia disebabkan oleh "septisemia dengan pneumonia yang teruk".

Disaripada 283 kes baru, Liow berkata, 213 pesakit sedang dirawat di wad biasa dan 33 lagi di rawat di Unit Rawatan Rapi di mana 16 kes mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (tujuh) asma (tiga), obesiti (dua), kecacatan otak (dua), hamil (satu) dan peringkat selepas bersalin (satu).

Sementara itu Bernama melaporkan Liow berkata kementeriannya mendapati masih ramai pesakit yang mengalami simptom H1N1 tidak memberikan kerjasama yanng baik dalam mengawal penularan penyakit itu.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya segera mendapatkan rawatan di klinik atau hospital berdekatan sekiranya mempunyai simptom H1N1 serta mengingatkan para doktor supaya tidak menangguhkan pemberian antiviral kepada pesakit.

Katanya di bawah Seksyen 12 (1) Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988, setiap orang yang mengetahui penyakit yang boleh merebak kepada orang awam, dan sengaja tidak mengendahkan larangan dikuarantin sehingga menyebabkan orang lain dijangkiti akan didenda RM2,000 atau dikenakan penalti maksimum sehingga RM10,000 atau dipenjara 2 tahun atau kedua-duanya sekali.

15 Ogos 2009

Kematian H1N1 meningkat kepada 59

Jumlah kematian akibat Influenza A (H1N1) meningkatkan kepada 59 orang apabila Kementerian Kesihatan mengesahkan tiga orang lagi dilaporkan meninggal dunia kerana penyakit tersebut.

Sebanyak 209 kes baru turut dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhannya meningkat kepada 3,574 orang.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Mohd Ismail Merican berkata, tiga kematian tersebut mempunyai faktor risiko, iaitu obes, masalah jantung dan asthma.

Korban pertama ialah seorang lelaki berumur 22 tahun, obes, dimasukkan ke hospital pada 9 Ogos kerana simptom infuenza.

Palitan tekak diambil dan rawatan antiviral dimulakan keesokannya. Dia meninggal dunia pada 12 Ogos kerana viral pneumonia dan disahkan positif Influenza A(H1N1).

Seorang kedua pula ialah seorang lelaki berumur 29 tahun, mempunyai faktor risiko penyakit jantung dimasukkan ke hospital pada 10 Ogos kerana simptom influenza yang teruk selama dua hari.

Palitan tekak diambil dan antiviral diberi pada 10 Ogos. Dia bagaimanapun meninggal dunia pada 12 Ogos kerana bronchopneumonia yang teruk.

Dia disahkan positif Influenza A(H1N1) semalam (14 Ogos).

Korban ketiga pula ialah seorang wanita berumur 44 tahun dengan sejarah asma.

Dia dimasukan ke hospital pada 8 Ogos kerana simptom influenza selama lima hari.

Wanita itu diberi antiviral pada 9 Ogos dan disahkan positif influenza A(H1N1) pada 10 Ogos. Dia meninggal dunia pada 13 Ogos disebabkan oleh pneumonia.

Dr Ismail berkata, orang ramai yang mempunyai simptom influenza yang ringan masih mengunjungi tempat awam seperti pusat membeli-belah, pergi melancong, pergi ke tempat kerja atau sekolah serta masih lagi menaiki kenderaan awam.

Katanya, mereka juga tidak memakai topeng muka dan kebanyakan yang memakai topeng muka adalah mereka yang sihat.

"Amalan ini boleh meningkatkan penularan jangkitan virus influenza A(H1N1) melalui batuk atau bersin. Sepatutnya orang awam yang mempunyai simptom influenza yang ringan tidak melakukan amalan-amalan di atas.

"Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai simptom influenza untuk berada di rumah sehingga tiada simptom dan sihat dan tidak mengunjungi tempat awam, tidak menggunakan pengangkutan awam, menangguhkan rancangan untuk melancong ataupun tidak ke tempat kerja atau sekolah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ismail berkata, daripada pemantauan terhadap pertanyaan orang ramai melalui talian terus dan emel, didapati persoalan masih berkisar kepada rawatan antiviral dan vaksin influenza A(H1N1).

"Kementerian Kesihatan ingin menjelaskan bahawa ubat antiviral hanya untuk tujuan rawatan dan bukan pencegahan. Ubat antiviral ini boleh didapati di hospital atau klinik kerajaan secara percuma.

Menurutnya, rawatan antiviral hanya diberikan kepada tiga kumpulan berikut tanpa perlu menjalani ujian pengesahan influenza A(H1N1):

Individu yang mempunyai simptom sepeti influenza dan mempunyai faktor risiko.

Individu yang mempunyai simptom ILI, tanpa mempunyai faktor risiko tetapi mempunyai demam yang tinggi (>38°C) berpanjangan (lebih daripada 2 hari).

Individu yang telah menjalani ujian “rapid test” serta didapati positif, mereka akan diberikan rawatan antiviral jika mengalami simptom jangkitan menjadi teruk dalam masa 48 jam.

"Orang ramai perlu mengambil maklum bahawa vaksin khas untuk influenza A(H1N1) belum dihasilkan lagi. Vaksin yang ada di pasaran pada masa ini adalah vaksin untuk seasonal flu," tambahnya.

14 Ogos 2009

How to protect yourself and others

H1N1: 40% mati akibat lewat dirawat

Sebanyak 40 peratus daripada 56 korban wabak selesema A (H1N1) meninggal dunia akibat "kelewatan mendapat rawatan awal" dan sebanyak 13 peratus pula angkara "kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan".

Statistik itu didedahkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam kenyataan hariannya berhubung wabak tersebut hari ini.

"Saya ingin memaklumkan bahawa majoriti kematian ini mempunyai faktor-faktor penyumbang kematian seperti faktor risiko kesihatan (70 peratus), di samping itu juga daripada jumlah kematian tersebut, sebanyak 40 peratus didapati mempunyai faktor kelewatan mendapat rawatan awal dan sebanyak 13 peratus kematian didapati ada unsur kelewatan pengesanan oleh pengamal perubatan," katanya.

"Saya berpendapat, ada di antara kematian ini dapat dielak sekiranya pesakit dan pengamal perubatan lebih peka dan mengambil tindakan sewajarnya dengan segera."

Hari ini, dua bayi berusia dua bulan dan seorang remaja menjadi sebahagian perangkaan terbaru korban wabak daripada lima kes - jumlah keseluruhannya 56 kes.

Dr Mohd Ismail menambah, kadar penularan influenza A (H1N1) dalam masyarakat adalah tinggi dan perkembangan ini dapat dilihat daripada jumlah semakin ramainya pesakit yang datang ke hospital dan klinik untuk mendapatkan rawatan.

Susulan itu, beliau menasihatkan orang ramai, terutama mereka yang bersimptom jangkitan influenza, agar mengambil tindakan berikut:

Pertama, mereka yang bersimptom selepas menerima rawatan hendaklah berehat di rumah jika tidak dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Pergerakan pesakit bersimptom ke tempat awam atau tempat kerja akan menambahkan kes penularan dalam komuniti.

Mereka yang bersimptom mudah menularkan jangkitan kepada individu yang sihat yang berada dekat dengan mereka sama ada melalui batuk, bersin atau sentuhan cecair batuk/bersin.

Kedua, di sekolah atau tempat kerja, individu yang bersimptom influenza dinasihati agar segera mendapatkan rawatan dan berehat di rumah sehingga sembuh.

Mereka dinasihati agar tidak bekerja atau datang ke sekolah bagi mengelakkan penularan jangkitan influenza A (H1N1).

Guru besar atau ketua tempat kerja hendaklah melakukan saringan harian bagi memastikan individu yang bersimptom tidak meneruskan bekerja atau menghadiri kelas.

Jika terdapat kes dari saringan tersebut, mereka hendaklan dirujuk ke hospital atau klinik.

Ketiga, semua ibu bapa atau penjaga memastikan anak mereka yang mempunyai gejala influenza supaya tidak hadir ke sekolah bagi mengurangkan penularan jangkitan ini agar tidak menggangu aktiviti pembelajaran di sekolah.

Dua bayi korban terbaru H1N1

Dua bayi berusia dua bulan, seorang daripadanya tidak mempunyai tanda-tanda demam atau sesak nafas, menjadi sebahagian perangkaan terbaru korban wabak selesema A (H1N1), menjadikan jumlah kematian meningkat kepada 56 kes hari ini.

Dua dewasa yang turut meninggal dunia akibat virus tersebut mengalami masalah kesihatan, seperti kencing manis dan kegemukan.

Maklumat perinci lima kes kematian yang diedarkan oleh Kementerian Kesihatan kepada media seperti berikut:

Pertama, seorang bayi lelaki yang dilahirkan tidak cukup bulan, pada usia kandungan 27 minggu, dimasukkan ke hospital pada 3 Ogos lalu kerana demam, batuk, selesema dan susah bernafas selama tiga hari.

Keadaan bayi semakin teruk dan diventilasi. Swab tekak diambil dan rawatan antivirus diberikan pada 6 Ogos. Bayi meninggal dunia kelmarin dan ujian influenza A (H1N1) adalah positif.

Penyebab kematian adalah pneumonia.

Kedua, seorang lagi bayi dimasukkan ke hospital pada 7 Ogos setelah didapati berada dalam keadaan tidak memberikan tindak balas serta pucat.

Sebelum itu, bayi tersebut mula meragam dan kurang minum susu sejak 5 Ogos tetapi tidak mempunyai demam, batuk atau sesak nafas. Keadaan bayi kritikal dan dikejarkan ke unit rawaan rapi (ICU).

Keputusan ujian influenza A (H1N1) didapati positif pada 8 Ogos, hari beliau meninggal dunia.

Punca kematian "myocarditis, hepatitis and renal impairment" berkaitan H1N1.

Ketiga, wanita 49 tahun, yang obes dan mengalami masalah diabetes dan batuk kering. Beliau mendapat demam, batuk, sakit tekak dan sesak nafas pada pertengahan Julai dan kemudiannya dimasukkan ke hospital pada 29 Julai setelah tidak pulih walaupun mendapat rawatan di klinik swasta.

Beliau yang dirawat sebagai pneumonia dibenarkan pulang pada 3 Ogos - bagaimanapun dimasukkan semula ke wad empat hari kemudian untuk rawatan batu kering setelah dikesan berpenyakit tersebut.

Beliau kemudiannya disyaki H1N1 dan diberi antivirus pada 8 Ogos. Keadaan pesakit bertambah teruk dan meninggal dunia 11 Ogos. Sebab kematian: pneumonia teruk.

Keputusan ujian mendapati pesakit itu positif H1N1.

Keempat, lelaki 57 tahun yang mengalami diabetes mula batuk dan selesema pada 2 Julai tetapi tidak sembuh setelah mendapat rawatan.

Pada 3 Ogos, sekali lagi pesakit mendapat rawatan di klinik setelah mengalami demam, muntah dan cirit-birit dan seterusnya dimasukkan ke hospital pada hari yang sama dan diberikan rawatan antivirus.

Ujian bagi influenza A (H1N1) didapati positif pada 5 Ogos dan beliau meninggal dunia seminggu kemudian akibat sepsis disebabkan pneumonia.

Kelima, lelaki 19 tahun yang dimasukkan ke wad pada 7 Ogos setelah demam dan batuk selama dua hari dan telah diberikan rawatan antivirus.

Ujian bagi influenza A (H1N1) didapati positif pada keesokan harinya. Beliau diserang sesak nafas teruk dan meninggal dunia pada 11 Ogos akibat pneumonia.

51 korban H1N1, 29 lagi di ICU

Tujuh lagi kematian berkaitan influenza A (H1N1) disahkan hari ini, menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 51 orang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata mereka adalah dari kalangan kumpulan berisiko tinggi sama ada penghidap darah tinggi, penyakit jantung, imuniti rendah dan penyakit kongenital.

Katanya, mereka termasuk pesakit berumur antara empat bulan hingga 92 tahun.

"Pada masa ini, terdapat 51 kes di wad, 29 di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 16 daripada 29 dalam ICU adalah kumpulan berisiko tinggi," katanya kepada pemberita selepas melancarkan persidangan Persatuan Bagi Kajian Obesiti Malaysia (MASO) di Kuala Lumpur hari ini.

Liow berkata pesakit dengan simptom penyakit serupa Influenza (ILI) dan masalah jantung, mereka yang demam kuat secara berterusan lebih dua hari dan sesiapa yang positif dengan Influenza A atau B melalui ujian pantas akan diberikan rawatan antiviral dengan segera.

Beliau berkata bagi kumpulan ini, mereka tidak perlu menunggu pengesahan daripada Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) atau Hospital Sungai Buloh.

"Saya telah arahkan semua hospital dan klinik untuk merawat kumpulan pesakit ini dengan segera," katanya.

Liow turut meminta agar doktor memberi cuti sakit (MC) selama tujuh hari kepada mereka yang didapati mengalami selesema supaya mereka boleh meneruskan rawatan di rumah selain tidak mendedahkan diri kepada orang ramai.

Dalam pada itu, beliau turut meminta supaya rakyat di negara ini tidak panik kerana daripada pesakit yang menghidapi penyakit H1N1 itu, 98 peratus telah disahkan sihat.

Katanya, apa yang dikhuatiri adalah kumpulan yang berisiko tinggi yang memerlukan rawatan segera sekiranya menunjukkan simptom-simptom dijangkiti H1N1.

"Sekiranya semua bertanggungjawab mengikut arahan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan, maka kita yakin dapat membendung wabak ini dan ia tidak akan merebak lagi," katanya.

Sementara itu, Liow berkata situasi di negara ini ekoran wabak H1N1 masih belum memerlukan kerajaan mengeluarkan perintah darurat kesihatan walaupun berada di peringkat serius ekoran peningkatan kadar kematian.

"Untuk mengisytiharkan darurat kesihatan saya perlu buat kuarantin
keseluruhan komuniti di mana kerajaan perlu menyekat pergerakan orang secara keseluruhan. Kita belum sampai ke tahap itu," katanya.

Mengenai cadangan mengawal penutupan sekolah, beliau berkata Kementerian Kesihatan meminta supaya pihak sekolah menjalankan pengawasan rapi khususnya terhadap murid-murid yang tidak sihat supaya diarahkan pulang dan berehat di rumah.

Katanya, ibu bapa juga perlu bekerjasama memastikan anak-anak mereka tidak pergi ke sekolah sekiranya menunjukkan tanda-tanda gejala H1N1 dan mendapatkan rawatan segera daripada doktor.

"Kita tutup sekolah seminggu, lepas itu kita buka semula. Kemudian ada lagi kes H1N1 dan arahan tutup akan dikeluarkan. Ini bukan caranya kita hendak menguruskan wabak ini kerana ia bukan hanya merebak di sekolah-sekolah sebaliknya di kawasan komuniti, pasar malam atau pasar raya," katanya. BERNAMA

12 Ogos 2009

H1N1: Dua bayi mati, jumlah 44

Dua bayi dan seorang wanita hamil antara enam korban terbaru wabak influenza A (H1N1), menjadikan jumlah kes kematian di negara ini seramai 44 orang.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata enam pesakit yang meninggal dunia itu telah mendapat jangkitan antara 6 Ogos dan 9 Ogos.

Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetes, hipertensi, penyakit jantung atau obesiti, katanya kepada pemberita di kementeriannya di Putrajaya hari ini.

Tarikh kematian sebenar enam kes tersebut adalah pada 7 Ogos (empat kematian), 9 Ogos (satu kematian) dan 10 Ogos (satu kematian).

Menurut beliau daripada enam kematian yang dilaporkan itu, seorang bayi perempuan berumur 10 bulan tanpa sejarah penyakit kongenital, dilaporkan mengalami demam dan batuk pada 1 Ogos dan dibawa untuk menerima rawatan pada 6 Ogos tetapi meninggal dunia keesokannya.

Liow berkata satu lagi kes kematian melibatkan bayi lelaki berumur 12 bulan yang mengalami penyakit jantung kongenital dan baru menjalani pembedahan jantung di hospital swasta sebelum dirujuk ke hospital kerajaan untuk rawatan lanjut pada 7 Ogos setelah mendapat demam dan sawan.

Bayi itu meninggal dunia pada 9 Ogos kerana mengalami komplikasi pembedahan jantung dan jangkitan pneumonia dan disahkan dijangkiti H1N1 pada 10 Ogos.

Satu lagi kes melibatkan seorang surirumah berumur 18 tahun yang mengandung 26 minggu. Wanita obes itu mula mendapat simptom batuk, sakit tekak dan selsema pada 3 Ogos dan mendapat rawatan di klinik kesihatan pada hari yang sama.

"Bagaimanapun keadaan beliau bertambah teruk dan dimasukkan ke ICU hospital akibat sesak nafas pada 7 Ogos dan rawatan antivirus dimulakan pada hari yang sama dengan sampel sapuan tekak diambil pada 9 Ogos, sebelum disahkan mendapat H1N1 pada 10 Ogos dan telah meninggal dunia pada hari yang sama," katanya.

Liow berkata tiga lagi kes kematian H1N1 melibatkan lelaki berumur 60 tahun dan 62 tahun di bawah kategori risiko tinggi yang meninggal dunia akibat pneumonia dan seorang lelaki berumur 24 tahun, tanpa sejarah dan risiko penyakit, yang meninggal dunia pada 7 Ogos juga akibat pneumonia dan septicemia, dan disahkan mendapat H1N1 pada 10 Ogos.

Liow berkata terdapat 76 kes pesakit yang sedang dirawat di hospital dan 21 lagi kes di ICU di mana 12 daripadanya mempunyai faktor risiko iaitu penyakit kronik (10 orang), obesiti (satu) dan selepas bersalin (satu).

Seramai 86 orang telah dibenarkan pulang dari hospital semalam.

Liow berkata mulai hari ini tiada lagi laporan akan dikeluarkan mengenai jumlah kes jangkitan H1N1, berdasarkan garis panduan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

"Kita tidak melaporkan lagi kes-kes baru H1N1 kerana ia tidak memberi gambaran sebenarnya. WHO telah beri garis panduan bahawa semua negara tidak perlu laporkan lagi bilangan pesakit H1N1 dan hanya perlu melaporkan bilangan pesakit di hospital, bilangan di ICU and bilangan meninggal dunia," katanya. BERNAMA

11 Ogos 2009

6 kematian, 270 kes baru H1N1

Jumlah kematian akibat selesema A (H1N1) meningkat kepada 38 orang apabila enam lagi kematian dicatatkan dalam tempoh 24 jam.

Jumlah keseluruhan naik mendadak kepada 2,253 kes apabila 270 kes baru - rekod tertinggi dalam satu hari - dilaporkan.

Semalam enam kematian, sementara kelmarin lapan kematian dilaporkan - termasuk kes-kes yang baru disahkan dan belum dilaporkan.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema itu jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus A (H1N1).

Unjuran ini dengan mengambil kira andaian kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus daripada 5.5 juta orang yang dijangkiti, kata pengarah penyakit berjangkit WHO Dr Tee Ah Sian hujung bulan lalu.

Dalam kenyataan rasminya, ketua pengarah kesihatan berkata enam kematian terbaru juga berlaku lebih awal tetapi hanya disahkan dijangkiti H1N1 beberapa hari lalu.

"Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko sama ada diabetes, hipertensi atau asma.

"Tarikh kematian sebenar enam kes tersebut seperti berikut: 4 Ogos (seorang), 6 Ogos (2) dan 7 Ogos (3)," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Pada masa ini seramai 48 pesakit sedang dirawat di hospital dan 11 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Daripada 11 kes di unit tersebut, empat mempunyai faktor berisiko iaitu penyakit kronik (dua orang), obesiti (1) dan selepas bersalin (1).

malaysiakini.com

10 Ogos 2009

SATU PANDANGAN

Saya selalu mendengar cerita bagaimana di beberapa selekoh di lorong-lorong motorsikal ada paku-paku tajam di taburkan. Ini untuk tujuan membocorkan tayar. Tidak berapa jauh dari itu ada iklan – tukartiub.

Saya juga diberitahu oleh kawan baik saya bahawa di penurun jalan sesudah terowong lebuh raya Karak – sering minyak ditaburkan. Pernah keretanya tergelincir sekali. Tidak jauh terowong ini ada lori tarik kereta menunggu.

Ini adalah contoh taktik untuk menjalankan perniagaan. Ini cara untuk mencari pelanggan. Dalam dunia perniagaan yang menjadi rukun iman ialah keuntungan. Semua yang berniaga ingin mendapat untung. Lebih banyak untung lebih cepat jadi kaya.

Hari ini kita semua tahu bagaimana seramai 26 orang warga negara kita telah ditewaskan oleh virus H1N1. Wabak ini sedang menular bukan sahaja di negara kita malah di seluruh dunia.

Apa sebenarnya semua ini?

Pada tahun 1963 – satu persidangaan telah diadakan di Iron Mountains tidak jauh dari Hudson New York. Ketika ini Amerika sedang bertarong di Vietnam, Laos dan Kamboja.

Ini adalah persidangan para pemikir untuk membuat dasar bagi pihak kuasa imperial Amerika. Pemikir-pemikir ini ingin mencari jalan bagaimana sistem ekonomi kapitalis dunia ini dapat diteruskan tanpa berlaku perang.

Laporan dari Iron Mountains telah mengajukan :

- Pertambahan penduduk di bumi akan membawa laba kepada kaum koprat
- Perang wajib berlaku untuk tujuan ekonomi, politik dan perkembangan sosial
- Melahir kan musuh sebagai strateji politik

Dari sinilah lahir keinginan untuk mengawal genetic dan genocide dalam usaha untuk mengawal manusia untuk memastikan keuntungan terus dapat dikaut oleh kaum kapitalis. Disini juga bermulanya apa yang akan kita kenali sebagai keganasan biologi – bioterrorism. Teknolojibio akan digunakan sebagai senjata untuk mengawal umat manusia.

Pada tahun 1970 telah keluar satu memo - National Security Memo No: 200. Memo ini ditulis oleh Henry Kessinger yang menimbulkan bagaimana wajib dikawal ledakan penduduk yang semakin bertambah dalam dunia hari ini. Memo No: 200 ini mencadangkan agar dijalankan usaha untuk mengurangkan penduduk dunia.

Ini sebahagian dari memo yang ditulis oleh Henry Kessinger:

‘ There is a major risk severe damage to world economy, political and ecological syatem begin to fail to our humanitarian values. The urban slums dwellers ( though apprently not recent migrants) may serve as a volotile, volient force which threatened political stability.

International relation - population factors are crucial in and after determinants of voilent conflicts in developing areas. There is no single approach which will solve the population problem. The complex social and economic factors involved call for comphrensive strategy… At the same time action and program must be tailored to specific countries and group.’

Dalam bahasa yang senang Henry Kessinger melihat manusia miskin – penduduk miskin kota - sebagai sampah dan perlu di kawal dan dibersihkan. Ini samalah dengar dasar ‘setinggan sifar’ yang selalu di warwar kan dalam negara kita ini.

Justeru – hari ini ada berpuluh-puluh lembaga, badan dan makmal sedang membuat kajian biologi. Ada yang bergantung rapat dengan universiti. Ada yang bekait rapat dengan kaji selidik tentera. Ada yang diwujudkan oleh syarikat pembuat ubat. Malah semua makmal penyelidikan ini kait mengait antara satu sama lain. Lembaga-lembaga ini semuanya mendapat dana dari syarikat pembuat ubatan-ubatan dan mendapat kontrek dari Jabataban Pertahanan Amerika.

Semua lembaga dan makmal ini adalah lembaga kapitalis. Tujuan penyelidikan ilmiah mereka ialah untuk membuat keuntungan maksima. Ilmu pengetahuan mereka bukan digunakan untuk kesejahteraan umat manusia tetapi untuk mencari jalan perniagaan untuk mendapat untung.

Syarikat ubat benabikan keuntungan. Lagi ramai yang sakit lagi baik untuk ubat dijual. Kesihatan ialah perniagaan – ini dasar kaum kapitalis.

Justeru jangan terperanjat jika saya nyatakan bahawa virus AIDS, Hiv, Ebola semuanya lahir dari bilik makmal.

Seperti memerangkap Mat Rempit agar tayar motosikalnya bocor bagitu jugalah kajian biologi di bilik-bilik makmal yang sedang dilakukan oleh kaum kapitalis ini. Kaum kapitalis multinasional ini ingin memerangkap – bukan dengan menjual tiub. Mereka melepaskan virus-virus ini dengan dua tujuan :

1 – mengurangkan penduduk dunia
2 – menjual ubatan

Tidak masuk akal ? Ini hanya teori konspirasi ? Ini pandangan gila Hishamuddin Rais?

Sabar dahulu. Cuba fikirkan pula bagaimana depleted uranium – DU – sedang digunakan dalam perang di Iraq dan Afghanistan. Peluru-peluru baru yang dibuat oleh syarikat pensenjataan telah menggunakan DU dalam peluru yang dapat meledakan apa sahaja – dari kereta perisai hingga ke tembok-tembok tebal.

Depleted Uranium atau DU ini dari apa yang diheboh-hebohkan adalah uranium yang telah mandul kuasanya. Justeru tidak merbahaya kepada manusia. Ini bohong. Kajian demi kajian telah dijalankan yang menunjukkan DU ini masih membawa padah dan malapetaka yang maha hebat kepada umat manusia.

DU akan melahirkan barah. Anak anak yang baru lahir di Iraq dan Afghanistan – dimana ibu atau ayahnya telah terhidu DU – akan lahir bukan seperti bayi. Ada yang berkepala besar. Ada yang bermata satu. Ada yang bengkang bengkok. Bayi-bayi ini adalah gergasi cacat yang dimunculkan oleh teknoloji kaum imperial Anglo-Amerika. Tujuan penggunaan DU ini cukup jelas. Penduduk akan berkurangan. Yang hidup akan terus menerus memerlukan ubatan – ertinya mereka akan terus membeli ubat.

Ini pandangan karut dari Hishamuddin Rais ? Kerana DU juga terkena kepada tentera mereka juga.

Betul. Memang betul ada beribu-ribu tentera British dan soldadu Amerika yang telah mengambil bahagian dalam perang Desert Storm dan sedang menghadapi apa yang dipanggil Gulf Syndrom. Ini adalah penyakit baru dimana pengidapnya akan mati perlahan-lahan. Pada akhir 80’an dahulu para veteran Desert Storm di United Kingdom telah menuntut agar Golf Syndrom ditakrif sebagai penyakit. Ini telah ditolak oleh kerajaan. Kerajaan menafikan wujudnya penyakit ini.

Para veteran – satu demi satu mati. Anak-anak mereka yang baru lahir banyak yang cacat sama seperti yang terjadi di Iraq dan Afghanistan. Jangan hairan – kaum kapitalis – tidak memiliki hati perut. Apa yang penting ialah keuntung besar. Dan ini juga adalah selari dengan dasar yang telah dibincangkan di Iron Mountains. Ini juga dasar yang sedang dijalankan mengikut Memo No: 200 yang disarankan oleh Henry Kessinger.

Umat manusia perlu dikurangkan dalam dunia ini agar mereka yang kaya terjamin kesempurnaan hidup mereka. Ini samalah seperti mengawal penduduk Kampong Kerinchi dari berpindah ke Country Height atau mengudam setinggan di Kampong Berembang atau Buah Pala agar mereka tidak berani membuat rumah di Bukit Tengku.

Juga hampir kesemua soldadu yang pergi berperang itu adalah anak-anak muda dari kelas bawahan. Mereka ini seperti kata Henry Kessinger adalah sampah yang akan membawa masaalah. Soldadu Amerika hampir 80% adalah berkulit hitam dan Latino. Menghantar mereka ke medan perang adalah cara terbaik untuk mengurangkan jumlah mereka.

Anak-anak orang kaya tidak akan masuk menjadi tentera. Anak-anak orang kaya pergi ke Havard dan Yale. Mereka berakhir membuat harta di Wall Street atau menjadi CEO syarikat multinasional. Malah Bush sendiri telah mengelat dari pergi ke Perang Vietnam.

Apabila saya membaca, mengkaji dan meneliti dokumen yang telah ‘dibebaskan’ atau yang telah dibocorkan maka ternyata virus terbaru H1N1 ini juga telah menetas dari bilik makmal.

Dasar pengurangan umat manusia dibumi ini sedang berjalan dengan baik. H1N1 ini adalah sebahagian dari strateji itu.

Jika kurang yakin tentang apa yang saya cuba nyatakan disini – atau menganggap ini hanya teori konspirasi – sila cari dan baca - ada berjuta-juta bahan kajian ilmiah dan tulisan-tulisan para penyelidik yang menimbulkan hal ini. Semua ini amat senang untuk ditemui dalam internet.

Pada ketika ini telah keheboh-hebohkan tentang satu vaksin yang akan muncul untuk melawan H1N1. Ini juga adalah pengiklanan besar dari kaum kapitalis. Untuk sementara waktu kita diberi tahu yang vaksin ini masih dalam kajian.

Bayangkan – mula-mulanya – kita ditakut-takutkan. Kemudian kita diberitahu jangan takut ada jalan selamat. Tetapi jalan selamat ini wajib dibayar. Cukup senang untuk memerangkap. Sama seperti menaburkan paku di jalan raya untuk membocorkan tayar motosikal Mat Rempit. Inilah sifat kapitalis. Inilah cara kaum kapitalis membuat untung.

Dalam sistem ekonomi sosialis – ubatan adakah untuk kesihatan bukan untuk keuntungan. Dalam sistem ekonomi sosialis hospital adalah milik rakyat bukan untuk disawastakan. Dalam ekonomi sosialis perubatan adalah untuk semua bukan untuk yang kaya.

Dalam sistem masyrakat sosialis umat manusia adalah penjana tamadun bukan sampah yang perlu dihapuskan. Fikrah manusia digunakan untuk kebaikan bukan untuk keuntungan.TT

Nota : Sebaik sahaja tulisan ini siap angka kematian
telah bertambah dari 26 ke 32 - jam 3.20 petang 10 Ogos 2009.


H1N1: Mereka yang berisiko tinggi


6 lagi korban H1N1, 203 kes baru

kemaskini 5.50pm Enam lagi menjadi korban selesema A (H1N1), menjadikan jumlah semuanya 32 orang sejak kes pertama 23 Julai lalu.

Semalam lapan disahkan mati akibat virus wabak tersebut.

Keenam-enam kematian itu antara 203 kes terbaru yang dilaporkan hari ini - kenaikan kes tertinggi dalam satu hari - menjadikan jumlah keseluruhannya 1,983 kes.

Ketua pengarah kesihatan menjelaskan, angka kematian terbaru itu merujuk satu kes yang berlaku semalam, manakala selebihnya kematian lebih awal yang hanya disahkan pada 7 dan 8 Ogos.

"Empat daripada kes kematian ini didapati mempunyai faktor risiko. Tarikh kematian sebenar seperti berikut: 5 Ogos (2 dua), 8 Ogos (3 orang) dan 9 Ogos (seorang)," kata Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Seramai 67 pesakit kini sedang dirawat di hospital dan seramai 15 lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

Enam di unit tersebut mempunyai risiko iaitu penyakit kronik (3 orang), obesiti (1), selepas hamil (1) dan bayi (1).

Dr Mohd Ismail menambah, mereka yang mengalami simptom dan berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi akibat jangkitan influenza A (H1N1) diminta segera mendapatkan rawatan.

"Rawatan anti-virus akan diberikan tanpa memerlukan ujian pengesahan makmal. Rawatan ini sangat berkesan untuk mengubati pesakit jika dimulakan dalam tempoh 48 jam selepas gejala bermula," katanya.

"Berikan perhatian kepada tanda-tanda amaran seperti masalah sukar bernafas, demam atau sakit dada yang berterusan, batuk/kahak berdarah, muntah/cirit-birit yang kerap.

"Dapatkan rawatan segera apabila mengalami tanda-tanda tersebut."

malaysiakini.com

09 Ogos 2009

Lapan lagi korban H1N1, jumlah 26

Lapan lagi dilaporkan meninggal dunia akibat influenza A (H1N1), menjadikan jumlahnya meningkatkan kepada 26 orang.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata kematian tersebut dilaporkan antara 3 Ogos hingga hari ini.

Menurutnya, ada kematian tersebut yang hanya dikesan selepas dilakukan bedah siasat.

Beliau memberitahu pemberita di Kota Kinabalu bahawa sebahagian daripada kematian tersebut membabitkan kumpulan yang berisiko tinggi.
Liow berkata, satu kematian dicatatkan pada 3 Ogos, diikuti dua lagi (5 Ogos), empat (6 Ogos) dan satu lagi pada 8 Ogos, lapor Bernama.

Menurutnya, dua daripada kes itu adalah dari Sabah. Yang pertama melibatkan seorang wanita obes berumur 24 tahun yang dirawat di Hospital Ranau pada 1 Ogos, yang mengalami demam dan batuk selama empat hari.

Wanita itu kemudian dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth (QEH) di Kota Kinabalu pada 5 Ogos dan meninggal dunia pada hari yang sama.

Satu lagi kes melibatkan lelaki berumur 74 tahun yang menghidap sakit jantung kronik yang dimasukkan ke QEH pada 3 Ogos, yang mempunyai sejarah mengalami masalah kesukaran bernafas selama sebulan dan demam selama sehari sahaja.

Lelaki itu meninggal dunia pada 6 Ogos.

Kes lain termasuk pelajar wanita berumur 20 tahun yang dirawat sebagai pesakit luar bagi penyakit serupa Influenza (ILI) pada 1 Ogos dan meninggal dunia di bilik asrama, lima hari kemudian; seorang lelaki berumur 48 tahun yang menghidap asma dan hipertensi dari Sarawak, dan seorang lelaki obes berumur 37 tahun dari Johor.

Liow berkata pada ketika ini, terdapat sejumlah 62 kes yang sedang menerima rawatan di hospital dan 13 kes lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU), manakala lima lagi kes disyaki H1N1 turut ditempatkan di ICU bagi menunggu keputusan.

"Setakat ini di Sabah, kes H1N1 yang disahkan ialah 402 kes, dua kematian, tujuh sedang dirawat di hospital di mana seorang dalam ICU, dan tujuh lagi kes ILI, sementara menunggu pengesahan," katanya.

Menurut Liow lagi, terdapat kanak-kanak yang terlibat tetapi tidak mempunyai butirannya.

Katanya, 35 sekolah telah ditutup di Sabah akibat wabak H1N1.

malaysiakini.com

Korban H1N1 meningkat kepada 18 orang

Penyakit Influenza A (H1N1) meragut tiga lagi nyawa menjadi jumlah korban penyakit tersebut sehingga ini meningkat 18 orang.

Ketiga-tiga korban terbaru itu merupakan dua orang kanak-kanak berusia empat dan lima tahun dan seorang lagi berusia 63 tahun.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Liow Tiong Lai berkata, 53 kes baru juga dilaporkan di seluruh negara hari ini.

Bercakap kepada pemberita di ibunegara, beliau berkata kanak-kanak berusia lima tahun ini mengalami encephalitis dan meninggal dunia di Hospital Kuantan Jumaat lalu.

Manakala kanak-kanak berusia empat tahun itu pula mengalami hyperthyroidism dan radang paru-paru. Dia meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, juga pada hari Jumaat.

Manakala mangsa yang berusia 63 tahun itu pula dari Selayang yang mengalami asma, batuk kering dan radang paru-paru. Dia meninggal dunia di Hospital Selayang Khamis lalu.

malaysiakini.com

07 Ogos 2009

H1N1: Satu atau dua lagi mati?

Angka kematian akibat wabak selesema A (H1N1) terus meningkat apabila seorang lagi disahkan meninggal dunia hari ini.

Sementara Oriental Daily dalam khidmat berita ringkas melalu mesej SMS menyebut dua orang menjadi korban virus wabak itu.

Seorang kanak-kanak 9 tahun dan lelaki 37 tahun dilaporkan meninggal di Hospital Kluang, Johor.

Semalam 14 orang dilaporkan menjadi korban virus pandemik itu - sehingga kini belum ditemui vaksin.

Seorang lelaki 57 tahun menjadi korban ke-14 dan kanak-kanak enam tahun pula ke-13 sejak dua minggu lalu.

malaysiakini.com

06 Ogos 2009

Seorang lagi mati akibat H1N1

Seorang lelaki 57 tahun korban terbaru wabak selesema A (H1N1), menjadikan jumlah kematian 14 orang sejak dua minggu lalu.

Korban ke-13, seorang kanak-kanak enam tahun Mohd Hyafiq Afendi yang meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan Hospital, Kuantan tengah hari semalam akibat pneumonia atau radang paru-paru.

Budak lelaki itu dimasukkan ke hospital pada 1 Ogos selepas mengalami demam dan mengadu sakit perut.

Kematian-kematian terbaru akibat virus selesema itu:

Kanak-kanak berusia 6 tahun meninggal dunia 2.30 pagi semalam di Hospital Batu Pahat.

Dua korban sebelumnya terjadi di Melaka - lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu, masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang.

Termasuk 16 kes terbaru hari ini dan kematian tersebut, jumlah keseluruhan 1,492 kes semuanya - 11 daripada mereka kini dimasukkan di unit rawatan rapi (ICU).

malaysiakini.com

12 mati akibat H1N1, terkini di Johor

Seorang lagi kanak-kanak, berusia 6 tahun, meninggal dunia 2.30 pagi ini di Hospital Batu Pahat akibat wabak selesema babi A (H1N1), menjadikan jumlah seluruhnya 12 orang meninggal dunia di seluruh negara sejak dua minggu lalu.

Dua korban terbaru wabak tersebut yang dilaporkan sebelumnya terjadi di Melaka.

Seorang lelaki 20 tahun dan remaja 12 tahun dari negeri itu - masing-masing menghidap lelah dan kegagalan buah pinggang - menjadi korban terbaru kes selepas kematian kanak-kanak tiga tahun disahkan akibat virus tersebut.

Mangsa kesembilan Iffah Syazwina Samsuddin dilaporkan meninggal dunia pada 4.30 petang semalam di Hospital Melaka.

Korban kelapan membabitkan seorang guru 51 tahun dari Kuala Selangor yang meninggal dunia Ahad lalu. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai.

Setakat ini, 1,476 kes selesema A (H1N1) dilaporkan di seluruh negara, termasuk 16 kes terbaru termasuk kematian tersebut.

Kematian-kematian lain:

Korban ketujuh, ibu 24 tahun dari Miri, Sarawak yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu meninggal dunia Ahad lepas.

Anaknya bagaimanapun dilaporkan selamat.

Keenam, murid lelaki berusia 11 tahun dari Johor Bahru meninggal akibat komplikasi, 2 Ogos lalu.

Kelima, seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun dari Bagan Serai, Perak meninggal dunia Jumaat lalu.

Pada 28 Julai lalu, wanita berusia 20 tahun dari Melaka meninggal dunia akibat pneumonia teruk yang dijangkiti dari persekitaran.

Sehari sebelumnya, seorang lelaki berusia 42 tahun mati akibat wabak itu setelah disahkan menghidap selesema A (H1N1).

Si mati yang mengalami pelbagai komplikasi meninggal akibat pneumonia yang serius dengan kegagalan beberapa organ setelah 10 hari mendapat rawatan.

Korban kedua wabak itu di negara ini, lelaki 46 tahun yang meninggal dunia di hospital swasta di Subang Jaya, 26 Julai.

Lelaki tersebut dilaporkan mati akibat "pneumonia teruk dengan kegagalan pernafasan bersama kejutan septisemia dan kegagalan buah pinggang akut" selepas tujuh hari di unit rawatan rapi.

Pada 23 Julai lalu, seorang pelajar Indonesia berusia 30 tahun yang menuntut di Pusat Antarabangsa Pendidikan Kewangan Islam (INCEIF) di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur menjadi korban pertama berkaitan wabak selesema A (H1N1).

04 Ogos 2009

H1N1: Semua pelajar kena periksa suhu badan

Kementerian Pelajaran mengarahkan semua pelajar di semua sekolah menjalanikan pemeriksaan suhu badan sebelum bermula waktu sekolah bagi mencegah penularan wabak infuenza A(H1N1).

Timbalan menteri berkenaan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata pemeriksaan itu akan mula dijalankan apabila sekolah dibekalkan dengan jangka suhu dan topeng muka dalam tempoh terdekat, lapor Bernama.

Beliau berkata kerajaan telah memperuntukkan RM3.6 juta untuk tujuan membeli termometer dan topeng muka.

"Setiap murid dan pelajar akan dimestikan menjalani pemeriksaan sebelum memasuki kelas dan kita akan pastikan suhu badan mereka tidak melebihi 37.5 darjah Celcius," beliau dipetik berkata selepas mengadakan pertemuan dengan pengurusan SK Sri Kenanga, Tampoi hari ini.

Pemeriksaan itu juga bertujuan meyakinkan ibu bapa supaya membenarkan anak mereka bersekolah seperti biasa, tambahnya.

Dua hari lepas, Mohamad Fakri Syah Rosli, murid Tahun Enam sekolah berkenaan meninggal dunia akibat jangkitan virus itu, yang menjadikan korban keenam di negara ini.

Wee berkata Jabatan Pelajaran Negeri juga diarah memantau semua sekolah dengan pihak pengurusan sekolah diminta menghubungi ibu bapa sekiranya terdapat murid yang tidak datang ke sekolah.

"Jika ada anak yang gagal hadir kerana demam, maka data berkenaan akan diserahkan ke Jabatan Kesihatan negeri untuk tujuan susulan," katanya.

Beliau berkata pengurusan sekolah dan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) juga perlu memainkan peranan untuk memberi penerangan kepada ibu bapa jika ada di kalangan mereka yang masih berasa tidak yakin untuk membenarkan anak-anak ke sekolah.

Menurut Wee lagi, dianggarkan lebih 100 sekolah terpaksa ditutup selama seminggu sejak wabak itu dilaporkan merebak, kira-kira dua minggu lepas.

Beliau turut menegaskan tindakan menutup sekolah tidak akan dilakukan sewenang-wenangnya hanya kerana ada ibu bapa yang tidak yakin mengenai kesihatan anak mereka.

Katanya, penutupan sesebuah sekolah perlu mematuhi prosedur Akta Penyakit Berjangkit 1988, iaitu dengan mendapat pengesahan daripada doktor.

malaysiakini.com

H1N1: Peningkatan Mingguan Kes

H1N1: 10 di ICU, tiga berisiko tinggi

Tiga daripada 10 orang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) akibat jangkitan selesema A (H1N1) berisiko kerana masing-masing mengalami masalah obesiti, baru lepas bersalin dan imuniti rendah.

Bagi 14 kes terbaru, satu termasuk dalam angka mereka yang dirawat di ICU, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jumlah kes terkumpul kes influenza A (H1N1) di Malaysia setakat 8 pagi hari ini ialah 1,460 kes dengan jumlah kematian lapan orang," katanya.

Daripada 1,460 kes itu, 886 daripadanya jangkitan tempatan, katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Antara Kementerian Mengenai Pandemik H1N1 di Putrajaya hari ini.

Daripada jumlah itu, 1,410 kes telah sembuh dan hanya 27 kes sedang menerima rawatan antivirus di hospital termasuk di ICU, manakala 23 lagi dirawat di rumah.

malaysiakini.com

03 Ogos 2009

H1N1 ragut korban kelapan

Penyakit Influenza A (H1N1) meragut korban lapan, membabitkan seorang guru yang berusia 51 tahun dari Kuala Selangor.

Guru berkenaan meninggal dunia semalam. Sekolah tempat guru itu mengajar ditutup pada 27 Julai lalu.

Menurut Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, mangsa yang mengalami radang paru-paru yang teruk akibat H1N1, meninggalkan dunia jam 11 malam tadi.

Mangsa pada mulanya mendapatkan rawatan di klinik swasta pada 27 Julai dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh pada 30 Julai.

Mangsa semakin teruk dan dimasukkan ke unit rawatan rapi di Hospital Seremban semalam.

Korban ketujuh Influenza A (H1N1) - seorang ibu yang baru melahirkan anak sulungnya dua minggu lalu - juga meninggal dunia semalam.

Wanita berusia 24 tahun itu adalah dari Miri. Bagaimanapun, anaknya dilaporkan selamat.

Wanita tersebut meninggal dunia jam 4 pagi ini di Hospital Umum Miri.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Dr George Chan Hong Nam berkata, ia merupakan kes kematian influenza A (H1N1) yang pertama di Sarawak.

Dr Chan yang juga pengerusi jawatankuasa bencana dan bertindak negeri berkata wanita terbabit disahkan positif H1N1 pada 17 Julai lalu, lapor Bernama.

"Wanita yang baru sahaja melahirkan anak pada 20 Julai lalu disahkan meninggal dunia jam 4 pagi ini bagaimanapun keadaan anaknya stabil," katanya kepada pemberita hari ini.

Dr Chan berkata, setakat ini terdapat 110 kes jangkitan tempatan dilaporkan di Sarawak selain 25 kes import dan orang ramai dinasihati agar lebih mengutamakan tahap kebersihan masing-masing.

Katanya setakat ini masih terdapat lima sekolah di Sarawak diarahkan tutup selain empat institut pengajian tinggi awam.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan melaporkan sehingga jam 8 pagi tadi, 17 kes baru dilaporkan - semuanya merupakan jangkitan tempatan.

malaysiakini.com

02 Ogos 2009

Hingga 28,000 di M'sia mungkin mati akibat H1N1


Dianggarkan 5,500 hingga 28,000 rakyat Malaysia akan mati dalam wabak selesema A (H1N1) jika 20 peratus daripada 27.7 juta penduduk negara ini dijangkiti virus tersebut.

"Daripada angka ini (5.5 juta orang dijangkiti), jika kita anggarkan kadar kematian antara 0.1 hingga 0.5 peratus, kira-kira 5,500 hingga 28,000 penghidap selesema itu akan meninggal dunia," kata presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Dr David KL Quek memetik unjuran yang dibuat pengarah penyakit berjangkit Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Dr Tee Ah Sian dalam satu mesyuarat pasukan kebangsaan petugas khas menangani wabak itu, pada awal minggu ini.

Dalam perkembangan terkini, kadar kematian di seluruh dunia meningkat daripada 0.4 kepada 0.66 peratus.

Dr Quek mendedahkan maklumat itu dalam artikelnya "Flu measures: Confusion rather than non-compliance" yang diedarkan kepada beberapa media semalam.

Beliau juga menekankan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan, hospital, doktor di pusat kesihatan swasta dan orang ramai agar wabak ini dapat dikekang secara lebih berkesan.

Dr Quek juga menegaskan kepada semua pihak, termasuk media, agar tidak menuding jari kepada pengamal perubatan swasta atau beberapa pihak lain atas beberapa perkembangan terkini wabak itu.

Menurutnya lagi, wabak itu dijangka sekurang-kurangnya berlarutan antara satu hingga dua tahun sebelum reda - sama ada virusnya berubah dalam bentuk lebih lemah atau vaksin telah ditemui untuk membasminya.

Setakat ini, vaksin belum ditemui dan dijangka akan diperolehi hujung tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata 10 peratus simpanan stok ubatan anti-virus 'Tamiflu' dan 'Relenza' buat masa ini tidak cukup memandangkan penularan ketara penyakit berjangkit itu.

Kerajaan akan memesan lagi bekalan ubat itu daripada WHO
bagi memastikan negara mempunyai bekalan ubat itu pada setiap masa bagi membendung wabak influenza A(H1N1), lapor Bernama.

"Melihat kepada trend penularan wabak itu yang semakin meningkat, kita perlu memesan ubat itu daripada WHO," beliau dipetik berkata selepas menghadiri Konvensyen MCA Pulau Pinang hari ini.

Tambahnya, kementerian turut menempah 200,000 dos vaksin influenza A (H1N1) dan dijangka mendapat bekalan itu menjelang akhir tahun ini.

Katanya tempahan tersebut terpaksa dilakukan awal kerana prosedur
menguji ubat itu mengambil masa sebelum dapat diberikan kepada pesakit.

Sementara itu, lapor agensi berita itu lagi, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata 19 kes baru H1N1 dilaporkan hari ini dan kesemuanya melibatkan rakyat Malaysia.

Jumlah terkumpul 1,390 kes, termasuk 816 kes atau 59 peratus melibatkan jangkitan tempatan.

"Daripada keseluruhan, 1,362 kes (98 peratus) telah sembuh, hanya 17 kes atau satu peratus sahaja sedang menerima rawatan antivirus di hospital.

"Lapan daripadanya berada di unit rawatan rapi (ICU), manakala 11 orang sedang menerima rawatan antiviral di rumah," katanya.

malaysiakini.com

Situasi Semasa Pandemik (H1N1) 2009 dan Tindakan Kementerian Kesihatan Malaysia

Pada 1 Ogos 2009 sejumlah 19 kes baru influenza A(H1N1) dilaporkan. Semua kes adalah kes tempatan melibatkan 19 warga negara Malaysia. Daripada 19 kes yang dilaporkan hari ini, 14 merupakan kejadian dari 3 kluster baru, 5 kes merupakan kejadian dari 2 kluster sedia ada dan tiada kes sporadik atau terpencil.

Jumlah terkumpul kes influenza A(H1N1) di Malaysia sehingga 1 Ogos 2009 adalah sebanyak 1,390 kes. Daripada 1,390 kes yang dilaporkan tersebut, 574 (41%) merupakan kes import dan 816 (59%) kes jangkitan tempatan. Daripada jumlah ini, 1,362 kes (98%) telah sembuh, hanya 17 kes atau 1% sahaja yang sedang menerima rawatan antiviral di hospital dan 8 daripadanya berada di Unit Rawatan Rapi. Sebelas (11) orang atau 1% sedang menerima rawatan antiviral di rumah.

Kedudukan kes di Unit Rawatan Rapi adalah seperti berikut; 1 daripada 9 kes yang berada di Unit Rawatan Rapi pada hari sebelumnya telah dipindah keluar ke wad isolasi. Tiada kes baru disahkan positif influenza A(H1N1) dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi. Oleh itu menjadikan jumlah kes yang berada di Unit Rawatan Rapi adalah seramai 8 orang, di mana antaranya adalah 2 remaja obes, 1 wanita hamil dan 1 imuniti rendah.

Merujuk kepada situasi global, sehingga 1 Ogos 2009, sejumlah 182,886 kes dengan 1,206 kematian telah dilaporkan daripada 165 negara. Peningkatan sebanyak 5638 kes dengan 33 kematian berbanding dengan hari sebelumnya. Pertambahan negara adalah Azerbaijan dan Bhutan.

Untuk makluman talian hotline telah menerima sebanyak 110 pertanyaan pada 31 Julai 2009. Maklumat bagi dua jenis pertanyaan paling kerap diajukan adalah seperti berikut;

1. Setakat ini, vaksin influenza A (H1N1) belum dihasilkan lagi dan hanya dijangka akan berada di pasaran pada penghujung tahun ini. Tidak bermakna tanpa vaksin kita tidak boleh melindungi diri daripada jangkitan influenza A(H1N1). Cara yang paling berkesan untuk melindungi diri daripada jangkitan influenza A(H1N1) adalah mengamalkan kebersihan diri yang baik, adab batuk dan mengamalkan social distancing serta mengurangkan aktiviti social gathering atau apa-apa bentuk aktiviti berkumpulan seperti yang sering disarankan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

2. Orang awam terutamanya ibu-bapa masih ragu-ragu dan tidak jelas dengan gejala H1N1 dan tindakan yang perlu diambil oleh mereka. Tanda-tanda utama jangkitan influenza A(H1N1) adalah demam, batuk dan sakit tekak di mana kebiasaannya symptom adalah ringan dan boleh sembuh dengan sendiri. Walau bagaimanapun bagi mereka yang mempunyai tanda-tanda jangkitan yang semakin teruk seperti sakit dada, sesak nafas, demam yang tinggi serta perubahan pada tahap kewarasan hendaklah segera mendapat rawatan dan pemeriksaan di klinik berdekatan. Mereka yang bersimptom hendaklah sentiasa mengasingkan diri dan memakai mask muka di rumah untuk mengelakkan penularan penyakit.

Maklumat influenza A(H1N1) termasuk aktiviti pencegahan boleh didapati melalui laman web Kementerian Kesihatan iaitu http://www.moh.gov.my dan http://h1n1.moh.gov.my ataupun melalui Talian Hotline influenza A(H1N1) Kementerian Kesihatan 03-88810200 dan 03-88810300 yang beroperasi antara 8.00 pagi hingga 9.00 malam setiap hari termasuk hari cuti dan kelepasan am.

Saya ingin merujuk kepada kenyataan yang disiarkan dalam media pada hari ini (1 Ogos 2009) berkaitan dengan pemeriksaan swab tekak untuk jangkitan influenza kepada pelajar yang akan mendaftar Program Matrikulasi. Adalah dimaklumkan, pelajar yang bergejala influenza-like illness (ILI) diminta supaya pulang dan kembali ke institusi setelah sembuh. Sekiranya terdapat kelompok-kelompok kes-kes ILI, institusi perlu segera melaporkan ke Pejabat Kesihatan Daerah yang berdekatan untuk siasatan lanjut. Ujian influenza H1N1 akan dibuat jika jangkitan itu sederhana dan teruk, ada komplikasi atau terjadi dalam kalangan mereka yang berisiko seperti obes, asthmatic dan lain-lain yang mana mereka perlu dirujuk ke hospital. Saya harap perkara ini lebih jelas untuk ibu bapa, pelajar dan pihak pengurusan institusi.

Pihak Kementerian juga ingin mengingatkan pengamal-pengamal perubatan di klinik swasta supaya membuat pemeriksaan klinikal dengan lebih teliti kes-kes ILI dan hanya perlu merujuk kes-kes yang berisiko (obes, diabetes, penyakit paru-paru kronik dan daya imuniti yang rendah) dan berkomplikasi (pneumonia, sesak nafas dan lain-lain) ke hospital. Bagi kes-kes yang ringan, pihak klinik swasta perlulah merawat kes-kes sedemikian seperti prosedur rawatan selesema yang diamalkan sebelum ini. Perlu diingatkan bahawa ujian pengesahan swab tekak hanya akan dilakukan bagi kes yang perlu mendapatkan rawatan lanjut di hospital sebelum rawatan antiviral influenza dimulakan.

Kementerian Kesihatan yakin dengan kerjasama dan penglibatan semua pihak, penularan influenza A(H1N1) di Malaysia dapat dibendung dengan sebaik mungkin untuk kesejahteraan semua.

Sekian dan terima kasih.

TAN SRI DATO’ SERI DR. HJ. MOHD ISMAIL BIN MERICAN
Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia

Tarikh: 1 Ogos 2009