26 Julai 2011

Bruce Lee mati kerana tewas dengan silat Melayu?


Pada tahun 1973, Mahaguru Dato' Meor Abdul Rahman telah keluar negara untuk melawat saudaranya yang menetap di England. Pemergian beliau ditemani oleh Dato' Syed Ahmad Jamalullail, seorang saudaranya.

Dalam perjalanan pulang ke tanahair, pesawat yang mereka naiki telah singgah sebentar di lapangan terbang di Hong Kong. Ketika menunggu penerbangan berikutnya, beliau telah disapa oleh Bruce Lee, pakar Kung Fu dan seni bela diri Jeet Kune Do.

Bruce Lee telah mendapat tahu bahawa Mahaguru Silat Seni Gayong, Meor Abdul Rahman telah berada di Hong Kong. Setelah memperkenalkan dirinya sebagai Bruce Lee, si Raja Kung Fu, Bruce Lee telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman agar bertarung dengannya.

Beliau ingin melihat sejauh mana hebatnya seni mempertahankan diri milik orang Melayu yang dinamakan silat itu. Bruce Lee dengan angkuhnya berkata jika Meor Abdul Rahman menang dalam pertarungan itu, silat Meor Abdul Rahman adalah yang terbaik, TETAPI jika Bruce Lee pula yang memenangi perlawanan itu, Seni Jeet Kune Do ciptaannya adalah yang terbaik di dunia.

Dato' Meor Abdul Rahman bin Uda Mohd Hashim

Kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman rupa-rupanya telah sampai ke pengetahuan Bruce Lee. Sebelum daripada itu, pada tahun 1972, serombongan pakar-pakar Kung Fu Hong Kong telah datang ke Malaysia untuk mencari tokoh-tokoh seni beladiri yang dapat bertarung dengan Bruce Lee.
Rombongan pakar Kung Fu ini telah berjumpa dengan Dato' Meor Abdul Rahman di Taiping. Dalam pertemuan tersebut, mereka telah mencabar Dato' Meor Abdul Rahman untuk menunjukkan kebolehan beliau.

Dato' Meor Abdul Rahman telah menangkap serta mengunci kesemua enam orang ahli-ahli Kung Fu tersebut. Kemudian, Dato' Meor telah menyuruh ahli-ahli Kung Fu tersebut bertemu dengan murid kanannya pula iaitu Cikgu Ahmad bin Lazim.
Memandangkan Bruce Lee masih muda dan mentah, Dato' Meor Abdul Rahman telah menasihati Bruce Lee agar melupakan sahaja niatnya hendak mencuba beliau. Namun, Bruce Lee tetap berdegil juga. Oleh kerana Bruce Lee terus mendesak, maka Dato' Meor Abdul Rahman akhirnya menyahut juga cabaran daripada Bruce Lee tersebut.

Untuk mengelakkan keadaan daripada menjadi gempar, Bruce Lee dan Dato' Meor Abdul Rahman dengan ditemani oleh beberapa orang menuju masuk ke dalam bilik tetamu di lapangan terbang tersebut. Sebaik sahaja melihat Dato' Meor Abdul Rahman telah bersedia, Bruce Lee pun dengan kepantasan serangan kakinya pun mula mengasak.

Setelah beberapa serangan berjaya dielak, akhirnya Dato' Meor Abdul Rahman tiada pilihan lain melainkan bertindak balas dengan melepaskan satu pukulan tangan(Kipas Nandung) yang tepat mengenai rusuk Bruce Lee.
Pukulan tangan Dato' Meor Abdul Rahman yang nyata berbisa telah menyebabkan Bruce Lee jatuh tersungkur dan menggelupur kesakitan. Kerana belas kasihan ke atas Bruce Lee, Dato' Meor Abdul Rahman pun menawarkan bisa pukulannya ke atas Bruce Lee menggunakan air yang didoakan dan disapu ke kawasan sakit tersebut.
Setelah Bruce Lee pulih daripada kesan pukulan Dato' Meor Abdul Rahman tersebut, akhirnya Bruce Lee dengan rendah diri, mengakui kehebatan Dato' Meor Abdul Rahman dan ilmu silat yang dimilikinya.


Tidak lama selepas peristiwa pertarungan Bruce Lee dengan Dato' Meor Abdul Rahman ini, Bruce Lee dilaporkan telah meninggal dunia di Hong Kong akibat penyakit misteri.(Menurut Daniel Inosanto, murid kanan Bruce Lee, di hari-hari terakhir Bruce Lee sebelum beliau ditemui mati, Bruce Lee giat mengkaji tentang Seni Silat Melayu.
Kini tugas Bruce Lee disambung oleh Daniel Inosanto, sebagai satu-satunya pewaris JKD yang ditauliahkan oleh Bruce Lee. Daniel Inosanto telah memasukkan Silat sebagai sebahagian daripada mata pelajaran Jeet Kune Do nya.
http://drupalmalaysia.org/silatmelayu/Datuk_Meor_Gayung_Malaysia

Dia bertarung dgn Dicky Zulkarnaen (pelakon Indonesia yg top sekitar awal 80-an). Dicky ni bertarung dgn Bruce Lee atas alasan sama-sama artis dalam seni bela diri.. Ketika bertarungan Bruce Lee menggunakan 100% kekuatan tendangannya kepada rusuk Dicky. Akibatnya Dicky secara tak sengaja melepaskan tenaga cakranya ke dada Bruce Lee, lalu Bruce Lee jatuh.

BEBERAPA HARI SEBELUM KEMATIAN


Sudah tentu, sekuat mana pun seseorang itu, satu hari dia pasti akan menemui ajalnya. Menurut berita - berita dan sumber di Internet, media masa dan media cetak, beliau meninggal kerana satu penyakit. Beliau pengsan ketika sedang buat 'dubbing' untuk filem Enter The Dragon. Kemudian, beliau dapat disembuhkan daripada penyakit tu dengan bantuan seorang doktor.

BEBERAPA JAM SEBELUM KEMATIAN

Pada 20 Julai 1973, Bruce Lee pergi ke makan malam bersama dengan George Lazenby, aktor James Bond yang popular pada masa itu.

BEBERAPA MINIT SEBELUM KEMATIAN

Kemudian, jadualnya begitu sibuk . Pada petangnya, dia merasa sakit kepala lalu menggunakan ubat analgesic (painkiller) dan equagesic (yg mengandungi aspirin dan muscle relexant ). Jadi, lebih kurang pukul 7.30 pm, dia pun berehat dan tidur. Tetapi, selepas dia tidak turun makan malam, Chow datang ke apartmentnya dan mengejutkan Lee tapi sayang, Lee tidak bangun. Seorang doktor cuba untuk menyedarkannya sebelum Lee dihantar ke Queen Elizabeth Hospital. Tetapi, Lee sudah pon meninggal sebelum sampai di hospital. Jadi, itu adalah 'cerita rasmi' tentang kematian Bruce Lee.

sumber: http://laksamanabukitbintang.blogspot.com/2011/01/bruce-lee-mati-kerana-tewas-dengan.html

24 Julai 2011

Pantang larang orang Melayu - Masih Relevankah?

Pantang larang orang Melayu adalah sebagai panduan dan juga untuk mendidik tidak kira tua atau muda kearah yang lebih baik. Ada pantang larang yang masih kita ikut kerana mungkin terjadi secara kebetulan. Diantara yang penulis selalu nasihatkan kepada anggota wataniah yang baru. Sebelum masuk kedalam hutan jangan cakap besar. Jangan buang tuala wanita dan kencing merata-rata. Baca doa keselamatan dan doa perjalanan. InsyaAllah selamat pergi dan balik menjalani latihan hutan. Bukan senang nak jaga anggota sukarela yang terdiri dari pelajar-pelajar Politek dan Kolej. Itu cerita empat tahun yang lalu.

Pantang larang orang Melayu merupakan kepercayaan masyarakat Melayu zaman lampau berkaitan dengan adat dan budaya warisan nenek moyang. Kebanyakan adalah bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan. Apa yang disebut bukan untuk dipercayai tetapi untuk dihayati mesej yang tersembunyi di sebalik pantang larang yang telah diperturunkan secara lisan sejak zaman berzaman.

Diantara pantang larang melayu yang selalu emak kita "sound" pada kita.

1. "Jangan duduk di atas bantal, nanti akan naik bisul di ponggong". Sebenarnya kita dilarang sama sekali duduk di atas bantal kerana bantal ialah tempat kita meletakkan kepada sewaktu tidur. Memang tidak senonoh perangai meletakkan ponggong di atas bantal. Dengan menggunakan ponggong kita duduk di merata tempat tidak kira tempat itu kotor atau bersih. manusia juga mengeluarkan najis menerusi lubang di anatara kedua-dua belah ponggong.

2. "Orang perempuan jangan menyanyi di dapur, kalau menyanyi di dapur akan dapat suami tua". Kalau difikirkan secara logik perempuan muda tidak akan hendak bersuamikan orang-orang tua. Tapi jika dapat Tan Sri dan Dato-Dato yang loaded apa salah.. Mertua pun tumpang senangkan..kan..kan. Menerusi pantang larang ini orang perempuan dilarang menyanyi di dapur kerana sewaktu menyanyi boleh terleka. Manusia sukar untuk melakukan dua perkara dalam satu masa dengan sempurna. Jika menyanyi sewaktu menghiris bawang dibimbangi jari terluka. Jika menyanyi sambil memasak makanan ditakuti ada rencah-rencah tertentu yang tidak dibubuh dalam masakan. Akibatnya makanan yang dimasak tidak sempurna. Kesannya ahli keluarga atau sesiapa yang makan makanan tersebut akan tidak berselera.

3. "Orang mengandung jangan memukul ular, nanti anak yang dilahirkan akan cacat atau tidak sempurna sifatnya". Bini penulis tak mengandung pun tengok gambar ular pun dah melatah. Orang perempuan yang mengandung tidak boleh melakukan perkara yang lasak contohnya memukul ular. Jika seseorang memukul ular dia akan pukul dengan penuh geram dan sekuat hati. Jika perbuatan ini dilakukan oleh perempuan yang mengandung dibimbangi anak yang berada dalam kandungan akan mengalami keguguran. Ditakuti juga orang yang mengandung akan terjatuh. Akibatnya akan berlaku kecederaan kepada ibu dan mungkin juga kepada anak dalam kandungan.

4. "Jangan makan waktu senja, nanti semangat padi akan hilang". Maksud tersirat yang ingin disampaikan kepada orang Melayu ialah Seisi keluarga hendaklah makan bersama-sama iaitu selepas sembahyang Maghrib. Dengan cara ini akan mengeratkan tali selaturahim sesama ahli keluarga. Anak yang masih remaja dilarang makan awal dibimbangi lauk tidak mencukupi untuk ahli keluarga yang lain. Lauk yang ada perlu dikongsi bersama. Masyarakat Melayu zaman dahulu jarang menyediakan lauk yang banyak kerana ingin berjimat. Pendapatan yang diperolehi tidak lumayan. Mereka perlu menabung duit untuk pergi ke tanah suci Makkah.

Pantang Larang Wanita Hamil. Yang ini banyak terjadi secara kebetulan atau pembalasan.

1. Dilarang mencaci atau menceritakan kecacatan, dikhuatiri anak yang bakal lahir juga akan cacat.

2. Dilarang memukul, mendera atau mencederakan mana-mana binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahir mengalami kecacatan.

3. Dilarang memaku, memahat, mengail atau menyembelih binatang, dikhuatiri anak yang bakal lahit bibir terbelah atau mengalami kecacatan.

4. Dilarang bergaduh dengan ibu mertua, dikhuatiri mengalami kesulitan ketika melahirkan anak.

5. Dilarang makan sotong, dikhuatiri menghadapi masalah ketika bersalin. Anak mungkin tercerut tali pusatnya.

6. Dilarang mencerca atau melihat sesuatu yang ganjil, dikhuatiri akan kenan.

7. Dilarang minum air tebu atau kelapa di awal kehamilan, dikhuatiri anak akan gugur.

8. Dilarang melihat gerhana, dikhuatiri anak mendapat tompok hitam atau bermata juling.

9. Dilarang melangkah kucing yang sedang tidur, dikhuatiri mata anak tertutup seperti kucing yang sedang tidur.

10. Dilarang menyusup di bawah penyidai, nanti anak akan terencat.

11. Dilarang makan makanan yang berakar seperti pegaga, nanti terlekat uri.

12. Dilarang tidur waktu tengahari, nanti kepala anak akan menjadi besar.

Pantang Larang Ke Atas Lelaki. Ini pun kadang-kadang terjadi secara kebetulan juga.

1. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

2. Dilarang kencing atas busut, dikatakan buruk kemaluan.

3. Dilarang mengintai orang mandi, nanti mata ketumbit.

4. Dilarang tidur di tengah padang, nanti emak mati.

5. Dilarang ketawa waktu Maghrib, nanti datang hantu.

6. Kalau tidak tahan berpanas, nanti tunang dilarikan orang.

Pantang Larang Bayi.

1. Bayi tak boleh ditegur jika badan gemuk, cuma katakan ’semangat’ kerana ditakuti menjadi kurus.

2. Dilarang memicit mulutnya, nanti tiada selera makan.

3. Tak boleh diletak bayi atas lutut, nanti mendapat sakit perut.

4. Sisa makanan bayi tak boleh dimakan oleh ibu bapa, nanti melawan cakap.

5. Tak boleh dicium sewaktu tidur terutama di atas ubun-ubun kepala dan pada pusatnya kerana dikatakan pendek umur.

6. Kain lampin tak boleh direndam, nanti kembung perut.

7. Sewaktu bayi sedang tidur, kadangkala kita melihat dia tersenyum, ketawa dan ingin menangis. Jangan kejutkan kerana dikatakan bayi sedang bermain dengan urinya.

8. Tidak boleh menghembus mulutnya, nanti menjadi bisu.

Pantang Larang Ketika Berdiri

1. Tak boleh kencing berdiri, nanti punggung dijamah hantu.

2. Tak boleh berdiri tertindih kaki, dikatakan akan jauh rezeki.

Pantang Larang Ketika Makan

1. Makan pedal ayam, akan mengantuk ketika bersanding.

2. Makan tidak basuh pinggan, nanti lambat dapat menantu.

3. Makan pisang kembar, akan beranak kembar.

4. Makan waktu Maghrib, makan bersama hantu.

5. Makan sisa anak, anak akan degil.

6.. Tidur selepas makan, nanti perut buncit.

7. Makan sambil berjalan, dapat penyakit perut.

8. Bila makan, pinggan tak boleh diletak atas riba, nanti suami diambil orang.

9. Jangan makan nasi di senduk, nanti payah rezeki.

10. Makan bertindih pinggan, akan beristeri dua.

11. Makan telur tembelang, mendapat penyakit barah.

12. Makan dalam pinggan sumbing, dapat anak bibir sumbing.

13. Makan dalam belanga, dapat anak rupa hodoh.

14.Makan berlunjur,akan jadi pemalas.

15.Makan mencangkung, payah dapat rezeki.

Pantang Larang Sewaktu Tidur

1. Tidur di muka pintu, alamat dilangkah hantu.

2. Tidur di atas pokok, nanti dimakan langsuir.

3. Tidur di atas sejadah,nanti dihinggap kurap.

4. Tidur selepas makan, nanti ditindih hantu.

5. Tidur melekat nasi di kaki, nanti mimpi hantu.

Pantang Larang Ke Atas Perempuan

1. Dilarang menyanyi di dapur, nanti kahwin orang tua.

2. Dilarang menjahit di badan, nanti tidak lepas hutang.

3. Dilarang memakan leher ayam, nanti leher terkulai di pelamin.

4. Pantang bangun lewat, nanti sukar mendapat jodoh.

5. Dilarang makan nasi kerak, nanti mendapat anak bodoh.

6. Dilarang mencari kutu ditangga, nanti kahwin orang tua.

7. Dilarang mencucuk jarum pada waktu malam, nanti didatangi sial.

8. Dilarang bercermin di depan cermin retak, nanti wajah pucat di malam pertama.

9. Dilarang pakai baju basah, nanti badan naik kurap.

10. Pantang berbual di tangga, nanti dipinang orang di serambi rumah sahaja.

11. Dilarang makan bertindih pinggan, nanti menjadi madu orang.

12. Tak boleh menyapu nasi pada waktu malam, nanti pendek rezeki.

13. Dilarang mengerat kuku waktu malam, nanti datang sial.

14. Dilarang makan berubah tempat, nanti berkahwin ramai.

15. Dilarang meletak pinggan di tapak tangan ketika makan, dikhuatiri nanti akan merampas suami orang.

Pantang Larang Kanak-Kanak

1. Dilarang duduk atas bantal, nanti punggung terkena bisul.

2. Tak boleh memotong kuku waktu malam, nanti pendek umur.

3. Dilarang bersiul dalam rumah, nanti ular masuk.

4. Tak boleh jelir lidah, nanti lidah terpotong.

5. Makan kepala ikan, nanti menjadi bodoh.

6. Dilarang mengangkat kaki ketika meniarap, nanti emak mati.

7. Tak boleh menunjuk pelangi, nanti jari kudung.

8. Tak boleh makan dalam gelap, dikatakan makan dengan iblis.

9. Dilarang bermain atau keluar rumah waktu senja, nanti disorok hantu.

10. Tak boleh gigit kain, nanti gigi berulat.

11. Hempedal ayam tak boleh dimakan, nanti susah bersunat.

12. Dilarang bercakap dalam tandas, nanti mata ketumbit.

Pantang Larang Di dalam Hutan

1. Jika sesat di hutan, jangan tidur di tepi sungai, nanti dimakan hantu.

2. Dilarang pegang pokok merah, nanti badan menjadi gatal.

3. Jangan tidur di atas pokok jika sesat, nanti dilapah hantu.

4. Dilarang bercakap besar ketika di hutan, nanti mendapat bencana.

5. Pantang bersiul di hutan, nanti disambar langsuir.

6. Jangan melaung di tengah hutan, nanti disahut hantu.

7. Jika terdengar sahutan, jangan dijawab, dikhuatiri suara hantu.

8. Jangan mengambil batu atau benda ganjil di hutan, takut berpenunggu.

9. Dilarang menegur sesuatu yang aneh atau ganjil dihutan, nanti dirasuk atau dapat malang.


Pantang Larang Di Sungai

1. Jika nampak air berpusar, jangan hampiri, alamat buaya bergerak atau mengiring.

2. Jika ikan toman membawa anak, jangan melintas di hadapannya, nanti dilompati ke perut.

3. Jika terdengar suara semacam kerbau di tebing sungai, alamat ada buaya mengawan.

4. Dilarang bawa limau purut, nanti dibaham buaya.

5. Jika suara perempuan terdengar waktu Maghrib, alamat hantu pari sedang berpesta.

6. Jika kail disambar gondang (siput besar) , alamat rezeki mendatang.


Pantang Larang Ketika Duduk

1. Tak boleh duduk atas bantal, nanti dapat bisul.

2. Tak boleh duduk atas tangga ketika Maghrib, nanti dirasuk hantu.

3. Tak boleh menggoyang kaki, nanti tak lepas hutang.

4. Tak boleh duduk di beranda tangga, nanti payah rezeki.

5. Tak boleh duduk atas lesung, nanti berkudis dubur.

Sekian, Wasallam.

Read more: http://www.resepirahsiaku.com/2011/07/pantang-larang-orang-melayumasih.html#ixzz1StnY61pk

16 Julai 2011

JIKA Tony Blair belajar Islam di kampung

LAPORAN dari kota London mengatakan mantan Perdana Menteri Britain kini membaca al-Quran saban hari. Blair seorang penganut Kristian Katolik, tetapi bersikap terbuka dalam agama. Selain (mungkin) pengaruh adik iparnya yang sudah menjadi muslim, dia membaca al-Quran kerana kehendaknya sendiri. Hasilnya, Blair mengatakan Islam merupakan agama yang indah. Tanggapan Blair bahawa Islam agama yang indah memang hasil pembacaan al-Quran.


Orang Melayu di Malaysia sangat pelik dan curiga dengan Blair yang membaca al-Quran. Dalam kepala orang melayu (yang berfikiran ortodok), orang Islam di Britain tidak betul kerana membenarkan orang kafir memegang naskhah al-quran dan membacanya. Atau orang-orang Melayu tidak percaya berita Blair membaca al-Quran sebab diyakini Blair bukan tahu bahasa Arab atau tahu membaca tulisan Arab. Majoriti orang Melayu yakin orang kafir tidak boleh memegang al-Quran. Kalau itu berlaku kesalahan diletak di bahu orang Islam yang membenarkan orang kafir seperti Blair memegang al-Quran. Orang Melayu juga percaya apa yang dinamakan membaca al-Quran ialah seperti mereka yang membaca dalam bahasa Arab sekalipun tidak tahu maknanya. Mereka berfikir, karutlah Blair boleh membaca al-Quran.

Semasa saya remaja-muda telah dibawa ke majlis usrah yang di dalamnya ada pembacaan al-quran dan terjemahannya dalam bahasa Melayu. Kumpulan saya semua orang Melayu yang buta bahasa Arab, sebab itulah terpaksa membaca terjemahan dalam Bahasa Melayu. Rakan senior mengatakan orang Islam mesti memahami al-Quran supaya boleh mengamalkan ajarannya. Itulah titik tolak proses pemahaman saya mengenai al-Quran. Pada saya, membaca al-Quran mestilah untuk mengetahui kandungannya, bukan untuk menikmati melodi atau keindahan laras bahasanya.

Saya yakin Tony Blair itu membaca terjemahan al-Quran dalam bahasa yang dia sangat faham mungkin Bahasa Inggeris. Kerna Blair faham kandungan al-Quran, maka dia faham Islam agama yang indah. Islam itu mesti didasarkan pada al-Quran, bukan pendapat akal orang yang diberi gelar ulama atau ustaz. Saya tinggal di kampung, kalau rajin duduk dalam majlis ilmu agama di masjid semua guru agama yang mengajar agara tidak meletakkan al-Quran di hadapan. Terus terang, dengan mudah mereka mengeluarkan pendapat yang dikatakan agama Islam walhal bukan daripada al-Quran. Lihat saja kalau belajar fikah, babi yang haram dimakan berdasarkan al-Quran sudah merebak kepada banyak hukum. Proses samak yang hadis nabi ajarkan hanya untuk jilatan anjing pada bejana yang basah sudah menimbulkan hukum samak kepada kesan tapak kaki anjing, kesan daging babi pada kuali, garpu dan macam-macam.


Istilah bersih tidak cukup untuk mengesahkan pakaian yang dibawa solat, mesti ada istilah suci. Maka dihukum tidak suci pula jika mencampur pakaian dalam dengan pakaian harian dalam mesin basuh. Ustaz mengatakan, kena basuh atau jirus dengan air dahulu baru masukkan dalam mesin basuh. Rendam saja tidak boleh, mesti dijirus atau dilalui air yang mengalir. Kalau berwuduk dalam air bertakung mesti pasti dua kolah, kalau tak sampai dua kolah percikan air wuduk tidak boleh masuk semula dalam takungan air itu. Kalau diguna juga air itu untuk berwuduk, wuduknya tidak sah, solatnya jadi tidak sah, jadi berdosa, jadi masuk neraka! Adakah Tony Blair merasakan indahnya Islam yang saya kena terima di kampung?

Kalau belajar akidah Islam di kampung saya mesti berdasarkan Sifat 20. Mujur tidak ada ustaz di kampung yang berfatwa: Siapa tidak belajar tauhid menggunakan Sifat 20, maka dia kafir! Mujur, mujur! Kini saya bayangkan Tony Blair duduk bersama saya belajar akidah di kampung. Saya pasti Blair akan pening apabila guru membuka kitab kuning Sifat 20, dimulakan dengan sifat Allah ada lawan tiada. Mendengar lawan tuli. Di London Blair memahami tauhid dalam al-Quran sangat mudah bahawa Allah adalah Tuhan yang berkuasa segala-salanya. Nak menjadi muslim kena beriman dan menunaikan kerja-kerja ibadah sebagai pembuktian keimanan. Cukup begitu dan dia rasa Islam itu mudah dan Indah.

Apabila Blair belajar di kampung saya, dia bukan saja pelik cara ustaz membaca kitab kuning abad ke-17dan 18, malah dia pening apabila orang-orang Islam hanya duduk buat-buat faham walhal mereka tidak faham satu benda pun. Tapi kerna hormat sangat terhadap guru agama, macam haram nak tanya atau meminta diubah kitab yang sesesuai dengan zaman IT, zaman generasi X dan Y.

Jika Blair faham Islam yang indah sebabnya kerana dia polos, tidak dipengaruhi benda-benda pelik dalam adat yang difahami sebagai agama pula. Malangnya di kampung-kampung, jika kita membaca terjemahan al-Quran, akan ditegur supaya menghadap ustaz, tidak boleh membaca al-Quran begitu-begitu saja. Begitulah keramat dan sucinya al-Quran di kampung-kampung yang sudah beratus-ratus tahun menerima Islam. Di London, sesiapa saja boleh membuka dan membaca al-Quran. Jika ada orang kampung bersikap seperti orang London yang terbuka terhadap al-Quran, orang kampung akan menjadi pelik sebab pemahaman agamanya tidak sama dengan pemahaman nenek-moyangnya. Eloklah Blair dan rakan-rakannya jangan belajar agama di kampung saya.

dipetik daripada http://suparjo.blogspot.com/2011/06/jika-tony-blair-belajar-islam-di.html

11 Julai 2011

TIADA anak menteri menjadi guru

BAGUS dan baik setinggi mana pujian menteri atau orang kaya terhadap kerjaya guru, tidak ada anak mereka menjadi guru di sekolah rendah atau menengah! Namun bayangkan jumlah guru di negara kita yang jumlahnya kira-kira 400 ribu orang. Sebuah sekolah menengah di pekan kecil pun jumlah gurunya sehingga 100 orang. Guru ada di mana-mana sehingga di tepi hutan, asalkan di situ ada sekolah dan murid yang bersekolah. Maka ada guru yang glamour di bandar-bandar dan ada lagi guru yang bergelumang dengan semak-samun di pedalaman. Anak menteri mana yang sanggup menjadi guru sekolah di pedalaman Sabah dan Sarawak? Tidak ada, yang sanggup di situ ialah guru-guru yang dilahir dan dibesarkan di pedalaman juga.

Kata sahabat saya, jika mahu mengumpul kekayaan harta-benda janganlah memilih kerjaya sebagai guru. Kepenatan menjadi guru yang sama dengan penatnya menguruskan sebuah kedai, akhirnya menyaksikan pekedai mengumpul jutaan ringgit. Guru, setakat cukup makan anak isteri saja. Rumah dan kereta dibeli dengan pinjaman yang sampai pencen pun belum habis dibayar. Seorang broker tanah dengan bermodal air liur dan kepandaian memanipulasi persekitaran senang-senang mengumpul pendapatan lebih RM100 ribu setahun sedangkan, guru bertungkus lumus bekerja pendpatan tahunannya sekitar RM40 ribu hingga RM50 ribu sahaja. Untuk menjadi guru siswazah pula memerlukan modal pendidikan formal yang panjang. Semua itu kos masa, usia dan wang ringgit.

Habis, mengapa hampir setengah juta mahu menjadi guru? Ini soalan yang subjektif. Ada yang memang sejak awal mahu menjadi guru. Ada yang menukar kerjaya kepada guru setelah tidak upaya dalam kerjaya pertama yang diceburi. Ada yang menjadi guru kerana sudah tidak ada tempat lain untuk kerjaya berkolar putih. Namun ada juga yang berhenti sebagai guru kerana ada tarikan kerjaya lain. Selalunya, guru yang berhenti itu kerana menceburi bidang perniagaan yang menjanjikan pulangan wang lebih banyak.

Apa juga sebab menjadi guru, penilaian hebat atau sebaliknya sebagai guru wajib dilihat pada komitmen harian mereka bekerja dan hasilnya. Kata orang, tidak kenal, maka tidak cinta. Jika sudah hari-hari melakukan tugas guru, maka kuatlah kasih sayangnya terhadap kerjaya guru.

Maka, jangan menjadi guru jika tidak ada prinsip ‘mendidik orang ke arah kemajuan dalam keadaan apa sekalipun’. Tugas hakiki guru ialah mengubah pemikiran murid-murid kepada satu pemikiran yang terarah. Di situlah tugas-tugasnya yang sukar untuk mengubah pemikiran yang berbeda. Bukan mudah mempengaruhi seseorang untuk mengubah pemikirannya, sekalipun mereka berada dalam sekolah yang memang untuk mengubah pemikiran!

Untuk menggambarkan sukarnya kerjaya guru, saya berikan contoh mudah. Tugas guru ialah mengajar seseorang daripada tidak tahu kepada tahu. Standard tahu diukur dengan pengujian dengan markah tertentu sebagai tahap pencapaiannya. Katakan 50 daripada 100 markah, murid itu dianggap tahu dan sudah berubah pemikirannya. Dalam sebuah kelas ada 30 murid dan guru mesti mempunyai tujuan untuk memberi tahu atau mengubah semua pemikiran murid itu. Guru tidak boleh hanya mensasarkan 20 orang akan berubah dan bakinya dibiarkan gagal. Masa pula ditetapkan, misalnya selama 10 bulan.

Setelah ujian terakhir pada penghujung 10 bulan itu didapati hanya 10 orang mencapai markah 50 ke atas. Hal ini bererti guru gagal mencapai objektif kerjanya mengubah pemikiran murid. Kejayaan guru diukur dengan kejayaan mengubah sebanyak mana pemikiran orang yang diajarnya. Begitulah berat dan sukarnya hendak mengubah pemikiran. Mengubah sebatang jalan raya atau jambatan usang jauh lebih mudah daripada mengubah pemikiran manusia.

Prinsip pengajaran guru yang sebegini sangat jarang difahami oleh masyarakat. Hari ini masyarakat hanya mahu tahu kejayaan guru mengubah pemikiran anak-anak mereka dengan alasan itulah kerjaya guru.

Atas sebab sukarnya menjalankan tugas mengubah pemikiran manusia inilah, guru bukanlah satu kerjaya yang dipilh oleh anak-anak yang diasuh dengan kemewahan atau hidup yang mudah perjalanannya. Untuk yang sejak kecil dimanja-manja dan mendapat apa sahaja yang diinginkan, pasti dia tidak akan menjadi guru.

Guru ialah orang yang sanggup bekerja siang malam, berpendapatan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ dan mempunyai prinsip perjuangan untuk mengubah pemikiran manusia. Tahniah kepada guru-guru yang berada dalam posisi terbaik ini.

sumber http://my-tajdid.blogspot.com/2011/06/tiada-anak-menteri-menjadi-guru.html

APABILA orang bersalah bergembira dengan hukumannya.

BARU saja saya mengadiri satu forum mengenai akidah dan kehidupan. Antara yang menarik ialah cerita seorang panel mengenai pelaksanaan hukuman hudud di Masjid Qisas Jeddah, Arab Saudi. Katanya sebelum dilaksanakan hukuman mati dengan memancung pesalah, sudah tersedia lapan buah ambulan. Dia pun pelik, kerana yang dihukum seorang dan mengapa terdapat lapan buah ambulan?


Rupa-rupanya, sebaik sahaja hukuman pancung dijalankan, orang ramai menjadi gerun sehingga ada yang pengsan apabila melihat hukuman itu dilaksanakan. Barulah orang yang pertama kali (dari Malaysia) faham lapan ambulan itu sebenarnya untuk mereka yang tidak terdaya melihat dahsyatnya hukuman Allah di muka bumi ini. Orang yang berfikir mudah memahami mengapa Allah memberi hukuman bunuh seperti itu dan disaksikan oleh orang ramai.

Jelasnya hukuman terhadap pesalah mestilah suatu yang memberi ‘kerugian besar’ kepada pesalah khasnya dari sudut fizikalnya. Hukuman juga mestilah mendatangkan rasa sesal kepada yang menerima hukuman. Hukuman juga mestilah mendatangkan kegerunan kepada yang mengetahui adanya hukuman itu supaya mereka insaf dan berjaga-jaga agar tidak menerima hukuman berkenaan.

Di Malaysia keadaan pelik berlaku. Semua terbalik daripada falsafah hukuman sebagaimana yang dikehendaki oleh orang-orang yang beriman. Tiga orang kaya didenda dengan jumlah wang yang bagi mereka hanya duit untuk minum kopi sekeluarga! Apalah ertinya denda RM1000.00 kepada orang yang mempunyai wang simpanan RM10 juta (misalnya). Ada akhbar pula berjaya merakam foto mereka yang gembira dan menunjukkan tanda ‘bagus’ setelah hukuman denda wang itu mereka bayar.

Saya teringat satu ceramah seorang ustaz lama dahulu mengenai tindakan kadi menghukum seorang Khalifah pada zaman kerajaan Abasiyyah. Si Khalifah telah bersetubuh pada siang hari bulan Ramadan dan bertanya kepada kadi mengenai hukuman yang mesti baginda terima. Lalu kadi terus mengatakan yang baginda mesti berpuasa dua bulan berturut-turut. Setelah itu, orang pun bertanya kepada kadi berkenaan kerana berdasarkan hokum Islam kes seperti yang dilakukan oleh Khalifah mestilah didahului dengan tawaran memerdekakan seorang hamba. Jika tidak mampu barulah berpuasa dua bulan, dan akhirnya memberi makan 60 orang miskin jika tidak upaya berpuasa.

Kadi memberitahu bahawa Khalifah dengan mudah boleh membebaskan seorang hamba dengan kedudukan dan hartanya. Oleh itu hukuman yang sesuai kepada Khalifah supaya menjadi pengajaran atas keterlanjurannya ialah puasa dua bulan berturut-turut.

dipetik drp: http://suparjo.blogspot.com/2011/06/apabila-orang-bersalah-bergembira.html

05 Julai 2011

Mudarat Gula Berlebihan


PENGAMBILAN makanan yang tidak seimbang dalam kalangan kanak-kanak punca utama mereka terjebak dengan pelbagai masalah kesihatan sejak kecil. Sama ada masalah kesihatan seperti penyakit hingga kepada masalah fizikal, semuanya dikaitkan dengan amalan pemakanan yang tidak sihat.

Pemanis dalam makanan kandungan boleh memberikan pelbagai kesan yang tidak diingini.

“Kanak-kanak adalah kumpulan penggemar makanan manis yang harus dikawal kerana makanan mereka mempunyai kandungan gula yang tinggi!” demikian amaran yang diberikan oleh Perunding Pemakanan, Indra Balaratnam pada majlis pengenalan produk tenusu, susu tepung berfomula bagi kanak-kanak, Anmum Essential Tanpa Gula Tambahan di Kula Lumpur baru-baru ini.

Beliau memberitahu, perspektif umum iaitu kanak-kanak yang gemuk dan besar adalah sihat sebenarnya adalah salah sama sekali. Malah mereka mungkin mempunyai kalori dan lemak selain berpotensi membesar sebagai dewasa obes.

Indra berpendapat, kanak-kanak di Malaysia mungkin bermasalah jika ibu bapa dan penjaga kurang arif mengenai jumlah kandungan gula yang sepatutnya diambil setiap hari.

Statistik mendedahkan, 5.4 peratus kanak-kanak Malaysia obes dan 6.8 peratus daripada mereka berumur dalam lingkungan antara 7 hingga 9 tahun, manakala 6.4 peratus dalam lingkungan usia 4 hingga 6 tahun.

“Ia satu pendedahan yang tidak sihat. Pengambilan gula dalam kalangan kanak-kanak mengikut usia iaitu lima hingga enam sudu kecil bagi kanak-kanak yang berumur antara 2 hingga 8 tahun dan tidak lebih 10 sudu kecil bagi dewasa,” katanya.

Bagaimanapun, Indra mengakui pengambilan gula secara purata bagi setiap orang di Malaysia melebihi 24 sudu kecil.


DIDIKAN mengenai makanan seimbang perlu dilakukan secara berperingkat.


Ada kalangan ibu bapa yang tidak mengendahkan jika anak mereka enggan bersarapan. “Tindakan itu boleh menyebabkan anak-anak cepat lapar dan mereka mengidam serta makan makanan yang manis. Ini boleh meningkatkan kadar gula, kalori dan sekali gus menyebabkan mereka obes,” katanya yang menggesa ibu bapa agar prihatin terhadap amalan makanan.

Pangambilan gula yang berlebihan bukan sahaja menjadikan seseorang obes tetapi turut menyumbang kepada masalah kaviti gigi akibat kekurangan mikronutrien dan diabetes.

Ditanya tentang kandungan pemanis, Indra memberitahu, amnya, istilah manisan boleh ditafsirkan dalam pelbagai nama. Antaranya sirup jagung, sirup glukosa, gula merah, molasses, treacle, gula melaka, madu, fruktosa, dan sukrosa.

“Ingat, semua nama ini adalah panggilan lain bagi gula” katanya.

Label makanan

Amnya, kandungan gula, menurut Indra akan dilabel sama ada bersama karbohidrat atau dengan nama-nama yang diberikan tadi. “Kandungan dalam label makanan dinyatakan mengikut jumlah yang banyak kepada yang paling kecil. Jika anda lihat nama-nama gula ini berada pada bacaan permulaan, kedua atau ketiga, maka ketahuilah makanan itu mempunyai elemen pemanis yang sangat tinggi,” katanya.

Indra menyarankan agar ibu bapa bijak dalam menangani masalah pengambilan gula berlebihan dalam kalangan kanak-kanak. Jelas beliau, didikan mengenai makanan seimbang perlu dilakukan secara berperingkat-peringkat dan matang.

“Jangan sekat terus sekali gus tetapi cuba fahamkan dan ajar mereka. Kanak-kanak cukup pandai, mereka akan faham. Satu lagi, jangan sekali-sekali hadiahkan mereka dengan makanan bergula. Itu satu lagi tindakan yang salah, tetapi kita sering lakukan,” katanya merujuk kepada amalan memberi gula-gula, coklat, aiskrim, donut dan sebagainya sebagai ganjaran.

Indra mahu ibu bapa memulakan amalan makanan berkhasiat di rumah dengan menjadi contoh yang baik. Ibu bapa adalah orang pertama yang perlu mengamalkan makanan sihat, bijak memilih makanan, masakan dan cuba gunakan amaun gula yang kecil dalam apa jua persiapan makanan. Ibu bapa juga disaran sentiasa peka terhadap kandungan gula dalam makanan yang dibeli di luar.


sumber : http://gambargambarpelik.blogspot.com/2011/04/mudarat-gula-berlebihan.html