20 September 2009

Kita dan Hari Raya

ssalamualaikum dan salam sejahtera.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani. Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam

serta ahli keluarga baginda dan para sahabat radhiallahu ‘anhu.

Di ambang perpisahan
Ramadhan 1430 H diambang perpisahan dan akan meninggalkan kita lagi untuk kali ini. Seharusnya umat Islam melahirkan perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan kali ini.. Semoga kita dapat menghabiskan sisa fasa ketiga dengan sebaiknya. Dalam fasa ketiga ini umat Islam diseru untuk berusaha mencari Lailatul Qadar (Malam al-Qadar). Malam al-Qadar merupakan satu anugerah yang sangat istimewa kepada umat Islam umat Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Beberapa hari sahaja lagi kita akan menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah) yang mana ianya akan disambut pada 1 Syawal. Ketibaan Bulan Syawal seharusnya disambut dengan penuh rasa keinsafan dan kesyukuran kepada Allah Subhanahu Wata’aala yang mengurniakan kita nikmat yang banyak dan tidak terhitung nilainya.

Fenomena yang melenyapkan perasaan sedih
Ketika umat Islam berada di penghujung Bulan Ramadhan, lagu-lagu raya dan promosi filem-filem mula menghiasi kaca-kaca televisyen. Kita berasa sangat sedih dengan fenomena seperti ini. Fenomena ini akan menyebabkan umat Islam langsung tidak menyedari bahawa Ramadhan akan meninggalkannya dan tiada lagi perasaan sedih untuk berpisah dengan Ramadhan. Hakikatnya tiada siapa pun yang dapat memastikan dirinya akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun hadapan. Segalanya berada dalam pengetahuan Allah Subhanahu Wata’aala.

Amat malang bagi umat Islam hari ini yang tidak dididik untuk bersedih apabila berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Kanak-kanak dilalaikan dengan permainan mercun dan bunga api yang jelas membazir malah membahayakan dan bukannya dididik untuk bertakbir. Sepatutnya semenjak kecil lagi kanak-kanak diasuh untuk menghayati Ramadhan dan menghayati tatacara menyambut ketibaan Hari Raya menurut ajaran Islam yang sebenar. Manakala umat Islam yang lain disibukkan dengan aktiviti membeli-belah, membuat kuih-muih dan pelbagai aktiviti lain. Malah terdapat gedung-gedung dan pasaraya yang melanjutkan tempoh perniagaan mereka sehingga larut malam pada hujung Ramadhan bagi membolehkan umat Islam terus dapat membeli-belah persiapan untuk menyambut Eidul Fitri.

Sesungguhnya fenomena seperti ini sedikit demi sedikit akan menyebabkan umat Islam terlupa akan saat untuk berpisah dengan Madrasah Ramadhan. Sedangkan Nabi dan para sahabat menjadikan 10 terakhir Ramadhan untuk melipat gandakan ibadah untuk mencari ‘lailatul qadar’. Saya pernah mendengar saranan penceramah di dalam radio agar segala persiapan hari raya ini diselesaikan terlebih awal iaitu sebelum Bulan Ramadhan lagi. Saya merasakan ada baiknya saranan tersebut dilakukan oleh seluruh umat Islam bagi memastikan kita dapat memaksimakan amalan-amalan di Bulan Ramadhan.

Hari Raya Hari Kemenangan
Eidul Fitri akan disambut oleh seluruh umat Islam pada 1 Syawal pada tiap-tiap tahun. Perkataan ‘Eid’ beerti perayaan atau hari ulang tahun manakala perkataan ‘fitri’ pula bermakna berbuka atau makan minum. Dengan makna lain pada hari raya umat Islam dikehendaki berbuka dan haram berpuasa.

Eidul Fitri merupakan hari kemenangan kepada seluruh umat Islam yang telah berusaha bersungguh-sungguh mentaati seluruh perintah Allah Subhanahu Wata’aala dan berusaha untuk menundukkan nafsu di bulan yang mulia iaitu Bulan Ramadhan. Sebulan di Bulan Ramadhan umat Islam diuji dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan ujian kesakitan, ujian kesusahan hidup dan ujian kelaparan. Maka umat Islam yang dapat mengharungi mehnah dan tribulasi dengan sabar dan penuh keredhaan merupakan umat Islam yang berjaya.

Di Bulan Ramadhan kita diperintahkan supaya bersederhana ketika berbuka puasa dan begitu jugalah dalam menyambut Eidul Fitri (Hari Raya Fitrah). Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira tetapi janganlah keterlaluan dan berlebihan sehingga menyebabkan pembaziran dalam menyambut Hari Lebaran.

Cara menyambut Eidul Fitri menurut Syariat
Di sini dinyatakan cara umat Islam menyambut Eidul Fitri menurut Syariat Islam. Antaranya ialah:
1. Memperbanyakkan ucapan takbir
2. Menunaikan zakat fitrah
3. Menunaikan solat Eidul Fitri
4. Saling bermaaf-maafan
5. Saling ziarah menziarahi
6. Bersederhana
7. Puasa Sunat 6 Hari di Bulan Syawal
8. Meneruskan qiamullail
9. Mandi pada pagi hari raya
10. Makan sebelum solat Eidul Fitri
11. Memakai pakaian yang indah
12. Bergembira di Eidul Fitri

Inilah merupakan sebahagian daripada amalan-amalan yang disyariatkan dan diajar oleh Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wasallam ketika menyambut Eidul Fitri. Semoga Eidul fitri pada tahun ini dapat kita sambut dengan penuh keinsafan dan kesyukuran serta kemeriahan bertepatan dengan suruhan Allah Subhanahu Wata’aala dan sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ‘Alaihi Wasallam.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar. Selamat Menyambut Eidul Fitri. Maaf Zahir Dan Batin. Daripada http://abuaiman786.blogspot.com

Hari Raya Aidilfitri disambut esok

Selepas sebulan berpuasa, umat Islam di negara ini akan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada hari esok.

Pengumuman tarikh itu dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Ibrahim Engku Ngah menerusi Radio dan Televisyen Malaysia.

"Bagi menyempurnakan titah perintah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja, dengan ini saya mengisytiharkan tarikh Hari Raya Puasa bagi negeri-negeri seluruh Malaysia telah ditetapkan pada hari Ahad 20 September 2009," katanya.

Tarikh Hari Raya Aidilfitri ditetapkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berdasarkan rukyah dan hisab menerusi 29 tempat pencerapan di seluruh negara.

Pelajar 15 tahun korban terbaru H1N1

Jumlah kematian akibat jangkitan Influenza A (H1N1) meningkat kepada 77 orang sehingga ini apabila ia meragutkan seorang lagi korban terbaru yang merupakan seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Pelajar itu yang tinggal di asrama sekolah, dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan meninggal dunia pada 11 September lalu.

Bagaimanapun, kematiannya hanya dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan semalam, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican.

Katanya, pelajar terbabit rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim pada 7 September kerana telah demam, batuk dan selsema selama sehari.

"Pesakit juga ada riwayat mengidap penyakit asma. Kes dirawat sebagai kes ringan ILI dan diberi rawatan simptomatik pesakit luar," katanya.

Bagaimanapun, katanya, pesakit itu tidak puluh dan dibawa semula ke hospital berkenaan empat hari kemudiannya, iaitu pada 11 September dan terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) untuk rawatan antiviral influenza.

Oleh kerana komplikasi jangkitan, katanya, pesakit meninggal dunia enam jam selepas dimasukkan ke hospital akibat radang paru-paru yang terusk dengan jangkitan H1N1.

"Sampel palitan tekak pesakit disahkan mengalami jangkitan H1N1 melalui ujian makmal pada 12 September 2009," katanya.

Sementara itu, seramai 69 pesakit baru dengan gejala seperti influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital untuk rawatan.

Dalam masa yang sama, kata Mohd Ismail, 150 kes telah dibenarkan pulang, menjadikan baki kes ILI yang sedang dirawat di 85 hospital, termasuk 13 hospital swasta di seluruh negara adalah 740 orang.

"Daripada jumlah kes ILI yang sedang dirawat, hanya 190 pesakit atau 26 peratus merupakan kes H1N1 yang disahkan melalui ujian makmal.

"Daripada 190 kes H1N1 yang sedang dirawat di hospital, sejumlah 29 kes atau 15 peratus adalah di ICU, termasuk tiga kemasukan baru dan empat kes yang telah keluar dari ICU," katanya.

Menurut Mohd Ismail, seramai 23 atau 79 peratus kes H1N1 yang sedang dirawat di ICU mempunyai faktor risiko iaitu kanak-kanak bawah lima tahun (7), penyakit kronik (6), obesiti (5), penyakit respiratori kronik (3) dan hamil (2).

15 September 2009

PUASA SI MISKIN

Sekadar renungan....... buat peringatan buat diriku yang sering terlepas pandang. Aku telah menemui sebuah rumah yang usang. Rumah itu hanya berdindingkan buluh bertanggakan batang kelapa. Di serambi rumah itu ada beberapa anak kecil yang kelihatan lesu dan letih. Aku hampiri mereka lalu bertanya kepada yang paling tua antara mereka, seorang kakak yang berumur baru kira-kira 11 tahun:

"Mana emak?"
"Mak pergi menoreh," jawabnya.
"Mana bapak?"
"Bapak pergi kerja..."
"Habis tu adik yang kecil ini siapa yang jaga?" Di situ ada seorang bayi dalam lingkungan umur 5 bulan.
"Adik ini sayalah yang jaga." Jawab budak berkenaan.
"Awak ada berapa orang adik-beradik?"
"Sepuluh."
"Adik ni yang ke berapa?"
"Saya yang kelapan."
"Mana abang-abang kamu pergi?"
"Tolong emak menoreh."
"Adik puasa hari ini?"
"Sama je pakcik, puasa ke tidak.. Kami ni makan sekali je sehari..." Jawabnya.
Mendengar kata-kata itu aku sungguh terharu.
Lalu aku bertanya lagi "Adik bersekolah dimana?"
"Saya tak sekolah.. Emak bapak tak mampu..".
"Bapak kerja apa?"
"Tangkap ikan kat sungai nak buat lauk bukak puasa ".

Budak itu memberi tahu, lebih baiklah bulan puasa berbanding bulan lain kerana pada bulan puasa mereka dapat makan kuih. Ada saja orang yang hantar. Aku berlalu dari situ dengan seribu-satu keinsafan. Kebetulan di simpang jalan ada orang menjual daging lembu tempatan. Aku beli satu kilo tulang lembu. Di kedai runcit pula, aku beli rempah sup dan sepuluh kilo beras untuk disedekahkan kepada keluarga itu. Bila saja aku beri barang-barang itu pada adiknya, dia melompat kegembiraan sambil menjerit "Yeh yeh..! Kita dapat makan daging malam ni..!". Aku bertanya kepada si kakak mengapa adiknya girang sangat. Dia memberitahu aku, sejak dari raya korban tahun lepas baru sekarang mereka berpeluang makan daging lembu sekali lagi. Seminggu kemudian aku datang lagi ke rumah itu. Bila mereka melihat aku datang, mereka girang menyambutku di pintu rumah. Kebetulan pada hari itu aku sempat berjumpa dengan ibu mereka. Sungguh menyedihkan cerita yang aku dengar: Anak yang berumur 4 tahun itu memberitahu padaku bahawa mereka sudah seminggu makan sup tulang yang aku berikan hari itu.

"Tiap-tiap hari mak buat sup, sedaplah Pakcik.."

Aku bertanya kepada emaknya macam mana dia lakukan hinggakan sup itu boleh tahan sampai satu minggu? Dia memberitahu padaku bahawa pada hari pertama dia merebus tulang itu,dia telah berpesan kepada anak-anaknya agar tidak membuangkan tulang yang telah dimakan. Dia kutip semula semua tulang-tulang itu dan merebusnya semula untuk dimakan pada hari berikutnya. Itulah yang dia lakukan setiap hari. Dia berkata

"Kalau tidak dapat makan isi, hirup air rebusan tulang pun dah lebih dari cukup untuk anak-anak saya. Dia orang suka sangat."
Aku bertanya lagi "Upah menoreh berapa makcik dapat?"
"Cuma RM3.00 sehari."
"Ayahnya bekerja macam mana"
"Kalau dia dapat ikan itulah yang dibuat lauk setiap hari."

Rupa-rupanya aku terlupa bahawa aku sebenarnya hidup dalam keadaan mewah..
Pernahkah anda menghirup air rebusan tulang yang direbus semula sepanjang hidup anda? Atau adakah anda buang saja tulang itu beserta daging-daging yang ada padanya kerana anda kata ianya "TAK SEDAP"? Mungkin kita sudah terbiasa hidup senang hinggakan kita lupa bahawa kalau pun kita susah, masih ramai lagi orang yang lebih susah dari kita.

14 September 2009

Empat fasal kawal H1N1 di musim raya

Kementerian Kesihatan menggariskan empat fasa yang perlu diambil kira semasa menyambut mana-mana perayaan, bagi mengelak
penularan wabak Influenza A(H1N1) dalam negara.

Menterinya Datuk Seri Dr Liow Tiong Lai berkata ia merangkumi langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil dalam empat tempoh fasa iaitu semasa sebelum balik kampung, semasa dalam perjalanan, semasa berada di kampung dan selepas kembali dari kampung.

Beliau berkata orang ramai tidak perlu panik atau terlalu bimbang sehingga tidak tahu apa yang hendak dilakukan bagi mengelak jangkitan virus itu ketika hendak menyambut sesuatu perayaan.

"Jika semua pihak dapat mengambil langkah-langkah pencegahan, maka wabak ini dapat dikawal dengan lebih baik," katanya kepada pemberita selepas pelancaran kempen Berhari Raya Tanpa H1N1 di terminal bas Jalan Duta di Kuala Lumpur hari ini.

Sempena sambutan Hari Raya Aidil Fitri ini, Liow sekali lagi mengingatkan orang ramai supaya terus mengamalkan langkah-langkah pencegahan bagi mengelakkan wabak H1N1 ini menular.

Liow seterusnya meminta orang ramai sentiasa melayari laman web Kementerian Kesihatan untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai wabak H1N1 serta langkah kawalan dan pencegahan yang disyorkan dari semasa ke semasa.

"Walaupun di Hari Raya, senang-senang layarilah laman web kementerian, tengok apa cadangan dan syor yang ada, dan ikutlah syor-syor kementerian. Saya harap semua akan ikut nasihat yang diberikan kementerian," katanya.

Mengenai situasi semasa wabak H1N1 dalam negara pula Liow berkata, tiada kematian baru direkodkan hari ini dengan bilangan kematian kekal 74 kes, sementara 48 pesakit baru dengan gejala influenza-like illness (ILI) dimasukkan ke hospital untuk menerima rawatan di seluruh negara, dan 126 pesakit lagi sudah dibenarkan keluar wad.

Ini menjadikan baki 970 pesakit masih dirawat di 102 hospital termasuk 13 hospital swasta.

Beliau berkata daripada jumlah itu 193 pesakit disahkan positif dijangkiti H1N1, dengan 41 daripada pesakit kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Daripada jumlah itu 33 pesakit terdiri daripada golongan berisiko tinggi dengan 13 pesakit berpenyakit kronik, empat penyakit respiratori kronik, lapan obesiti dan kanak-kanak bawah lima tahun (tujuh) dan seorang wanita hamil.

"Saya nak ingatkan 80 peratus 'high risk group' ini agar berhati-hati. Tapi saya juga nak ingatkan ada lagi 20 peratus yang bukan dari golongan berkenaan (berisiko tinggi) iaitu orang biasa yang juga terdedah dengan H1N1 ini.

"Saya risau yang 20 peratus ini, bagaimana anak-anak muda yang sihat kena wabak ini hingga menyebabkan maut. Kita tidak mahu perkara ini berlaku," katanya.

Dalam pada itu walaupun pada musim perayaan, orang ramai diingatkan supaya tidak memandang ringan tahap kesihatan mereka khususnya kepada yang menunjukkan simptom-simptom dijangkiti wabak H1N1.

"Jangan pandang ringan jika terasa sakit, dan jangan hanya bertahan tidak berbuat apa-apa. Jika sakit cepat jumpa doktor untuk dapatkan rawatan. Jangan hanya kerana Hari Raya, ramai ambil mudah," kata Liow. BERNAMA

12 September 2009

Satu lagi kematian H1N1, total 74

Setelah tujuh hari tiada kematian direkodkan akibat jangkitan influenza A (H1N1), hari ini satu kematian baru didaftarkan menjadikan jumlah kematian sehingga kini sebanyak 74.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican berkata mangsa merupakan seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) berumur 19 tahun dari Gerik, Perak.

"Beliau telah dimasukkan ke Hospital Gerik pada 19 Ogos kerana demam, batuk, sakit tekak dan muntah selama empat hari.

"Pada 20 Ogos, kes dirujuk ke Hospital Ipoh untuk rawatan pakar dan rawatan antivirus telah dimulakan.

"Bagaimanapun, beliau meninggal dunia pada 23 Ogos kerana komplikasi paru-paru atas sebab 'acute pulmonary oedema with underlying influenza A H1N1 infection' dan kes disahkan H1N1 melalui ujian makmal pada 28 Ogos," katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, sejumlah 198 pesakit baru dengan gejala seakan-akan influenza (ILI) telah dimasukkan ke hospital sehingga hari ini untuk rawatan manakala sebanyak 190 kes telah didiscaj.

"Ini menjadikan baki seramai 1,104 ILI sedang dirawat di 101 buah hospital termasuk lapan hospital swasta di seluruh negara. Daripada jumlah pesakit yang dirawat, hanya 261 pesakit (23.6 peratus) telah disahkan positif H1N1," katanya.

Beliau berkata daripada 261 kes yang telah disahkan H1N1, sebanyak 41 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) di mana lapan kes merupakan kemasukan baru manakala enam lagi kes telah keluar dari ICU.

"Daripada 41 kes yang sedang dirawat di ICU, sebanyak 32 (78 peratus) mempunyai faktor risiko. Pecahan kes mengikut faktor risiko adalah penyakit kronik (13), penyakit respiratori kronik (satu), obesiti (sembilan), kanak-kanak bawah lima tahun (lapan) dan hamil (satu)," katanya.

Dr Mohd Ismail juga berkata sehingga kini belum lagi ada vaksin di pasaran untuk melindungi seseorang daripada influenza A (H1N1) kerana vaksin itu masih di peringkat ujian klinikal dan Malaysia akan mendapatkan bekalan pertama vaksin sebaik sahaja ia dipasarkan.

Beliau berkata kini sesiapa yang ingin mengerjakan haji dan umrah diwajibkan mengambil vaksin selesema dan radang otak bermusim (seasonal flu and meningitis).

Berkaitan antivirus pula, Dr Mohd Ismail berkata golongan yang berisiko tinggi boleh memperolehinya di mana-mana klinik atau hospital dan mereka digalakkan untuk mengunjungi Klinik Cegah dan Rawat Influenza A (H1N1) yang boleh menawarkan antivirus pada harga berpatutan. BERNAMA

10 September 2009

Minyak RON95 dan RON97

Ada orang menyatakan petrol A lebih baik daripada petrol B atau minyak B lebih bagus daripada bahan api C. Adakah itu benar?

DI Eropah, klasifikasi keseragaman kelas bahan bakar petrol dibahagikan kepada tiga kelas utama. RON91, RON95 dan RON98. Pembahagian itu dibuat berdasarkan jenis keperluan bahan bakar yang diperlukan pada setiap jenis enjin berlainan pengeluar.

RON91 dicipta untuk enjin yang mampu menerima petrol berplumbum, RON95 untuk petrol tanpa plumbum yang juga disebut petrol premium dan RON98 atau disebut juga sebagai Super Plus atau Super Premium.

Bermula hari ni, klasifikasi penjualan minyak petrol di Malaysia akan diselaraskan kepada dua jenis RON (Research Octane Number) iaitu RON95 dan RON97.

Dalam jangka masa kurang dua bulan dari sekarang, RON95 akan menggantikan RON92 yang berharga RM1.75 seliter, manakala RON97 akan menjadi petrol premium pada harga RM2.

Apakah kesannya kepada pengguna? Sebenarnya, banyak yang perlu diketahui tentang asas RON itu sendiri.

Di seluruh dunia, pencemaran bahan api fosil telah meningkatkan kesedaran umum.. Justeru itu, kualiti bahan bakar ditingkatkan. Jurutera bertungkus lumus memikirkan idea untuk mencipta enjin dengan sistem pembakaran moden yang mampu beroperasi menggunakan petrol spesifikasi RON yang dibangunkan. Kandungan sulfur juga diminimumkan.
Adakah semua petrol RON95 sesuai dengan kereta anda? Bagaimana mengetahui kesesuaian tersebut? Langkah paling mudah adalah melihat pada penutup petrol.

Jika ia tidak dinyatakan, rujuk buku panduan kenderaan. Biarpun begitu, tidak semua pengeluar kereta menulisnya dalam bentuk angka. Sebahagiannya ditulis dalam istilah leaded dan unleaded.

Jangan khuatir, majoriti petrol yang dijual di Malaysia (termasuk RON92) adalah petrol jenis tanpa plumbum (unleaded). Adakah RON97 lebih baik daripada RON95? Secara teorinya, ya tetapi secara paraktiknya, tidak. Petrol RON95 di stesen A mungkin lebih baik daripada petrol RON97 di stesen B.

Perlu diingatkan bahawa setiap petrol yang dijual oleh Petronas, Shell, BHP, Esso, Caltex dan Mobil adalah tidak sama. Setiap syarikat mempunyai ramuan tersendiri untuk meningkatkan keupayaan kualiti petrol masing-masing.

Techron, Primax dan Infiniti merupakan antara petrol yang dihasilkan menerusi kajian dan pembangunan yang serius. Anda mungkin biasa menonton iklan bagaimana petrol di stesen A berupaya membersihkan enapan karbon pada injap dan omboh. Adakah ia sekadar gimik?

Adakah petrol RON95 berkualiti rendah? Ini adalah pandangan yang salah. RON berkaitan dengan campuran dua unsur asas iaitu oktana dan pentana yang melengkapkan sifatnya menjadi bahan bakar petrol.

RON95 bermaksud 95 peratus kandungannya adalah oktana dan selebihnya pentana. Begitu juga dengan RON97 iaitu hanya tiga peratus pentana dan selebihnya oktana.

Gandingan itu akan memutlakkan tahap pembakaran enjin yang bakal digunakan. Sekiranya enjin anda cukup sekadar dengan pembakaran RON95, kenapa perlu membazir membeli petrol RON97? Adakah jam Breitling memberi maklumat waktu yang lebih tepat berbanding jam Casio?

Sebaliknya, jika enjin anda dicipta untuk membakar dengan RON97, adalah tidak memadai menggunakan RON95 kerana omboh akan mengalami masalah ketukan (knocking).

Ini kerana enjin silinder bergerak dengan membakar petrol menjadi gas.. Asasnya, enjin yang dicipta untuk RON95 adalah kebuk pembakaran yang berupaya membakar sejumlah 95 peratus oktana.
Perlu diingat bahawa sifat oktana adalah kemampuannya untuk menahan tekanan dalam kebuk pembakaran. Jadi, dengan enjin yang dicipta untuk pembakaran 95 peratus oktana, memadai kita menggunakan petrol RON95.

Namun, jika enjin tersebut dicipta untuk tekanan 97 peratus oktana, maka penggunaan RON95 tidak sesuai. Oktana mempunyai keupayaan mengembangkan tekanan dengan baik, tetapi bukan pentana. Pentana hanya akan melambatkan proses timbal-balik dan di sinilah masalah ketukan berlaku.

Petrol yang baik bergantung kepada pengeluar petrol itu sendiri. Seperti yang diterangkan pada awal nota ini tadi, setiap petrol tidak sama.

Dakwaan mengatakan semakin tinggi RON adalah lebih baik dan mampu menghasilkan enjin yang lebih berkuasa juga tidak benar. Petrol yang baik adalah petrol yang sesuai dengan RON yang diperlukan oleh enjin.

Jangan percaya pada pandangan salah. Terlalu ramai 'pakar' automotif hari ini. Cuba taipkan RON dalam Yahoo atau Google, nescaya pelbagai forum akan membincangkan tentangnya. Selamat Berpuasa.... ...

Liow: Kes H1N1 makin berkurangan

Jumlah kes influenza A (H1N1) di negara ini semakin berkurangan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai mengumumkan
hari ini.

Namun begitu, kerajaan akan terus berwaspada dan orang ramai juga harus berhati-hati, katanya kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

"Saya laporkan kepada jemaah menteri bahawa bilangan jangkitan H1N1 adalah menurun, kes-kes ILI (penyakit serupa influenza) yang terdapat di hospital juga tunjukkan penurunan, contohnya di Kuantan, kalau biasanya, dalam 700 hingga 800 kes dilaporkan sehari, sekarang turun ke 240 hingga 250.

"Bilangan di semua hospital juga sama, menurun. Tetapi ini tidak menggambarkan bahawa kita boleh ambil ringan dengan masalah sekarang, kena terus ambil langkah jaga-jaga.

"Kita kena teruskan kempen kesedaran kita. Terutama sekali, Hari Raya nak sampai, kita semua balik kampung. Ambil langkah jaga-jaga, kebersihan rumah dan kebersihan diri," katanya.

Liow berkata bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpuas hati dengan sistem pemantauan penyakit itu di Malaysia.

"Laporan (WHO) menyatakan bahawa kadar kematian kita adalah biasa, bersamaan juga dengan negara-negara lain berhubung dengan H1N1, dan mereka telahpun menyatakan bahawa sistem pemantauan Kementerian Kesihatan adalah sensitif, peka dan mampu mencari dan mendapat pesakit-pesakit H1N1 dengan cepat," katanya.

Liow juga melahirkan rasa puas hati dengan kerjasama hospital swasta dalam membendung penyakit itu.

"Pada masa ini, tidak ada masalah ubat antivirus, semua klinik boleh dapat ubat antivirus, semua ada.

"Kami juga berusaha memastikan bahawa klinik dan hospital swasta sentiasa mendapat maklumat terkini dan bantu kerajaan bendung H1N1," katanya. BERNAMA

07 September 2009

Dua calon UPSR dijangkiti H1N1

Dua calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) masing-masing dari Johor dan Pulau Pinang, yang mempunyai gejala jangkitan influenza A (H1N1), bakal menduduki peperiksaan itu di hospital di negeri berkenaan, serentak dengan 517,906 calon lain di seluruh negara.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata beberapa petugas peperiksaan akan ditempatkan di hospital yang menempatkan murid berkenaan ketika mereka menduduki peperiksaan itu.

Beliau berkata persediaan untuk dua calon itu adalah antara langkah diambil Kementerian Pelajaran bagi mengawal penularan influenza A (H1N1) di kalangan calon yang menduduki UPSR tahun ini di 8,289 pusat peperiksaan seluruh negara.

Selain itu, Kementerian Pelajaran memperuntukkan kira-kira RM5 juta untuk menyediakan kelengkapan seperti topeng mulut dan hidung, cecair pembasmi kuman tangan dan alat jangka suhu untuk calon UPSR sebelum mereka menduduki peperiksaan itu, katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata bilik pengasingan juga disediakan di setiap pusat peperiksaan dan calon yang dikenal pasti mempunyai suhu badan melebihi 37.5 darjah Celcius ketika saringan, perlu menduduki peperiksaan di bilik berkenaan.

"Bilik pengasingan itu jauh dari dewan utama peperiksaan dan mereka akan diawasi oleh beberapa petugas," katanya.

Alimuddin berkata seramai 32,944 petugas peperiksaan ditempatkan di pusat peperiksaan tahun ini.

Seramai 517,908 orang calon mendaftar untuk menduduki peperiksaan UPSR mulai esok hingga Khamis ini di seluruh negara.

Daripada jumlah itu, seramai 510,125 atau 98.5 peratus adalah calon sekolah di bawah kementerian dan sekolah bantuan kerajaan manakala bakinya 7,783 atau 1.5 peratus ialah calon sekolah swasta. BERNAMA

03 September 2009

Minyak naik lagi... fikir positiflah

Kuala Lumpur , 1 Sept – Awal pagi lagi stesyen minyak sekitar Lembah Kelang di kunjungi oleh ramai pengguna kenderaan yang berpusu pusu untuk mendapatkan bekalan minyak dengan harga baru. Harga RON97 dinaikkan kepada RM2.05/liter, manakala RON95 pula akan naik kepada RM1.80/liter, bermula hari ini.

Mereka yang mengunjungi stesyen minyak kelihatan melonjak-lonjak kegembiraan dengan pengumuman kenaikan harga minyak yang dibuat pada lewat petang semalam.

Pengguna bersyukur dengan kenaikan tersebut dan dengan langkah itu maka berakhirlah masalah kemarau harga minyak yang melanda negara sejak berhari hari lamanya.

Antara pengunjung stesyen minyak yang ditemubual, Sharifah Rozana, 35, berkata,”Langkah ini adalah langkah hebat. Saya rasa bersyukur. Sekurang-kurangnya suami saya akan kembali menggunakan motosikal untuk berulang alik ke tempat kerja. Dapatlah saya guna kereta untuk menghantar anak ke sekolah. Saya berharap agar harga dinaikkan lagi agar suami saya naik bas dan dia akan tinggalkan motosikalnya di rumah, untuk saya guna”.

Sementara seorang kakitangan Kilang yang enggan namanya di dedah berkata, “Saya sebenarnya dah lama tunggu kenaikan harga minyak ni. Bila harga baru di sebut, saya terus datang ke stesyen minyak untuk mendapatkan bekalan. Alhamdulillah, doa saya termakbul akhirnya. Dengan kenaikan harga minyak ini dapat lah saya merayakan hari raya tahun ini dengan serba sederhana dan tidak berlebih lebihan seperti tahun lepas.”

Samion bin Songkreng, 43, yang bekerja sebagai pencuci tandas berkata, “Dengan kenaikan harga minyak ini, dapat lah saya menumpukan perhatian saya pada kerja. Sebelum ini saya selalu ponteng dan bersiar-siar naik motosikal bersama kawan ketika waktu kerja. Malam tadi, majikan sudah pun menghubungi saya dan dia mengucapkan tahniah kepada saya. Beliau cukup perihatin.”

Manakala seorang pembonceng motosikal yang berjaya di temubual, En. Harun bin Jamian, 25, yang berkerja sebagai tukang masak berkata, “Tak payah interview saya …. Saya tak beli minyak bang, saya tumpang motor kawan jer. Tapi bang, Minyak naik tak apa asal jangan kena selsema babi.”

Wartawan kami sempat menemubual seorang kakitangan asing, warga Bangladesh , berkata,”Bahasa Malaysia , shaya tak tau shakap. Bos shakap ‘Merah’, ‘Hizau’ minyak lama, ‘kuning’ minyak baru. Abang berapa mahu isi?. Abang beli bendera RM1.00 satu. Terima kasheh.” XBERNAMA

Man Dol dengan Che'gu Berahim

PART I

Che'gu Berahim sedang mengendali kelasnya dalam aktiviti sukan di padang sekolah. Seperti biasa, Che'gu Berahim akan menyuruh murid²nya melakukan regangan otot. Tiba di satu bahagian, dimana murid² baring dan mengangkat kaki lalu menggerakkannya seperti sedang mengayuh basikal. Che'gu Berahim asyik memerhati seorang muridnya yang pada mulanya menggerakkan kakinya tiba² memberhentikan kakinya. Lalu Che'gu Berahim menyergah muridnya yang bernama Man Dol. "Woiiii Man, apa sebab kau berhenti ni hah". "Oh Che'gu Berahim, basikal saya tengah turun bukit Che'gu, sebab tu saya berhenti. Takkan nak kayuh jugak.


PART II

Waktu sekolah telah tamat. sebelum keluar kelas, Che'gu Berahim telah bertanya kpd murid²nya.

Che'gu : Siapa nak masuk/pergi syurga?
Semua murid mengangkat tangan kecuali Man Dol lalu Che'gu Berahim pun bertanya,
Che'gu : Man, kenapa awak tak nak pergi/masuk syurga?
Man : Mak saya kata lepas habis sekolah, terus balik rumah.. jangan pergi mana-mana.


PART III

Che'gu Berahim sedang mengajar Bahasa Melayu dalam kelas 1 Mawar...

Che'gu : Man, boleh kamu buat ayat dengan menggunakan perkataan tepong?
Man : Itu senang saja cikgu.. ayatnya ialah.... emak sedang membuat kek di dapur.
Che'gu : Mana tepongnya??
Man : Tepong kan ke dalam kek tu.... Che'gu nie tak sekolah ke hape??


PART IV

Seperti biasa, Che'gu Berahim nie mengajar pelajar di Sekolah Agama. Che'gu Berahim mengajar budak tahun satu. Pada hari tersebut, beliau mengajar bab "cara berwudhuk". Selepas mengajar, beliau (Che'gu) selalu meminta muridnya bertanyakan soalan jika terdapat kemusykilan.

Che'gu : Ada sesiapa hendak bertanyakan soalan?
Tiba² seorang anak muridnye mengangkat tangan, murid tu adalah Man Dol
Man : Ada Che'gu. saya ada satu kemusykilan. Boleh tak kita ambil wudhuk dua kali?
Che'gu : Boleh, tapi kenapa sampai dua kali ambil wudhuk?
Man : Saya ambil dua kali sebab kalau saya terkentut, wudhuk lagi satu tu boleh buat spare part!
Che'gu : Allahhuakbarr!!!


PART V

Che'gu Berahim: Joe, cuba terangkan apakah tugas akar pokok pisang?
Joe : Untuk mencari makanan, che'gu
Che'gu Berahim: Bagus! Sekarang giliran Wati pulak. Apakah tugas batang pokok pisang?
Wati : Untuk membawa makanan yang dicari akarnya, che'gu
Che'gu Berahim: Bagus! Sekarang giliran Man Dol pula. Apakah tugas daun pisang?
Man Dol :untuk membungkus nasi lemak, che'gu...
Che'gu Berahim: uii... lagi bagus... berdiri atas meja sampai habis kelas..